Blacky pandai buka sangkar, bawa geng berjalan

Blacky pandai buka sangkar, bawa geng berjalan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Seekor landak bukan sahaja pandai membuka sangkar sendiri, malah turut mengajak sembilan rakannya yang lain keluar berjalan-jalan.

Kenakalan landak bernama Blacky ini sering memeningkan pemiliknya Khairul Johari Mohd. Denie, 43.

Bagaimanapun, sifat itulah yang membuatkan dia semakin menyayangi haiwan tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, Blacky merupakan landak paling bijak dan rapat dengannya.

“Selalunya Blacky lah ketua yang pandai-pandai buka sangkar dan kemudian ajak kawan-kawannya keluar,” katanya kepada Seri.

Berasal dari Kampung Melayu Subang, Khairul Johari mengakui tertarik untuk memelihara haiwan itu kerana caranya berjalan.

“Landak ini kelakar, lebih-lebih lagi waktu berjalan. Nampak macam capybara yang memakai skirt,” katanya.

Daripada dua jadi 10 ekor
Pada awalnya, dia hanya membeli dua ekor anak landak daripada pembiak baka yang diiktiraf oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Selepas beberapa tahun, jumlahnya bertambah sehingga 10 ekor yang terdiri daripada dua jantan dan lapan betina.

Landak yang dipeliharanya kini berusia antara tujuh hingga lapan tahun dan setiap tahun biasanya menghasilkan antara lapan hingga 12 ekor anak.

Bagaimanapun, Khairul Johari tidak menyimpan semua anak landak berkenaan sehingga dewasa.

Sebaliknya, ia dilepaskan ke hutan di usia tiga bulan apabila sudah pandai berdikari.

Menurutnya, keputusan itu dibuat kerana dia tinggal di kawasan taman perumahan dan tidak mahu memelihara terlalu banyak landak sehingga mengganggu jiran.

“Memang sedih untuk lepaskan sebab sudah dibela dari kecil. Tapi pada masa sama saya bersyukur sebab dapat menyumbang kepada pemulihan hidupan liar.

“Apatah lagi, populasi landak sudah tidak banyak di hutan disebabkan pemburuan haram,” jelasnya.

 

Disangka hilang, rupanya tidur dalam bilik
Gelagat Blacky tidak terhenti setakat pandai membuka sangkar apabila Khairul Johari pernah berdepan dengan kejadian yang membuatkannya tercari-cari kelibat haiwan itu.

Katanya, ketika membersihkan kandang, Blacky didapati hilang tiba-tiba.

Setelah puas mencari, haiwan itu akhirnya ditemukan tidur bersama anak perempuannya di dalam bilik.

Lebih menghairankan, dia sendiri tidak mengetahui bila Blacky keluar dari kandang.

Kisah itu menjadi antara momen paling mencuit hati sepanjang dia memelihara landak.

Blacky juga gemar mengganggu isterinya ketika melipat pakaian dan menyebabkan keadaan rumah menjadi berselerak.

Penghibur di kala penat
Bagi Khairul Johari, Blacky bukan sekadar haiwan yang menghiburkan, malah turut menjadi peneman ketika dia keletihan.

Katanya, setiap kali penat, dia gemar duduk berhampiran kandang sebelum Blacky datang mendekati dan menjilat tangannya.

“Waktu itu, segala rasa penat dan letih hilang sekelip mata,” katanya.

Dari segi penjagaan pula, Khairul Johari membersihkan kandang setiap dua hari sekali dan memberikan makanan setiap hari.

Landak berkenaan pula lebih aktif pada waktu malam dan tidak terlalu memilih makanan.

Antara makanan kegemarannya ialah epal dan ubi kayu.

 

Rumah diserbu polis
Antara pengalaman yang dapat dilupakannya sepanjang memelihara haiwan eksotik ialah apabila rumahnya pernah diserbu 15 anggota daripada pelbagai pangkat yang lengkap dengan uniform operasi daripada Perisikan Siasatan Khas atau Unit Wildlife Crime Bureau (WCB/PSK) Bukit Aman.

Ketika kejadian, dia tiada di rumah sebelum isterinya menghubungi dalam keadaan cemas dan memintanya pulang segera.

Bagaimanapun, keadaan kembali tenang selepas pemeriksaan dibuat kerana semua haiwan peliharaannya mempunyai dokumen lengkap daripada Perhilitan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN