Tidak ramai usahawan mampu mempertahankan jenama selama hampir dua dekad, namun itulah yang dilakukan Pengarah Urusan Naturalife Solution Sdn. Bhd., Ili Zawani Ismail, 40, menerusi Farmasi Colour Cosmetics (FCC).
Dua dekad bertahan dalam dunia perniagaan
Dunia perniagaan bukan pilihan pertamanya, namun atas permintaan bapa tersayang, wanita ini mula berjinak-jinak dengan bidang tersebut seawal usia 20 tahun.
Ketika rakan-rakan lain sibuk dengan pelajaran mahupun berusaha mencari pekerjaan, Ili Zawani Ismail sudah mengorak langkah dalam dunia perniagaan yang penuh pancaroba.
Pelbagai produk pernah dipasarkannya, daripada suplemen kesihatan, tanah liat kanak-kanak hinggalah ke wangian premium, sebelum beliau akhirnya menemui Farmasi Colour Cosmetics (FCC) pada 2007.
Katanya, FCC merupakan jenama kosmetik dan penjagaan diri halal dari Istanbul, Turkiye yang kini dieksport ke lebih 125 negara di seluruh dunia.

“Saya mengenali jenama ini ketika menghadiri ekspo kecantikan di Istanbul dan tertarik dengan keunikan utamanya iaitu status halal di samping kualiti premium.
“Ketika itu, produk kosmetik halal masih belum begitu meluas di pasaran dan saya nekad untuk memperkenalkannya ke Malaysia pada 2008 sebelum diperluaskan ke Singapura serta Brunei,” katanya kepada Seri baru-baru ini.
Hasil usaha keras, produknya berjaya menembusi rangkaian pasar raya utama seperti Parkson, AEON Wellness dan Sogo.
Seiring perkembangan zaman, produknya turut beralih ke platform dalam talian selain mempunyai experience centre di Petaling Jaya.
Mengimbas kembali awal perjalanan perniagaannya, Ili Zawani pernah berdepan ujian besar apabila ratusan ribu stok kosmetik yang diimport dari Turkiye terkandas.
Lebih meresahkan, barangan tersebut berisiko dilupuskan oleh pihak berkuasa akibat isu dokumentasi.

Situasi bertambah sukar apabila stok itu terkandas selama setahun hingga jualan merosot, kaunter terpaksa ditutup dan pelanggan hilang.
“Masa itu saya sudah putus asa dan menangis tidak henti-henti, tetapi masalah saya tetap tidak selesai.
“Orang mungkin fikir tutup sahaja perniagaan, tetapi ia tidak semudah disangka kerana saya masih perlu membayar gaji pekerja dan menyelesaikan hutang-hutang lain. Mahu atau tidak, saya perlu meneruskannya,” katanya.
Ujian berat itu membentuk dirinya menjadi usahawan yang lebih cekal dan berdaya tahan, hingga mampu menerajui FCC hampir dua dekad.
Selesa jual produk orang
Walaupun ramai usahawan berlumba-lumba menghasilkan produk sendiri, dia kekal memilih untuk bersama FCC.

Pemegang sijil The Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) ini lebih selesa memasarkan produk sedia ada yang terbukti berkualiti dan diterima di peringkat global.
Baginya, kejayaan perniagaan bukan terletak pada penciptaan produk baharu, tetapi kebijaksanaan memilih model yang stabil dan berisiko rendah.
Langkah itu juga dipilih bagi mengelakkan kerumitan proses penyelidikan dan pembangunan (R&D), selain mengurangkan risiko sebagai usahawan.
“Tidak salah untuk sesiapa menjadi pengasas produk, tetapi kena bersedia dengan cabaran yang datang bersama.
“Saya ada ramai kawan pengasas produk dan saya nampak sendiri tekanan yang mereka lalui, jadi saya tidak mahu melalui situasi yang memeningkan kepala.
“Proses R&D memang rumit, malah saya pernah melihat produk sama hanya ditukar nama sehingga akhirnya timbul isu yang memberi kesan kepada pengguna dan pengusaha.
“Kalau ada platform yang lebih mudah dan boleh buat duit banyak, kenapa perlu pilih jalan yang susah dengan mengeluarkan produk sendiri?” katanya.
Jelasnya, usahawan tidak semestinya perlu mahir dalam semua perkara, cukuplah dengan memberi fokus kepada bidang kepakaran masing-masing.

Ini membolehkan perjalanan perniagaan menjadi lebih tenang dan teratur, tanpa perlu memikirkan terlalu banyak perkara yang boleh membebankan.
Bina komuniti usahawan
Misi Ili Zawani kini adalah untuk membangunkan komuniti usahawan yang dikenali sebagai pengasas generasi baharu.
Setakat ini, dia berjaya mengumpulkan kira-kira 20,000 usahawan aktif di bawah rangkaiannya.
“Komuniti ini tidak menghasilkan produk sendiri, sebaliknya berniaga dan menjana pendapatan dengan menggunakan platform sedia ada, iaitu FCC.
“Model ini kini turut digunakan oleh banyak jenama besar di peringkat global untuk saling melengkapi kekuatan masing-masing,” katanya.
Pendekatan tersebut bukan sahaja fleksibel, malah rendah risiko dan mudah diuruskan.
Selain itu, ia turut membuka ruang kepada lebih ramai individu termasuk suri rumah dan ibu tunggal untuk meraih pendapatan.
Pilih sederhana
Ili Zawani menolak budaya menunjuk-nunjuk di media sosial dan kekal berpegang kepada prinsip hidup bersederhana.
Dia percaya nilai diri tidak diukur dengan kemewahan tetapi melalui ilmu, pendidikan dan jaringan perhubungan yang dibina.
Malah, katanya, kehidupan seharusnya dijalani untuk menggembirakan diri sendiri dan keluarga, bukan demi memuaskan pandangan orang lain.
“Apabila terlalu memikirkan pandangan orang, usahawan itu akan mudah tertekan dan resah gelisah.
“Jadi pilihlah lingkungan pergaulan yang tepat dan bina hubungan dengan individu positif,” jelas penerima Anugerah Gadis Ikon 2012 (Keusahawanan) itu.
Dalam masa sama, dia turut menasihatkan usahawan agar tidak takut berdepan cabaran atau persaingan.
Anggaplah ia sebahagian daripada proses untuk terus berkembang, memperbaiki kelemahan diri dan membina kekuatan.
Kerja, keluarga seiring
Dalam kesibukan menguruskan perniagaan, Ili Zawani tidak mengabaikan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu kepada empat puteranya yang berusia antara enam hingga 10 tahun.

Menurutnya, bidang yang diceburi memberi lebih kebebasan untuk mengurus masa, namun tetap memerlukan disiplin dan perancangan yang baik.
“Dulu saya cuba mengimbangi antara kerja dan keluarga, tetapi saya sedar ia hampir mustahil untuk direalisasikan.
“Sejak Covid-19, saya mula mengubah pendekatan dengan tidak lagi memisahkan keduanya, tetapi menggabungkannya mengikut situasi dan keutamaan semasa.
“Dengan cara ini, saya masih boleh bekerja sambil memastikan keperluan anak-anak dan keluarga tetap terjaga,” katanya.
Di waktu lapang, suri hati kepada Mohd. Aminurasyid Mohd. Fauzi ini gemar membaca buku digital atau e-buku.
Selain itu, dia turut aktif mengikuti pelbagai kursus pendek termasuk kecerdasan buatan (AI) dan pengucapan awam bagi menambah pengetahuan serta kemahiran baharu.










