Sudah tujuh tahun Zety Ain Sakinah Mohamad Isqandar memegang peranan sebagai pengurus bengkel, satu tempoh yang bukan singkat untuk membina pengalaman dan ketahanan diri dalam industri ini.
Perjalanannya dalam dunia bengkel sebenarnya bukan sesuatu yang dirancang sejak awal.
Dia tidak pernah membayangkan dirinya akan terlibat secara langsung dalam bidang automotif.
Namun, disebabkan bengkel tersebut merupakan perniagaan keluarga, dia mengambil keputusan untuk meneruskan legasi yang telah dibina.
Dari situlah segalanya bermula, daripada tidak tahu apa-apa, sehinggalah mampu memahami selok-belok pengurusan bengkel.
Sepanjang tempoh itu, Zety banyak belajar melalui pengalaman harian. Baginya, pengalaman di lapangan jauh lebih berharga berbanding teori semata-mata.
“Setiap hari saya membawa cabaran baharu, sama ada berurusan dengan pelanggan, mengurus pekerja atau menyelesaikan masalah operasi.
“Namun, itu tidak mematahkan semangat saya untuk terus berkecimpung dalam bidang ini. Disebabkan itu, saya mengambil inisiatif menghadiri kursus jangka pendek bagi menambah pengetahuan tentang pengurusan bengkel kenderaan,” katanya kepada Seri.
Walaupun tidak terlibat secara teknikal, Zety tetap memahami asas-asas penting dalam industri ini.
Dia tahu bagaimana untuk mengenal pasti masalah umum pada kenderaan dan bagaimana untuk berkomunikasi dengan pelanggan tentang isu tersebut.
Namun, dia mengakui dirinya bukan seorang teknikal dan tidak melakukan kerja-kerja pembaikan secara langsung. Peranannya lebih kepada memastikan semuanya berjalan lancar dari sudut pengurusan.

TINGKAT KESEDARAN WANITA
Dalam masa sama, Zety mempunyai satu misi yang cukup dekat di hatinya iaitu meningkatkan kesedaran wanita tentang kepentingan memahami kenderaan.
Baginya, wanita yang memandu setiap hari perlu mempunyai sekurang-kurangnya sedikit pengetahuan tentang keadaan kereta mereka. Ini bukan soal minat, tetapi keselamatan dan hak sebagai pengguna.
Dia sering menekankan menjadi wanita bukan alasan untuk tidak ambil tahu tentang kereta. Ramai wanita hari ini berdikari, memandu sendiri ke tempat kerja, menghantar anak dan mengurus kehidupan harian tanpa bergantung kepada orang lain.
Jadi, memahami sedikit sebanyak tentang kenderaan adalah satu keperluan, bukan pilihan.
Namun begitu, pendekatan Zety agak berbeza daripada kebiasaan.
Dia tidak menggalakkan wanita membaca terlalu banyak maklumat teknikal yang kompleks. Ini kerana kebanyakan istilah automotif sukar difahami dan boleh menyebabkan kekeliruan.
“Apa yang dipelajari secara teori tidak semestinya sama dengan situasi sebenar yang berlaku pada kenderaan.
“Cara paling praktikal adalah dengan mengetahui asas dan selebihnya diserahkan kepada pakar.
“Apa yang penting, wanita perlu bijak memilih bengkel yang boleh dipercayai. Ini termasuk mencari mekanik jujur, mudah didekati dan sanggup menerangkan masalah dengan jelas tanpa berselindung,” katanya.
Menurut Zety, antara masalah terbesar yang sering berlaku ialah wanita menjadi mangsa penipuan di bengkel.
“Situasi ini biasanya berlaku apabila pelanggan datang tanpa mengetahui apa-apa tentang kerosakan kereta mereka.
“Keadaan ini membuka peluang kepada pihak tidak bertanggungjawab untuk mengambil kesempatan. Ada yang mengenakan caj berlebihan atau melakukan pembaikan yang sebenarnya tidak diperlukan.
“Perkara ini bukan sahaja merugikan dari segi kewangan, malah boleh menjejaskan kepercayaan terhadap industri bengkel secara keseluruhan,” katanya.

KANDUNGAN MEDIA SOSIAL
Menyedari hakikat ini, Zety mengambil langkah proaktif dengan menghasilkan kandungan di platform TikTok.
Baginya, media sosial adalah medium paling berkesan untuk mendekati masyarakat masa kini. Melalui video-video yang dihasilkan, dia berkongsi pelbagai situasi sebenar yang berlaku di bengkel.
Menariknya, kandungan Zety bukan sekadar penerangan teori. Sebaliknya, dia menunjukkan masalah sebenar pada kenderaan, bagaimana ia berlaku dan apa yang perlu diberi perhatian.
Pendekatan ini menjadikan maklumat lebih mudah difahami, terutama bagi mereka yang tiada latar belakang teknikal.
Sasaran penontonnya bukan sahaja masyarakat umum, tetapi juga golongan wanita. Dia mahu wanita lebih berani bertanya, yakin berurusan di bengkel dan tidak mudah terpedaya.

TIDAK MINAT AUTOMATIF
Menariknya, di sebalik komitmen yang ditunjukkan, Zety mengakui minatnya sebenarnya bukan dalam bidang automotif. Dia lebih cenderung kepada dunia kecantikan dan fesyen iaitu dua bidang yang jauh berbeza daripada suasana bengkel yang penuh dengan minyak dan alatan berat.
Namun, kerana rasa tanggungjawab terhadap keluarga, dia memilih untuk terus menguruskan bengkel tersebut.
Baginya, amanah yang diberikan perlu dilaksanakan sebaik mungkin.
Zety juga bersikap jujur apabila mengatakan perasaannya terhadap bidang ini masih berada pada tahap ‘50-50’.
Dia belum benar-benar jatuh cinta dengan dunia automotif, Apa yang mendorongnya terus bertahan adalah rasa tanggungjawab dan minat terhadap kerja itu sendiri.
Bagaimanapun, dia tidak menafikan industri automotif mempunyai potensi keuntungan besar. Margin tinggi dalam sesetengah perkhidmatan menjadi satu daripada faktor yang membuatkan dia terus kekal dalam bidang ini.
CABARAN BESAR
Namun begitu, perjalanan mengurus bengkel bukanlah sesuatu yang mudah. Antara cabaran terbesar yang dihadapinya adalah kekurangan tenaga kerja.
Dengan hanya lapan orang staf, operasi bengkel kadangkala terbatas, terutama ketika jumlah pelanggan meningkat.
Lebih mencabar apabila terdapat pekerjanya yang kurang minat dalam bidang ini tetapi terpaksa bekerja demi mendapatkan pendapatan.
Situasi ini memberi kesan kepada kualiti kerja kerana kurangnya komitmen dan minat terhadap tugas yang dilakukan.
Selain itu, persaingan dalam industri bengkel juga semakin sengit. Semakin banyak bengkel baharu dibuka, menjadikan pelanggan mempunyai lebih banyak pilihan.
Ini memerlukan Zety untuk sentiasa mencari cara baharu bagi memastikan perniagaannya kekal relevan dan mampu bersaing.
Satu daripada pendekatan yang diambil adalah dengan menggunakan media sosial sebagai alat pemasaran.
Zety percaya dalam dunia hari ini, perniagaan tidak boleh bergantung kepada cara lama semata-mata. Perlu ada strategi baharu untuk menarik perhatian pelanggan dan membina kepercayaan.
Dalam menguruskan pekerja pula, Zety menekankan kepentingan layanan baik. Dia percaya pekerja yang dihargai akan bekerja dengan lebih baik. Oleh itu, dia sentiasa cuba mewujudkan suasana kerja yang selesa dan positif.

INDUSTRI BENGKEL TIDAK AKAN MATI
Walaupun berdepan pelbagai cabaran, dia yakin industri bengkel tidak akan mati.
“Selagi ada kenderaan di jalan raya, selagi itu permintaan terhadap servis dan pembaikan akan terus wujud. Ini bermaksud bidang ini masih mempunyai masa depan cerah,” katanya.
Melihat ke hadapan, Zety juga menyimpan impian untuk mengembangkan perniagaan termasuk menceburi sektor pembaikan kenderaan logistik yang dilihat mempunyai potensi besar.
Ini selari dengan perkembangan industri penghantaran dan logistik yang semakin pesat.
Dalam masa sama, Zety masih memasang impian untuk terlibat dalam bidang kecantikan dan fesyen suatu hari nanti.
Dia bercita-cita untuk menghasilkan jenama pakaian sendiri, khususnya ‘blazer custom’ yang mempunyai identiti tersendiri.
Akhir sekali, dia berkongsi nasihat yang cukup praktikal buat golongan wanita.
“Tidak perlu menjadi pakar teknikal untuk memahami kereta. Paling penting adalah mencari bengkel yang boleh dipercayai dan berurusan dengan individu jujur.
“Dengan cara itu, wanita dapat melindungi diri daripada menjadi mangsa penipuan. Dalam dunia yang semakin mencabar ini, pengetahuan asas dan kebijaksanaan membuat pilihan adalah kunci utama untuk kekal selamat dan yakin, walaupun berada dalam situasi yang tidak biasa,” katanya.










