KETIKA ramai memilih konsep minimalis dengan dinding kosong dan dekorasi serba ringkas, pelukis mural, Laila Salleh pula selesa membiarkan kediamannya dipenuhi warna, karya seni dan pelbagai koleksi yang sarat nilai sentimental.
Baginya, rumah bukan sekadar tempat untuk pulang berehat tetapi sebuah kanvas besar yang mencerminkan perjalanan hidup, minat dan cintanya terhadap seni yang diwarisi sejak kecil.
Tiada konsep khusus yang menjadi rujukan, namun gabungan karya seni, elemen kayu dan koleksi peribadi berjaya membentuk sebuah ruang yang unik, artistik dan penuh karakter.
Hasilnya, rumah ini tampil seperti sebuah galeri seni peribadi yang hidup dengan identiti penghuninya sendiri.
“Tiada konsep tertentu sebenarnya, ia lebih kepada angan-angan saya untuk mempunyai rumah yang terasa seperti studio seni dan galeri peribadi.
“Daripada remaja lagi saya selalu menyertai pameran seni, jadi sejak itu memang saya suka memenuhkan dinding dengan kanvas dan karya seni,” katanya.
Sentuhan seni sejak kecil
Elemen seni menjadi nadi utama dalam dekorasi rumahnya.
Ia jelas dilihat melalui susunan karya yang menghiasi hampir setiap ruang bermula daripada kanvas bersaiz besar sehinggalah ke karya kecil yang tersusun rapi.
Bagi Laila, inspirasi dan rujukan dalam menghias rumah rata-ratanya datang daripada platform Pinterest.
“Namun, saya turut menjadikan rumah-rumah dalam filem Indonesia sebagai inspirasi kerana kebanyakannya menampilkan gabungan warna berani dan susun atur unik,” ujarnya.
Inspirasi tersebut kemudiannya diterjemahkan mengikut cita rasa sendiri sehingga menghasilkan sebuah rumah yang tidak mengikut trend semata-mata tetapi lebih dekat dengan personaliti penghuninya.

Elemen kayu pelengkap ruang
Selain karya seni, rumah ini turut menampilkan penggunaan material kayu bagi memberikan keseimbangan visual kepada keseluruhan ruang.
Laila dan suaminya berkongsi minat sama terhadap produk berasaskan kayu, justeru beberapa elemen seperti ukiran kayu, bingkai hiasan dan para televisyen diperbuat daripada material tersebut.
“Walaupun kami tidak merancang mengikut konsep tertentu namun kombinasi tersebut memberi identiti yang cukup kuat kepada kediaman,” katanya.
Wall of fame
Ditanya mengenai ruangan kegemarannya, Laila memilih wall of fame sebagai sudut yang paling dekat di hatinya.
Katanya, dinding itu menjadi tempat himpunan pelbagai karya seni yang mempunyai nilai sentimental padanya dan keluarga.
Di situ juga turut tersusun karya seninya dan anak di samping daripada rakan-rakan artis lain.
Menariknya, koleksi papan luncur milik suaminya turut dipamerkan di ruang sama, menjadikan sudut tersebut sebagai representasi keseluruhan keluarga.
“Ruangan ini bukan hanya untuk dekorasi tetapi menjadi arkib visual buat keluarga kecil saya kerana menyimpan banyak kenangan dan perjalanan hidup kami,” katanya.
Dalam masa sama, Laila berkata, terdapat satu projek yang memerlukan pelaburan yang besar berbanding ruangan lain.
Pembinaan ruang loteng menjadi antara komponen yang melibatkan kos tertinggi dalam kediaman tersebut iaitu RM6,500.
Selain menambah nilai estetika, loteng tersebut turut membantu memaksimumkan penggunaan ruang kediaman secara lebih praktikal.

Dinding kanvas peribadi
Dinding rumah menjadi kanvas peribadi yang membolehkannya mencuba rekaan baharu, bermain dengan warna dan menghasilkan karya mengikut kehendak sendiri.
“Kalau mural di luar itu adalah kerja dan sumber pendapatan manakala di rumah pula saya boleh hasilkan apa sahaja yang sesuai dengan ruang kediaman saya,” katanya.
Karya yang dihasilkan di rumah turut berfungsi sebagai portfolio yang boleh dijadikan rujukan pelanggan pada masa hadapan.
Melalui pendekatan yang lebih peribadi dan bebas, rumah ini membuktikan dekorasi tidak semestinya perlu mengikut trend atau konsep tertentu.
Sebaliknya, elemen yang paling penting ialah kemampuan sesebuah ruang untuk mencerminkan kisah, minat dan identiti penghuninya sendiri.










