Perkahwinan sering dianggap sebagai fasa tertinggi oleh kebanyakan anak muda. Ramai yang memasang angan-angan untuk membina keluarga sendiri, memiliki rumah dan menjalani kehidupan bersama pasangan.
Namun, apabila ditanya mengapa masih belum berkahwin, jawapan yang kerap diberikan ialah kos sara hidup tinggi dan ekonomi tidak menentu.
Persepsi itu ada benarnya. Harga rumah mahal, kos sewa meningkat, perbelanjaan harian membebankan serta gaji dirasakan tidak seiring dengan kenaikan kos hidup membuatkan ramai menangguhkan perkahwinan.
Bagi mereka, lebih baik menunggu sehingga benar-benar stabil daripada memulakan kehidupan berkeluarga dalam keadaan serba kekurangan.
Namun, adakah faktor kewangan semata-mata menjadi penghalang? Hakikatnya, terdapat pelbagai cabaran lain yang mempengaruhi keputusan mereka.
Antaranya ialah perubahan cara berfikir mengenai perkahwinan itu sendiri. Jika dahulu berkahwin pada usia awal 20-an dianggap perkara biasa, kini ramai melihat perkahwinan sebagai satu komitmen besar yang memerlukan persediaan emosi, mental dan kematangan yang tinggi.
Mereka tidak lagi mahu berkahwin hanya kerana faktor usia atau tekanan daripada keluarga.
Ramai anak muda kini lebih memberi keutamaan kepada pembangunan kerjaya. Ada yang mahu menyambung pengajian, mengejar kenaikan pangkat atau mencapai sasaran kewangan tertentu.
Media sosial juga memainkan peranan. Paparan kehidupan pasangan yang kelihatan sempurna, majlis perkahwinan mewah dan gaya hidup indah membentuk jangkaan yang sukar dicapai.
Akibatnya, ada yang rasa mereka perlu menyediakan segala-galanya sebelum berkahwin.
Tidak kurang juga yang dibelenggu ketakutan terhadap kegagalan rumah tangga. Statistik perceraian, kisah kecurangan dan konflik rumah tangga yang tular membuatkan sesetengah anak muda menjadi lebih berhati-hati.
Sokongan keluarga juga tidak boleh diketepikan. Masih ada ibu bapa yang meletakkan syarat tertentu seperti memiliki rumah, kereta atau pendapatan tinggi sebelum mengizinkan anak berkahwin. Walaupun niatnya baik, tekanan seperti ini kadangkala membuatkan pasangan muda terus menangguhkan hasrat mereka.
Perkahwinan bukan perlumbaan untuk melihat siapa paling cepat mendirikan rumah tangga, sebaliknya ia ialah kesediaan dua individu untuk saling bertanggungjawab, bertolak ansur dan membina kehidupan bersama.
Adlinahani Khalil ialah Pengarang Berita Gaya Utusan Malaysia.










