Wanita mempunyai tanggungjawab yang besar

Wanita mempunyai tanggungjawab yang besar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Ramai melihat kejayaan wanita sering diukur melalui jawatan tinggi, kedudukan atau pencapaian profesional. Namun bagi Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, martabat seorang wanita bermula daripada peranan yang dimainkan di dalam rumah.

Baginda mengakui wanita hari ini semakin cemerlang dalam pendidikan, malah bilangan pelajar perempuan di universiti mengatasi lelaki.

Namun, baginda bertitah, kejayaan itu tidak seharusnya menyebabkan wanita dipandang rendah hanya kerana berperanan sebagai ibu, isteri dan pembina sebuah keluarga.

“Apabila berkahwin, ada wanita yang memilih berhenti bekerja untuk memberi tumpuan kepada anak-anak. Sebab itu ada yang sanggup meninggalkan pekerjaan mereka. Namun begitu, wanita hari ini juga semakin bijak dan berpendidikan. Di universiti, jumlah pelajar perempuan kini mengatasi lelaki.

“Tetapi kita hidup dalam sebuah negara Islam. Saya mengakui wanita mempunyai emosi yang lebih tinggi dan bersifat sentimental. Ada masanya emosi itu boleh mempengaruhi pertimbangan yang dibuat.

“Namun, apa yang penting, wanita mempunyai satu tanggungjawab yang amat besar, iaitu membesarkan dan mendidik anak-anak.” titahnya.

Jelas baginda, hakikat itulah yang menyebabkan ramai wanita memilih untuk memperlahankan kerjaya demi memberi tumpuan kepada anak-anak, sekali gus menjelaskan mengapa banyak jawatan tertinggi masih didominasi lelaki.

Namun, baginda bertitah, pilihan itu bukan satu pengorbanan yang merendahkan martabat wanita, sebaliknya satu bentuk kekuatan kadangkala tidak dihargai masyarakat.

Mengimbau perjalanan membesarkan anak-anak, Tunku Azizah berkata, meskipun mempunyai pembantu rumah dan memikul tanggungjawab sebagai kerabat diraja, baginda tidak pernah menyerahkan sepenuhnya urusan menjaga anak kepada orang lain.

Sebaliknya, baginda memilih untuk memandikan sendiri anak-anak sejak lahir sehingga berusia setahun kerana percaya sentuhan seorang ibu membina ikatan yang tidak mampu diganti.

“Saya lahirkan anak, esok saya mandikan sendiri. Bukan jururawat, bukan orang gaji. Sampai umur setahun saya sendiri mandikan kerana bagi saya, air tangan dan air mandi ibu itu yang merapatkan hubungan saya dengan anak.” luahnya.

Selain itu, baginda juga memasak sendiri makanan anak-anak sehingga mereka berusia setahun walaupun jadual sebagai Raja Permaisuri ketika itu amat padat.

“Walau sibuk macam mana pun, saya masak lauk anak sendiri. Itu tanggungjawab saya sebagai ibu.” titahnya.

Baginda bertitah, anak-anak juga tidak pernah mencari pembantu rumah ketika sakit kerana sejak kecil mereka dibiasakan tidur bersama ibu dan bergantung kepada kasih sayang keluarga.

Baginda turut memastikan sendiri urusan persekolahan, kelas tuisyen, pakaian dan keperluan harian anak-anak, manakala Sultan Pahang yang sering menjalankan tugas rasmi di luar negara memberi kepercayaan penuh kepada baginda menguruskan hal ehwal keluarga.

Berkongsi sisi romantis kehidupan berumah tangga, Tunku Azizah berkata, suaminya tidak pernah memanggil baginda dengan gelaran ‘Permaisuri’, sebaliknya lebih gemar memanggilnya sebagai ‘suri yang permai’.

Ciuman penuh kasih daripada Missclyen anak Roland kepada Tengku Ampuan Pahang.

Gelaran itu menurut baginda lagi, cukup menggambarkan penghargaan terhadap tugas seorang isteri yang menjadi nadi di sebalik keharmonian rumah tangga.

“Bagi saya, peranan wanita ialah menjadikan rumah itu tempat paling bahagia untuk suami pulang, tempat anak-anak membesar dengan kasih sayang dan penuh ketenteraman.

“Ini kerana rumah yang bahagia tidak datang sendiri. Wanita memainkan peranan besar untuk mewujudkan keharmonian itu. Di situlah sebenarnya letaknya kekuatan seorang wanita,” titah baginda.

 

‘Ada yang panggil saya mandul, hati saya hancur’

Di sebalik kelembutan tutur kata dan senyuman baginda, tersimpan kisah duka yang tidak pernah dilupakan.

Baginda mengakui pernah melalui saat yang amat perit apabila dilabel sebagai wanita mandul sebelum dikurniakan cahaya mata.

“Saya pernah dipanggil mandul. Adakah hati saya tidak hancur? Sudah tentu hati saya hancur. Tetapi semua itu bukan kehendak saya.

“Allah menentukan segala-galanya. Masa itu milik Allah. Semua ilmu yang saya peroleh daripada Allah. Semua yang berlaku dalam hidup saya juga mengikut waktu yang telah ditentukan oleh-Nya.

“Tetapi saya takkan ampunkan orang yang memanggil saya mandul. Dia akan tahu siapa dirinya sebaik sahaja artikel ini diterbitkan,” titahnya.

Yayasan Fertiliti Tunku Azizah (TAFF) ditubuhkan pada 2004 atas inisiatif Baginda sendiri bagi membantu pasangan suami isteri yang berdepan masalah kesuburan mendapatkan rawatan persenyawaan tabung uji (IVF).

Sehingga kini, yayasan itu telah menaja rawatan IVF kepada 676 pasangan di seluruh negara yang menghadapi kesukaran mendapatkan cahaya mata. Hasil usaha berterusan itu juga, TAFF telah merekodkan kelahiran lebih 156 bayi, sekali gus merealisasikan impian ratusan pasangan untuk bergelar ibu bapa.

Tunku Azizah bersama anakanda berkenan ke Pameran Tenun Pahang Diraja di Galeri Royal Selangor.

Tenun Pahang warisan dekat di hati
Kecintaan terhadap Tenun Pahang bukan sekadar minat terhadap seni warisan, malah ia berkait rapat dengan sejarah keluarga diraja yang diwarisi turun-temurun.

Baginda mengakui sering berdebat secara berseloroh dengan Sultan Johor mengenai asal-usul tenun, apabila masing-masing mempertahankan keunikan tenun negeri sendiri.

“Saya suka bergaduh dengan abang saya. Kadang-kadang dia kata itu Tenun Johor, saya pula kata tidak, itu Tenun Pahang. Tetapi sekarang sudah ada buktinya. Buku mengenai hukum kanun itu menggunakan Tenun Pahang pada kulit hadapannya,” titah baginda.

Mengimbau sejarah keluarga, baginda bertitah Allahyarham Tengku Ampuan Mariam Almarhum Sultan Sir Abu Bakar, kerabat diraja Johor yang juga adinda kepada Sultan Ibrahim, sebelum ini tidak mempunyai zuriat sebelum berkahwin dengan Sultan Abdullah dari Pahang.

Menurut baginda, Almarhum Sultan Abdullah sering mengirimkan kain tenun kepada Tunku Ampuan Mariam untuk dijadikan hadiah kepada tetamu sebagai lambang penghargaan dan kemuliaan institusi diraja.

Baginda bertitah, tradisi itu membuktikan Tenun Pahang bukan sekadar sehelai kain, malah menjadi sebahagian daripada identiti dan warisan Kesultanan Pahang yang perlu terus dipelihara.

Atas semangat itu juga, baginda menyifatkan usaha memartabatkan Tenun Pahang sehingga dimasyhurkan sebagai Tenun Pahang Diraja pada Mei 2026.

Selain itu, baginda mengakui persefahaman dengan Sultan Pahang menjadi pelengkap dalam memastikan khazanah warisan itu terus kekal hidup untuk generasi akan datang.

 

Berkongsi tips kecantikan
Baginda mengakui bukan seorang yang gemar bersolek setiap hari, sebaliknya lebih selesa tampil sederhana.

Bagi baginda, keyakinan, kesederhanaan dan disiplin menjaga diri merupakan rahsia kecantikan sebenar, jauh lebih bernilai daripada penampilan yang hanya bergantung kepada solekan.

“Saya rasa ia bergantung kepada cuaca dan faktor usia. Orang Melayu kata, apabila umur semakin meningkat, memang akan nampak perubahan itu.

“Saya memakai krim setiap hari. Saya tidak kisah jenama apa sekalipun. Saya akan sapu krim pada waktu pagi dan malam. Itu sahaja rutin saya.

“Saya pula bukan jenis yang memakai alat solek setiap hari.” titahnya.

Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama Tengku Ampuan Pahang berkenan bergambar bersama rakyat jelata ketika Kembara Pahang 1.0.

Suka makanan Melayu, kurang makanan manis
Baginda mengakui gemar menikmati masakan Melayu, namun tetap mengambil berat soal kesihatan dan pemakanan.

Baginda berkongsi kini mengalami penurunan berat badan sehingga 10 kilogram (kg) selepas mengurangkan pengambilan makanan manis.

“Anak saya kemudian beritahu supaya saya naikkan semula berat badan sebanyak 5 kg. Jadi sekarang saya sibuk makan, esok lusa kalau jumpa saya lagi, harap-harap nampak lebih berisi,” titahnya dengan santai.

 

‘Belajar buat saya rasa muda’
Usia bukan penghalang untuk terus menimba ilmu, sebaliknya, baginda percaya proses pembelajaran sepanjang hayat membuatkan seseorang kekal berfikiran muda dan terbuka.

Malah, dengan teknologi lebih moden pada masa kini, baginda percaya proses pembelajaran itu menjadi lebih mudah bagi setiap pelajar termasuk dirinya yang menyambung pelajaran pada usia 66 tahun.

“Belajar membuatkan saya sentiasa berasa muda. Saya bercerita dalam kelas, zaman awak semua ada. Google ada. Semua terletak di tangan kita. Kalau tidak berjaya juga, saya tidak tahulah nak cakap apa lagi,” titahnya.

Baginda bertitah yang setiap kuliah dihadirinya akan mempunyai pelajar yang berbeza-beza, malah baginda turut meminta dirinya diberi layanan sama seperti pelajar lain.

“Tetapi kalau mereka (pensyarah) fikir saya tidak layak untuk meneruskan pembelajaran, mereka boleh kata, pergi balik sahajalah Tuanku, jangan buang masa dan saya rasa Tuanku lebih baik duduk di rumah. Saya tidak rasa Tuanku boleh pergi jauh.

“Tetapi tidak, dengan usia saya sebegini, saya lebih memahami setiap proses pembelajaran dan mampu mengkaji dengan lebih mendalam untuk melengkapkan tesis. Kalau saya menyambung pelajaran pada usia 30-an, mungkin saya tidak mampu membuat kajian seperti sekarang,” titahnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN