Nur Syakirah ubah manik jadi jambangan bernilai

Nur Syakirah ubah manik jadi jambangan bernilai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Daripada sekadar melihat hasil bunga tangan manik di media sosial, minat seorang anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) terhadap seni kraftangan itu kini berkembang menjadi hobi yang bukan sahaja memberi kepuasan, malah menjana pendapatan sampingan.

Bagi Nur Syakirah Zaabah, 29, yang berasal dari Seri Manjung, Perak, minat terhadap bunga tangan manik timbul sejak tahun lalu selepas melihat hasil karya pengusaha luar negara di media sosial.

“Saya nampak pengusaha dari Vietnam menghasilkan bunga tangan manik dan harganya mencecah ribuan ringgit.

“Daripada situ saya terfikir ia boleh menjadi sumber pendapatan sampingan saya,” katanya kepada Seri.

Baginya, bunga tangan manik mempunyai keistimewaan tersendiri berbanding bunga segar kerana berkilat, cantik, menarik, tahan lasak dan tahan lama.

Minatnya terhadap dunia kraftangan telah dipupuk sejak kecil kerana ibunya menghasilkan kraftangan mengait, manakala kakaknya pula menghasilkan bunga dawai berbulu.

“Sejak kecil saya memang sudah berkecimpung dalam dunia kraftangan kerana emak dan kakak saya juga membuat kraftangan,” kata pemegang Diploma Seni Kulinari itu.

Belajar sendiri
Berbeza dengan sesetengah pengusaha yang mengikuti kelas atau bengkel, Nur Syakirah pula selesa belajar sendiri.

Katanya, teknik itu dikuasai dengan melihat corak bunga yang dihasilkan.

Lantas dia memberanikan diri membuat bunga lily, walaupun hasilnya tidak memberangsangkan.

“Hasilnya memang buruk tetapi saya tidak mudah mengalah dan terus berlatih sehingga boleh menghasilkan corak bunga sendiri,” katanya.

Pada peringkat awal, antara cabaran terbesarnya ialah sering terluka tangan akibat terkena dawai.

Walaupun luka itu kecil, sakitnya boleh dirasai selama dua atau tiga hari.

Tambahnya, dia tidak mengambil masa yang lama untuk menguasai teknik asas menghasilkan bunga tangan manik kerana mula belajar pada 1 Jun sebelum menerima tempahan pertamanya pada 10 Jun.

 

Ketelitian penting
Menurut Nur Syakirah, proses menghasilkan bunga tangan manik bermula dengan mencari gambar bunga hidup di Google sebelum menghasilkan sendiri corak kelopak berdasarkan pemerhatiannya.

“Saya cari gambar bunga hidup, kemudian saya hasilkan sendiri corak kelopak mengikut apa yang dilihat.

“Memang tidak sama 100 peratus, tetapi ia mirip bunga sebenar,” jelasnya.

Bahan utama yang digunakan ialah manik, dawai dan kombinasi warna sesuai.

Tempoh menyiapkan setiap bunga bergantung kepada jenis bunga yang dihasilkan.

“Daun eucalyptus boleh disiapkan dalam masa kira-kira setengah jam, manakala bunga lily mengambil masa kira-kira satu setengah jam,” katanya.

Tambahnya, bahagian paling mencabar dalam proses penghasilan ialah lacing atau anyaman bagi memastikan bentuk setiap kelopak bunga dapat dikekalkan.

Dalam setiap hasil kerja, Nur Syakirah sentiasa menitikberatkan aspek kekemasan, ketahanan, kombinasi warna dan kualiti bunga yang dihasilkan.

Bagi menghasilkan rekaan baharu, dia banyak mendapatkan inspirasi daripada bunga luar negara serta pelbagai gambar rujukan yang ditemui di internet.

Antara bunga yang paling digemarinya untuk dihasilkan ialah chrysanthemum, orkid dan lily.

Dari segi pemilihan warna pula, Nur Syakirah lebih gemar menggunakan konsep pastel, whimsical, klasik dan moden bagi menghasilkan gubahan yang menarik.

Sekiranya hasil bunga tidak menepati seperti yang dirancang, dia akan menghasilkan semula bunga tersebut dari awal.

“Saya memang tidak puas hati kalau bunga itu tidak cantik, jadi saya akan buat semula sehingga menjadi,” katanya.

 


Jana pendapatan
Paling menyeronokkannya apabila pelanggan berkongsi gambar menggunakan hasil buang tangannya pada majlis mereka.

“Saya rasa seperti dapat merealisasikan impian mereka di hari bahagia,” katanya.

Kepuasan terbesar dirasai apabila berjaya menyiapkan bunga tangan yang cantik.

Selain memberi kepuasan, penghasilan bunga tangan manik turut menjadi terapi buat dirinya kerana dapat membantu mengurangkan tekanan di tempat kerja.

Nur Syakirah berkata, keluarga dan rakan-rakan sentiasa memberi sokongan terhadap minatnya itu.

Kebanyakan pelanggan terdiri daripada bakal pengantin yang menempah bunga tangan untuk majlis perkahwinan, pertunangan serta hiasan meja.

Katanya, rekaan jenis cascade atau berjuntai merupakan antara pilihan yang paling mendapat sambutan daripada pelanggan.

Malah, dia kini sedang menyiapkan satu tempahan yang lebih mencabar dengan nilai melebihi RM600 bagi sejambak bunga tangan.

Bagi memastikan setiap tempahan memenuhi kehendak pelanggan, Nur Syakirah sentiasa mengemas kini perkembangan penghasilan bermula daripada pemilihan warna manik, proses pembuatan sehingga hasil akhir.

Di masa hadapan, dia berharap lebih ramai menghargai hasil seni kraftangan bunga tangan manik yang dihasilkan.

“Harapan saya supaya lebih ramai menghargai hasil seni kraftangan yang saya hasilkan,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN