Perjalanan Dr. Jochebed Isaacs dalam dunia autisme bermula bukan kerana perancangan awal, tetapi daripada pengalaman hidup dan nilai yang membentuk dirinya sejak kecil, sebelum akhirnya membuka jalan hidupnya untuk membantu ribuan keluarga.
Bermula di Australia ke dunia autisme
Dibesarkan dalam keluarga sederhana dengan latar belakang campuran Cina dan India, Dr. Jochebed sudah dididik sejak kecil untuk sentiasa peka terhadap keperluan orang lain
Bapanya sering mengingatkan beliau mengenai sentiasa ada individu yang lebih memerlukan bantuan berbanding diri sendiri.
Walaupun hidup dalam kesederhanaan, ibu bapanya aktif dalam kerja sukarelawan dan kebajikan, sekali gus menjadikan nilai membantu masyarakat sebati dalam dirinya sejak kecil.
Daripada didikan inilah, minat terhadap bidang psikologi dan kerja-kerja membantu masyarakat mula berkembang secara semula jadi.
Pada awalnya, Dr. Jochebed bercita-cita untuk menceburi bidang kaunseling keluarga dan perkahwinan.
Namun perjalanan hidupnya berubah apabila beliau melanjutkan pengajian di Australia dan mula bekerja sambilan sebagai ahli terapi kepada kanak-kanak autisme.
Pengalaman tersebut membuka matanya terhadap dunia intervensi autisme dan akhirnya mengubah keseluruhan arah kerjayanya.
Beliau masih mengingati seorang kanak-kanak yang pada awalnya sukar memberi respons dan tidak boleh bercakap, namun mula memahami arahan dan berkomunikasi selepas beberapa minggu menjalani intervensi.

“Bila nampak budak yang sebelum ini tak bercakap tiba-tiba boleh bercakap, boleh dengar arahan dan mula memberi respons, saya rasa sangat terkejut. Dari situ saya mula sedar yang intervensi awal memang boleh membantu ramai kanak-kanak,” katanya kepada Seri.
Selain menimba pengalaman di Australia, beliau turut menjalani latihan di Wisconsin, Amerika Syarikat yang banyak membentuk pendekatan kerjayanya hari ini.
Menurutnya, sistem sokongan autisme di luar negara ketika itu lebih tersusun dengan tahap kesedaran masyarakat yang lebih tinggi terhadap individu autisme.
Namun, permulaan kerjayanya bukan sesuatu yang mudah. Beliau hampir berputus asa kerana tidak mempunyai pengalaman mengendalikan tingkah laku kanak-kanak autisme yang kadangkala agresif dan mencabar.
Walaupun begitu, selepas melihat sendiri perkembangan positif kanak-kanak yang dirawat, keyakinannya mula tumbuh sedikit demi sedikit.

Bagi Dr. Jochebed, perubahan kecil yang dianggap biasa oleh orang lain sebenarnya membawa makna yang sangat besar kepada keluarga anak autisme.
Kebolehan seperti memotong rambut, makan di restoran atau menaiki kapal terbang bersama keluarga merupakan antara pencapaian besar yang memberi harapan baharu kepada ibu bapa.
Momen menyentuh hati
Sepanjang terlibat dalam bidang intervensi autisme, antara perkara yang paling menyentuh hati ialah apabila melihat harapan kembali muncul dalam diri ibu bapa.
Beliau pernah berdepan situasi apabila seorang ibu menangis kerana terlalu terharu selepas anaknya berjaya duduk diam untuk memotong rambut buat pertama kali.
“Bagi orang lain ia perkara biasa, tetapi bagi keluarga anak autisme, ia satu pencapaian besar,” katanya.
Menurutnya, banyak aktiviti harian seperti menyambut hari lahir, makan di restoran atau bercuti bersama keluarga sebenarnya adalah cabaran besar bagi sesetengah kanak-kanak autisme.
Namun selepas menjalani terapi, ada kanak-kanak yang akhirnya mampu melakukan perkara-perkara tersebut.
“Bila nampak mata ibu bapa yang mula-mula sangat sedih kemudian ada harapan semula, itu memang sangat tersentuh,” katanya.
Minat sahaja tidak mencukupi
Bekerja dalam bidang autisme bukan sekadar memerlukan minat, tetapi juga kesabaran, emosi yang kuat dan hati yang benar-benar ikhlas mahu membantu orang lain.
Dr. Jochebed menggambarkan bidang ini sebagai ‘hard work’ dan juga ‘heart work’, kerana ia bukan sahaja mencabar dari segi fizikal dan mental, tetapi juga melibatkan emosi yang mendalam.
Ramai orang menyangka kerja bersama kanak-kanak autisme hanya melibatkan terapi biasa, sedangkan realitinya ia memerlukan komitmen dan pengorbanan yang besar.
Walaupun ada kerjaya lain yang menawarkan pendapatan lebih tinggi, beliau percaya kepuasan melihat perkembangan seorang kanak-kanak jauh lebih bermakna.

“Saya selalu rasa cikgu terapi, jururawat dan semua yang bekerja membantu komuniti ini sebenarnya hero. Mungkin mereka tak kaya atau terkenal, tapi apa yang mereka buat sangat bermakna sebab mereka jadi suara untuk anak-anak yang tak mampu bersuara,” katanya.
Tubuhkan beberapa inisiatif
Bagi mengatasi cabaran akses kepada terapi autisme, Dr. Jochebed menubuhkan beberapa inisiatif termasuk The Hope Project dan platform Autism at Home.
Inisiatif ini memberi fokus kepada pendidikan ibu bapa melalui video, latihan dalam talian dan bahan sokongan supaya mereka dapat membantu anak di rumah dengan lebih awal.
Beliau juga sedang membangunkan aplikasi khas bagi memudahkan akses kepada ilmu dan latihan tanpa bergantung sepenuhnya kepada sesi terapi fizikal atau menunggu lama untuk mendapatkan temu janji.
Penggunaan teknologi sangat penting bagi mengatasi kekangan lokasi, masa dan kos yang sering dihadapi keluarga.
“Saya berharap satu hari nanti setiap negeri di Malaysia akan ada perkhidmatan autisme yang berkualiti dan setiap ibu bapa mempunyai alat untuk membantu anak mereka sendiri,” katanya.
Cabaran besar
Walaupun sering melihat perkembangan positif kanak-kanak, Dr. Jochebed mengakui cabaran terbesar dalam bidang ini ialah pembiayaan.
Sebahagian besar keluarga yang menghubungi pusat intervensi sebenarnya tidak mampu membayar kos terapi yang diperlukan.
Situasi itu sering membuatnya berasa serba salah kerana mahu membantu lebih ramai keluarga, tetapi pada masa yang sama, intervensi berkualiti memerlukan tenaga kerja intensif dan kos yang tinggi.
Selain cabaran kerja, beliau juga pernah berdepan tekanan emosi, kritikan dan keletihan sepanjang menguruskan organisasi serta keluarga.
Namun, perkara yang membuatnya terus bertahan ialah tujuan asal mengapa dia memulakan perjalanan itu.
“Kalau kita terlalu fokus kepada cabaran, kita memang akan mudah putus asa. Tapi bila kita fokus kepada tujuan dan kenapa kita buat semua ini, kita akan terus ada kekuatan untuk bergerak,” ujarnya.
Sokongan daripada pasukan EAP juga menjadi antara kekuatan terbesar sepanjang perjalanan tersebut.
Antara kerja dan keluarga
Di sebalik kesibukannya, Dr. Jochebed juga seorang isteri dan ibu kepada dua cahaya mata.

Baginya, kehidupan kerja dan keluarga perlu bergerak seiring kerana kedua-duanya sama penting.
Beliau mengakui perlu sangat teratur dalam mengurus kehidupan harian termasuk penyediaan makanan, jadual anak-anak dan masa berkualiti bersama keluarga.
Anak-anaknya turut membesar dalam persekitaran EAP dan sering terlibat dalam program berkaitan autisme sejak kecil.
Malah mereka turut belajar untuk lebih memahami dan membantu kanak-kanak autisme di sekeliling mereka, sekaligus membentuk nilai empati dalam diri mereka.
Dr. Jochebed berkata, cabaran utama ialah belajar menjadi tegas walaupun mempunyai personaliti yang lembut.
Namun, beliau percaya budaya kerja yang kuat dan pasukan yang sehaluan mampu membina organisasi yang lebih stabil.
Pernah berminat dalam dunia hiburan
Di sebalik kerjayanya hari ini, Dr. Jochebed sebenarnya pernah menyimpan impian untuk menjadi pengacara televisyen dan pembaca berita ketika muda.
Beliau pernah menghadiri uji bakat serta terlibat dalam penggambaran majalah dan dunia modeling sekitar awal tahun 2000-an, namun akhirnya memilih laluan berbeza.
Walaupun begitu, beliau menganggap pengalaman itu sebagai kenangan berharga dan percaya kehidupannya hari ini adalah lebih bermakna.
“Saya rasa mungkin tuhan ada perancangan yang lebih baik untuk saya,” katanya.
Selain itu, beliau juga mempunyai hobi unik iaitu mengumpul platter dan gemar menghasilkan dekorasi makanan serta sambutan bertema untuk keluarga dan rakan-rakan.
Ibu bapa jangan mudah putus asa
Latihan tandas atau toileting merupakan antara cabaran utama ibu bapa yang mempunyai anak autisme, terutama apabila anak masih takut atau tidak selesa menggunakan tandas walaupun sudah mampu secara fizikal.
Menurut Dr. Jochebed, proses ini perlu dilakukan secara perlahan dan tanpa paksaan dengan memberi fokus kepada rasa selamat dan keyakinan anak.
“Kami berharap ibu bapa tidak mudah berputus asa kerana setiap anak autisme mempunyai perkembangan dan keupayaan yang berbeza.
“Fokuslah kepada kelebihan mereka serta bantu mereka mencapai potensi terbaik mengikut kemampuan masing-masing.
“Dalam masa yang sama, ibu bapa juga perlu menjaga diri sendiri, pasangan dan ahli keluarga lain.
“Kami di EAP akan terus komited membantu lebih ramai rakyat Malaysia agar setiap keluarga yang mempunyai anak autisme mendapat sokongan terbaik,” katanya.
Pendekatan ini menekankan kejayaan latihan tandas bukan bergantung kepada paksaan, tetapi kepada kesabaran, konsistensi dan pengalaman positif yang berulang.










