Pura-pura bahagia depan orang lain

Pura-pura bahagia depan orang lain

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Soalan:
Saya seorang yang aktif, ceria dan positif bila berdepan dengan orang. Tetapi hakikatnya, saya sangat penat dan tertekan dengan kehidupan sendiri. Banyak luka lama yang belum sembuh membuatkan saya sering dihantui kisah silam.

-Yang ceria

 

Jawapan:

Ramai orang kelihatan ceria, positif dan kuat di hadapan orang lain, tetapi hakikatnya tidak semua benar-benar baik-baik sahaja. Ada yang sedang memikul tekanan, luka lama dan keletihan emosi yang tidak kelihatan.

Apabila bersendirian, perasaan yang dipendam sering muncul semula sehingga menyebabkan keletihan emosi walaupun dari luar nampak seperti tiada masalah. Berikut ialah beberapa tip untuk anda.

 

-Akui perasaan sendiri
Jangan paksa diri untuk sentiasa ‘okay’. Mengaku anda penat atau tertekan adalah langkah pertama untuk kembali pulih. Beri ruang emosi negatif hadir sebagai sebahagian daripada proses penyembuhan.

-Luangkan masa
Ambil masa untuk diri sendiri tanpa gangguan orang, media sosial atau kerja. Layan diri seperti anda melayan orang lain dalam kesusahan. Beri kata-kata positif dan elakkan daripada kata negatif. Rehat bukan tanda lemah, tetapi keperluan mendapatkan semula tenaga untuk bangkit.

-Menulis jurnal
Meluah perasaan melalui tulisan boleh mengurangkan perasaan yang terpendam. Luka lama tidak akan sembuh jika hanya disimpan atau dilupakan. Menulis pengalaman silam membantu mengeluarkan beban dari minda dan memudahkan untuk memproses dengan lebih tenang.

-Bina sempadan emosi
Anda tidak perlu menjadi pakar motivasi untuk semua orang. Jaga kesejahteraan emosi diri dahulu sebelum membantu orang lain. Utamakan kesembuhan diri bukanlah mementingkan diri, sebaliknya ia satu keperluan untuk memastikan anda kekal stabil dan sihat.

-Cari sokongan
Bercakap dengan seseorang yang anda percayai seperti rakan rapat, ahli keluarga atau kaunselor dapat membantu mengurangkan bebanan. Sokongan emosi daripada mereka dapat memberi kelegaan dan perspektif baharu terhadap situasi dihadapi.

-Jaga kesihatan diri
Cukupkan tidur, makan dengan baik dan lakukan aktiviti menenangkan. Gunakan juga teknik 5-4-3-2-1 (5 benda dilihat, 4 disentuh, 3 didengar, 2 dihidu, 1 dirasa) apabila kenangan lama muncul. Teknik ini membantu mengembalikan fokus ke masa kini dan mengurangkan gangguan daripada masa lalu.

Keceriaan luar tidak bermaksud tiada pergolakan dalaman.

Setiap orang mempunyai luka sendiri, yang penting fahami diri, beri ruang untuk pulih dan jangan memaksa diri untuk sentiasa kuat.

Penyembuhan mengambil masa dan nikmati prosesnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN