Manisnya Hello Kitty berbaju songket

Manisnya Hello Kitty berbaju songket

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KONSEP perkahwinan dalam taman, pantai, Melayu klasik dan Jawa sering menjadi pilihan kebanyakan mempelai di negara ini.

Namun, lain buat Sarah Ashiqin Salleh, 27, yang memilih tema Hello Kitty di hari bahagianya bersama pasangan, Muhamad Nazrin Abdullah, 33.

Pemilihan tema tersebut didorong oleh minat mendalamnya pada watak kartun Jepun itu.

Dalam masa sama, ia dapat meninggalkan nostalgia indah dalam mahligai perkahwinan yang dibina.

Pasangan yang merupakan rakan sekerja di Proton Rawang, disatukan di Gamuda Gardens pada 4 Ogos lalu.

“Dari dulu lagi saya mengimpikan majlis kahwin berkonsepkan Hello Kitty walaupun ketika itu tiada calon atau pasangan,” katanya kepada Seri.

Perkahwinan bertema sudah sinonim dengan ahli keluarganya apabila kakak, Yanie Amira, 32, sebelum ini menampilkan konsep strawberi.

Minat Sarah Ashiqin, pada Hello Kitty disemai oleh ibunya, Maimunah Sulaiman, 54.

Sejak bayi dirinya digayakan dengan pelbagai barangan termasuk baju, kasut dan lain-lain aksesori kartun itu.

“Sebenarnya emak yang mula-mula minat Hello Kitty dan lama-kelamaan, ia berjangkit pada saya.

“Saya tertarik dengan karakter dan  zikal kartun ini yang comel dan berjiwa feminin,” katanya.

Dek kerana minat, kamar tidurnya turut dilengkapi dengan pelbagai aksesori Hello Kitty berwarna merah jambu termasuk kertas dinding, cadar, permaidani, sarung tombol dan bingkai gambar.

Malah, Sarah Ashiqin turut menghias bahagian dalam keretanya dengan kelengkapan kartun itu.

Jumlah keseluruhannya dianggarkan mencecah RM500 dengan hiasan pada tali pinggang, bantal kepala, sarung tisu, pengalas papan pemuka, emblem, tong sampah dan sarung cermin sisi.

“Saya kurang meminati anak patung dan cuma ada 10 sahaja dalam koleksi, mungkin ia disebabkan faktor usia yang sudah dewasa.

“Minat saya lebih tertumpu kepada barangan kelengkapan dan aksesori.

“Memandangkan bilik berwarna merah jambu tetapi untuk kereta pula, saya tumpukan pada rona merah yang diinspirasikan daripada reben Hello Kitty,” kata pemegang ijazah sains biomolekul ini.

Bukan itu sahaja, tahun lalu, dia turut melawat muzium, Hello Kitty Island di Pulau Jeju, Korea Selatan bersama rakan-rakan.

KONSEP EKSKLUSIF, TIDAK SERABUT 

Perkahwinan bertemakan Hello Kitty sudah banyak dilakukan pasangan pengantin di negara ini.

Tetapi cetusan ilham Sarah Ashiqin dalam majlisnya disifatkan paling eksklusif dan tidak nampak kebudak-budakan.

Tiada kain rentang atau deretan anak patung Hello Kitty menghiasi pelaminnya di samping baju pengantin bercorak kartun itu.

Sebaliknya, hiasan dibuat secara minimalis dan tidak keterlaluan misalnya pada dulang mas kahwin, kad jemputan, cermin selamat datang, buku tetamu, bekas bunga telur, lencana dan cenderahati kepada para tetamu.

Katanya, keseluruhan proses mencari idea mengambil masa kira-kira lapan bulan.

“Tidak dinafikan proses itu agak sukar kerana saya tiada rujukan khusus agar ia tidak nampak kebudak-budakan,” kata penasihat jualan kereta ini.

Jelasnya, kebanyakan barangan itu ditempah khas dengan pengusaha dalam talian termasuk dari Indonesia.

Rekaan logo pula dihasilkan sendiri menerusi aplikasi Canva bagi menjimatkan masa dan kos.

“Keutamaan saya adalah pada logo cenderahati kerana tidak mahu ia nampak kebudak-budakan atau tertulis nama pengantin yang keterlaluan.

“Langkah itu dapat memastikan barangan yang diberikan iaitu beg dan kotak pensil dapat dimanfaatkan tetamu dalam kehidupan seharian mereka tanpa terbiar tanpa digunakan atau dibuang,” katanya.

Dia bersyukur kerana keluarga banyak membantu dalam urusan tersebut termasuk kakak yang menggunakan kreativiti menghasilkan bekas bunga telur Hello Kitty.

Walaupun Hello Kitty sinonim dengan warna merah jambu tetapi pasangan pengantin ini terbuka untuk memakai rona hijau zamrud di hari persandingan mereka.

“Kami pilih warna yang kontra kerana keluarga sudah menggayakan baju merah jambu.

“Selain itu, saya tidak pernah terfikir mahu memakai gaun Hello Kitty di hari persandingan, kasihan nanti suami pula terpaksa menanggung malu,” katanya sambil tertawa.

ANAK PATUNG SONGKET

Antara tarikan lain dalam majlis persandingan Sarah Ashiqin ialah anak patung Hello Kitty dan pasangannya, Dear Daniel yang manis berbusana lengkap songket.

Malah, kedua-dua anak patung itu umpama pengantin dengan hiasan layah dan tengkolok yang menghiasi kepala masing-masing.

Istimewanya, busana anak patung itu dihasilkan sendiri oleh ibunya yang merupakan bekas tukang jahit.

Katanya, idea untuk membuat busana patung itu tercetus secara spontan oleh keluarganya.

“Tanpa berlengah saya minta lebihan kain pada pengusaha butik untuk membolehkan ibu menjahit baju anak patung.

“Manakala untuk layah Hello Kitty pula dijahit oleh kakak saya,” kata anak kedua daripada tiga beradik ini.

Proses menjahit pakaian anak patung itu tidak mengambil masa panjang dan siap dalam masa beberapa jam sahaja.

PAKAIAN TERBAIK UNTUK SANAK SAUDARA 

Kemeriahan majlis itu turut diserikan dengan sanak-saudaranya yang tampil dengan pakaian dan aksesori Hello Kitty.

Katanya, individu yang paling bergaya berpeluang menerima 30 hadiah menarik yang disediakan.

“Pertandingan ini hanya terbuka kepada saudara-mara dan hebahan awal sudah dibuat dalam kumpulan WhatsApp sebelum majlis berlangsung.

“Bukan hanya kanak-kanak tetapi yang dewasa turut menggayakan baju Hello Kitty untuk merebut hadiah pakaian terbaik,” katanya.

Antara hadiah itu ialah beg, botol air, bekas makanan, tuala dan pin.

MILIKI SET LENGKAP BARANGAN ELEKTRIK 

Sarah Ashiqin teruja kerana dapat memiliki kesemua set barangan elektrik Hello Kitty yang diidamkannya.

Barangan itu disumbangkan rakan-rakan sebagai hadiah perkahwinannya.

Ia terdiri daripada periuk tekanan, pembakar roti, pengisar makanan, air fryer dan pembuat waffle.

“Semua kawan-kawan sudah masak dengan minat saya dan tidak sangka mereka memberikan hadiah yang saya idamkan.

“Seolah-olah mereka sudah berjanji membeli barangan yang berbeza-beza sebab kesemua hadiah itu tidak sama,” katanya yang menjemput 1,200 tetamu ke majlis resepsi perkahwinan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×