Setiap orang melalui ujian berbeza. Ada yang diuji menjadi sebahagian daripada `generasi sandwic’ atau istilah mudahnya memikul amanah dua generasi.
Ia bukanlah sesuatu yang mudah.
Di satu sisi mereka perlu memberi perhatian kepada anak-anak yang sedang membesar, dalam masa sama memikul tanggungjawab sebagai anak kepada ibu bapa yang uzur. Situasi ini sudah pasti menguji mental, emosi dan fizikal mereka.
Minggu ini saya kongsikan kisah Jamilah (bukan nama sebenar) seorang wanita yang turut diuji menjadi sebahagian daripada generasi sandwic yang memikul amanah dua generasi.
Jamilah berada di tengah-tengah dan perlu mencari keseimbangan antara tanggungjawab terhadap keluarga dan tuntutan dalam kerjaya. Lebih mencabar, dia dan suami terpaksa menjalani kehidupan sebagai pasangan perhubungan jarak jauh kerana tuntutan pekerjaan.
Kisah Jamilah dikongsikan sendiri oleh tuan badan dalam pertemuan baru-baru ini.
Wanita berusia awal 40-an ini bukan mahu mengeluh, jauh sekali untuk menunjukkan dia lebih kuat atau baik daripada orang lain.
“Saya adalah wanita biasa yang melalui ujian kehidupan seperti orang lain. Jika kisah ini mampu menjadi pengajaran agar kita lebih menghargai keluarga, terutama ibu bapa dan anak-anak, cukuplah itu sebagai tujuan saya berkongsi,” ujarnya.
Jamilah memilih untuk berkongsi cerita kerana percaya, di luar sana ada insan yang sedang memikul situasi sama.
Meneruskan cerita katanya, sejak awal perkahwinan lagi dia dan suami terpaksa menjalani perhubungan jarak jauh.
Bukan kerana mahu hidup berjauhan, tetapi mereka tiada pilihan lain.
Suaminya, Anuar (bukan nama sebenar) bekerja di utara tanah air, manakala dia kekal di Selangor.
Ini kerana tuntutan pekerjaan, anak-anak yang masih bersekolah dan ibu bapa uzur yang memerlukan perhatian.
Mereka berjanji, setiap dua atau tiga minggu sekali suami pulang jika keadaan mengizinkan.
Namun tidak semua hujung minggu menjadi milik mereka. Keadaan ini, membuatkan Jamilah terpaksa meneruskan kehidupan seperti ibu tunggal, walaupun pada hakikatnya dia masih mempunyai suami.
Katanya, menjalani kehidupan dalam perhubungan jarak jauh bukanlah sesuatu yang mudah. Bagi sesetengah orang, jarak adalah ukur kilometer, tetapi bagi yang menjalaninya ia bermaksud memikul tanggungjawab seorang diri hampir setiap hari.
“Selama hampir 12 tahun saya belajar melakukan banyak perkara sendirian. Menguruskan anak-anak, rumah tangga, ibu bapa yang uzur, dalam masa sama memikul tanggungjawab sebagai pekerja.
“Ada masanya saya kuat dan ada masanya saya hampir rebah,” luahnya.
Menurut Jamilah, ada yang bertanya mengapa dia tidak berhenti kerja dan mengikut suami berpindah. Hakikatnya, keputusan itu bukanlah semudah mengucapnya.
“Kami pernah berbincang panjang mengenai perkara tersebut, bukan tidak pernah terlintas di fikiran untuk saya meninggalkan kerjaya dan mengikut suami.
“Siapa tak mahu hidup bersama suami, siapa yang tidak mahu anak-anak membesar dengan kehadiran bapa. Namun kami terpaksa berpijak pada realiti,” ujarnya.
Sambung Jamilah, pendapatan suami sahaja tidak mencukupi untuk menanggung keseluruhan keperluan keluarga. Mereka mempunyai komitmen yang perlu diselesaikan setiap bulan.
Perbelanjaan anak-anak semakin meningkat, ansuran rumah, bil utiliti, kenderaan dan kos perubatan kedua ibu bapa.
Menurut Jamilah, gajinya bukan sekadar membantu, ia menjadi salah satu tiang yang memastikan keluarga mereka terus berdiri.
Sebab itu dia memilih untuk terus bekerja. Mereka tidak mempunyai banyak pilihan. Dia dan suami berusaha memastikan semua orang yang berada dalam tanggungjawab mereka dapat meneruskan kehidupan sebaik mungkin.
Kata Jamilah, rutin hariannya bermula sebelum Subuh lagi. Dia memastikan keperluan anak-anak untuk ke sekolah selesai sebelum bergegas ke rumah ibu bapa yang terletak hanya selang dua buah rumah dari kediamannya.
Bukan setakat menyediakan sarapan, dia juga bertanggungjawab memastikan segala keperluan ibu bapanya mencukupi.
Bapanya, Munir (bukan nama sebenar) berusia pertengahan 70-an itu terlantar di katil sejak diserang strok dua tahun lalu.
Manakala kesihatan ibunya, Ainon (bukan nama sebenar) juga semakin merosot.
Ubat-ubatan, janji temu hospital dan keperluan ibu bapa menjadi sebahagian tanggungjawabnya.
Oleh kerana dia perlu keluar bekerja, dia mengambil keputusan untuk mengupah seorang jiran wanita dipercayai untuk menjenguk mereka pada waktu siang.
Di tempat kerja, Jamilah cuba memberi yang terbaik.
Tugasnya sebagai eksekutif perakaunan di sebuah syarikat swasta menuntut ketelitian, fokus dan disiplin tinggi.
Dia tidak menafikan kadangkala fikirannya melayang memikirkan keadaan ibu bapa di rumah.
Apabila diuji dengan kehidupan seperti itu, ada ketikanya dia terlalu berharap kehadiran suami di sisi.
Ketika anak-anak jatuh sakit serentak, bapa pula tiba-tiba diserang sawan di tengah malam dan terpaksa meninggalkan ibu sendirian di rumah.
Sepanjang tempoh itu, Jamilah terpaksa berulang alik antara hospital, rumah ibu bapa dan rumah sendiri.
Malah, dia turut memohon cuti tanpa gaji walaupun pendapatan mereka sekeluarga terjejas.
Semua itu dihadapinya seorang diri.
Setiap kali dia berhadapan dengan situasi itu, suami hanya mampu mendengar dari hujung talian. Dia tahu suaminya juga berada dalam keadaan tersepit.
Jika suami berhenti kerja, bagaimana mereka mahu membayar pinjaman rumah, kenderaan, perbelanjaan persekolahan anak-anak, dan kos rawatan ibu bapa.
Dalam menghadapi semua keadaan itu, Jamilah memilih untuk bertahan dan bersabar.
Bukan kerana hidupnya sentiasa mudah, tetapi kerana dia tahu ada amanah yang perlu pikul dan dijaga.
Banyak pengajaran yang boleh diambil daripada kisah Jamilah termasuk tentang kesabaran, keikhlasan dan kasih sayang.
Selain itu, ia turut mengajar kita supaya tidak mudah menilai kehidupan orang lain.
Bagi suami atau isteri yang terpaksa menjalani perhubungan jarak jauh demi mencari rezeki yang halal, hargailah setiap pengorbanan pasangan.
Walaupun berjauhan, kasih sayang, doa dan sokongan yang tidak putus menjadi kekuatan untuk pasangan menghadapi ujian tersebut.
Sesungguhnya, setiap ujian yang Allah berikan termasuk memikul tanggungjawab menjaga anak-anak dan kedua ibu bapa uzur, adalah mengikut kemampuan seseorang.
Sebagaimana firman Allah SWT, “Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya.” (Al Baqarah:286)










