Perubahan tingkah laku seperti diam, menyorok atau kurang aktif sering dianggap perkara biasa oleh pemilik kucing.
Malah, ada yang menganggapnya sekadar sifat semula jadi kucing yang gemar bersendirian atau berehat dalam tempoh lama.
Doktor veterinar, Dr. Wafaa Abdul Washeff berkata, keadaan itu sebenarnya antara tanda paling kerap menunjukkan kucing tidak sihat, selain kehilangan selera makan.
“Setiap kucing mempunyai tabiat dan personaliti tersendiri. Oleh itu, pemilik perlu mengenali tingkah laku normal haiwan peliharaan masing-masing bagi memudahkan pengesanan sebarang perubahan yang tidak biasa,” katanya baru-baru ini.
Tanda awal
Secara umum, terdapat beberapa tanda awal yang boleh menunjukkan kucing sedang mengalami masalah kesihatan.
Antaranya ialah perubahan selera makan dan berat badan, termasuk kurang makan, memilih makanan tertentu atau enggan makan langsung.
Penurunan berat badan sama ada secara mendadak atau berpanjangan juga perlu diberi perhatian.
Selain itu, kucing yang kelihatan letih, kurang aktif, banyak mengasingkan diri atau menyorok di tempat yang luar daripada kebiasaan turut menjadi petunjuk awal.
Perubahan dalam penggunaan tandas pasir juga penting untuk diperhatikan seperti membuang air kecil di luar tempat sepatutnya, kerap keluar masuk, mengeluarkan bunyi ketika membuang air kecil, serta perubahan kekerapan membuang air kecil.
“Dalam sesetengah kes, kucing mungkin membuang air kecil dengan lebih kerap, terutama jika menghidap penyakit seperti diabetes atau kegagalan buah pinggang,” jelasnya.

Simptom pada sistem badan
Muntah dan cirit-birit adalah tanda biasa yang perlu dipantau.
Muntah bulu adalah normal, tetapi jika kerap berlaku atau disertai darah, ia menunjukkan masalah serius.
Muntah makanan akibat makan terlalu laju biasanya tidak berbahaya, tetapi muntah berulang atau muntah air dengan warna tertentu memerlukan perhatian veterinar segera.
Masalah pernafasan seperti bernafas melalui mulut, tercungap-cungap atau bernafas laju ketika berehat menandakan kecemasan kerana bekalan oksigen mungkin tidak mencukupi.
Bunyi pernafasan pelik walaupun tanpa tercungap-cungap juga perlu diperiksa.
Perubahan fizikal
Pemilik juga boleh mengesan tanda sakit melalui perubahan fizikal pada tubuh kucing.
Pada bahagian mata, tanda seperti berair, kemerahan, lelehan, tidak dapat membuka mata sepenuhnya, mata kelihatan keruh (cloudy), kelopak mata ketiga terkeluar atau saiz anak mata yang tidak sama antara kiri dan kanan perlu diberi perhatian.
Hidung pula mungkin menunjukkan lelehan, keadaan nose pad yang sentiasa kering atau terdapat ketumbuhan di bahagian bukaan hidung.
Pada telinga, tanda seperti lelehan, perubahan warna tahi telinga, bengkak atau perubahan struktur, serta kucing kerap menggaru telinga atau menggoncang kepala boleh menunjukkan masalah.
Bahagian mulut juga penting diperiksa, termasuk air liur meleleh, bau mulut yang kuat, gusi merah, bengkak atau berdarah, ulser pada gusi, lidah atau rongga mulut, serta gigi yang patah.
Kulit dan bulu pula boleh menunjukkan simptom seperti bintik merah, ruam, kudis, luka, perubahan warna kulit menjadi pucat atau kekuningan (jaundis), kelemumur, bulu kusam dan tidak kemas, kotor serta keguguran bulu yang tidak sekata.
Perubahan tingkah laku
Menurut Dr. Wafaa, perubahan tingkah laku juga merupakan indikator penting.
Kucing yang biasanya manja mungkin menjadi agresif, kurang bermain atau menjauhkan diri daripada manusia dan haiwan lain.
Pengambilan air juga perlu dipantau kerana kucing yang minum terlalu sedikit atau banyak boleh menunjukkan masalah kesihatan tertentu.
Pergerakan yang kurang aktif, terhincut-hincut atau enggan melakukan aktiviti fizikal juga berkemungkinan mengalami kesakitan atau kecederaan.
Masalah pernafasan seperti tercungap-cungap atau bernafas laju merupakan keadaan kecemasan yang memerlukan tindakan segera dengan membawa kucing ke klinik veterinar.
Selain itu, perubahan tingkah laku seperti menjadi garang atau tidak suka disentuh juga boleh menunjukkan kucing sedang menahan sakit, walaupun dalam sesetengah kes ia mungkin berpunca daripada ketakutan atau trauma.
Tambahnya, tanda yang sering tidak disedari pemilik ialah perubahan dalam pengambilan air harian kerana kebanyakan pemilik tidak menyukat jumlah air yang diminum oleh kucing.
Pemilik yang mempunyai banyak kucing juga lebih cenderung terlepas pandang simptom penyakit kerana sukar memantau setiap haiwan secara individu, terutama ketika waktu makan, penggunaan tandas dan aktiviti harian.
Jangan tunggu hingga teruk
Kucing secara semula jadi cenderung menyembunyikan kesakitan kerana ia merupakan mekanisme perlindungan daripada pemangsa.
Oleh itu, apabila tanda sakit mula kelihatan, kemungkinan besar masalah kesihatan tersebut telah lama bermula.
Sehubungan itu, pemilik disarankan untuk membawa kucing ke klinik veterinar sebaik sahaja mengesan sebarang perubahan abnormal tanpa menunggu keadaan pulih dengan sendiri.
Tambah beliau, antara kesilapan biasa pemilik ialah menangguhkan rawatan dengan harapan kucing akan sembuh sendiri.
Tindakan ini bukan sahaja boleh memburukkan keadaan, malah mengurangkan peluang untuk sembuh sepenuhnya serta meningkatkan kos rawatan.
Kepekaan dan pemerhatian rapi pemilik terhadap perubahan kecil pada tingkah laku, fizikal dan rutin harian kucing amat penting bagi memastikan haiwan peliharaan mendapat rawatan awal dan kekal sihat.










