Haiwan peliharaan yang ditampilkan kali ini bukan dalam kategori berbulu atau mengeluarkan bunyi-bunyian.
Namun, Hafiza Hamat, 38, tetap setia membela ikan glofish kerana tertarik dengan keindahan dan keunikan warnanya.
Katanya, ikan hiasan itu menghiasi akuarium rumahnya sejak sedekad lalu.
“Ikan ini berjaya menambat hati saya walaupun ia bukan haiwan yang boleh dibelai seperti kucing.
“Apabila lampu dihidupkan, warna ikan makin menyerlah dan amat mempesonakan apabila dipandang,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Sehingga kini, dia memiliki sebanyak 20 ekor glofish yang ditempatkan dalam akuarium khas.

WARNA NEON SEMULA JADI
Menceritakan lebih lanjut, Hafiza berkata, glofish daripada spesis Longfin Tetra itu hanya berukuran sebesar duit syiling 20 sen.
Bagaimanapun, ia kelihatan besar kerana warnanya dipengaruhi oleh cahaya akuarium.
“Sebenarnya saiz glofish sangat kecil, namun, ramai terpedaya disebabkan warnanya.
“Warna neon seperti electric green, starfire red dan putih membuatkan hidupan ini tampak besar terutama apabila terkena sinaran cahaya akuarium,” katanya.
Menariknya, warna itu adalah semula jadi dan bukan daripada hasil suntikan atau diwarnakan.

MUDAH DIJAGA
Glofish merupakan antara haiwan yang paling mudah dijaga dan sangat tahan lasak sekiranya tidak dicampur dengan spesis lain.
Menurut Hafiza, jangka hayat ikan itu boleh mencecah sehingga empat tahun ke atas bergantung kepada cara penjagaannya.
“Asingkan glofish daripada ikan lain terutama yang berbahaya. Ini penting untuk memastikan kesihatan mereka terjaga. “Spesis ini hidup secara berkumpulan dalam air tawar sahaja,” jelasnya.
Dari segi pemakanan pula, katanya, glofish hanya memerlukan makanan khas seperti palet atau flakes sahaja.
Ujar Hafiza, kos yang diperlukan untuk memelihara 20 ekor glofish juga sangat berpatutan dan hidupan ini sesuai dibela oleh mereka yang baru berjinak-jinak untuk memiliki haiwan peliharaan.
“Memelihara glofish jauh lebih mudah berbanding haiwan peliharaan lain. Selagi akuarium lengkap dengan pembersihan automatik, saya tidak perlu risau.
“Kosnya juga sangat rendah, pembelian makanan hanya sekitar RM10 dan tidak memerlukan belanja bulanan yang besar,” ujarnya.
Secara keseluruhannya, glofish sememangnya pilihan ideal bagi mereka yang mahukan haiwan peliharaan cantik dan mudah dijaga.
Warna-warni glofish yang mempesona bukan sahaja menceriakan malah mampu memberi ketenangan kepada Hafiza.










