Konsep dekorasi dopamine kini semakin mendapat perhatian kerana ia bukan sahaja mengutamakan aspek estetika malah mampu membangkitkan emosi positif melalui penggunaan warna dan perabot yang terang dan berani.
Berbeza dengan konsep minimalis yang sering didominasi dengan tona neutral, konsep dopamine ini memberi kebebasan kepada pemilik kediaman bagi menyerlahkan kreativiti dan personaliti melalui padanan warna yang menceriakan setiap ruang.
Menurut Muhammad Saiful Mazlan, walaupun dekorasi rumahnya merupakan dari gabungan beberapa konsep namun dekorasinya lebih cenderung kepada konsep dopamine.
Katanya, dia suka bermain dengan warna-warna terang dan ceria kerana ia membuatkan rumahnya terasa lebih hidup, menyeronokkan serta mencerminkan personalitinya.
“Saya bekerja dalam industri perabot, jadi setiap hari apabila saya melihat banyak dekorasi yang menggunakan warna neutral seperti putih, kelabu dan beige. Lama-kelamaan saya rasa agak bosan dengan warna-warna tersebut.
“Sebab itu, saya memilih konsep yang lebih berwarna kerana ia memberi mood yang ceria dan membuatkan saya lebih seronok apabila berada di rumah,” katanya.

Inspirasi media sosial
Muhammad Saiful menjadikan media sosial sebagai sumber utama bagi mendapatkan idea dekorasi yang lebih kreatif.
“Saya suka mengambil inspirasi daripada pelbagai sumber sebelum mengolahnya mengikut cita rasa sendiri.
“Malah, kebanyakan inspirasi saya datang daripada perkongsian rakan-rakan di aplikasi Threads dan juga akaun dekorasi rumah di Instagram dari luar negara,” ujarnya.
Menurutnya, media sosial kini menjadi platform yang memudahkan pencinta dekorasi melihat pelbagai idea dan gaya dekorasi dari seluruh dunia.
Ujarnya, tempoh kira-kira dua bulan diambil bagi menyiapkan secara berperingkat dengan anggaran kos keseluruhan sekitar RM10,000 termasuk perabot, dekorasi dan aksesori.
Proses menghias rumah tidak dilakukan secara tergesa-gesa sebaliknya setiap pembelian dibuat mengikut keperluan.
Pendekatan ini memberi ruang bagi menilai kesesuaian setiap perabot dan hiasan sebelum dipadankan dengan elemen lain di dalam rumah.
Dalam masa sama, Muhammad Saiful turut membeli barangan terpakai terutama vintaj yang sudah tamat pengeluarannya.
Baginya, barangan vintaj mempunyai nilai estetika yang sukar diperoleh pada barangan baharu.
“Contohnya seperti jam Ikea yang sudah tidak lagi dikeluarkan. Saya suka item yang mempunyai karakter dan nilai tersendiri kerana ia menjadikan rumah lebih unik,” katanya.

Ruang cerminan Jiwa
Kata Muhammad Saiful, dapur dan ruang tamu merupakan ruang yang dekat di hatinya.
Walaupun kedua-dua ruang itu mempunyai fungsi berbeza namun ia saling melengkapi dalam mencipta suasana yang ceria, selesa dan menyenangkan untuk didiami setiap hari.
Katanya, dapur menjadi tumpuan kerana gabungan warna-warna berani yang masih kelihatan harmoni manakala ruang tamu pula menjadi tempat untuk berehat dan bersantai.
“Dengan pemilihan warna-warna yang terang saya tetap memastikan elemen ini saling melengkapi bagi dapur dan ruang tamu agar ia tidak kelihatan sarat,” ujarnya.
Katanya, minat untuk mendekorasi rumah ini sudah bermula sekitar 2020 ketika dia masih menetap bersama ahli keluarganya.
Malah, minat tersebut berkembang dengan lebih serius selepas dia berpindah ke rumah sendiri pada 2024.
“Memiliki kediaman sendiri memberikan saya lebih kebebasan untuk bereksperimen dengan pelbagai idea dan menghasilkan konsep yang benar-benar menggambarkan personaliti diri,” katanya.










