Kehilangan si comel, luka senyap pencinta haiwan

Kehilangan si comel, luka senyap pencinta haiwan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bagi sesetengah orang, kucing atau anjing mungkin hanyalah haiwan peliharaan biasa.

Namun, bagi pencinta haiwan, kehadiran si comel ini membawa makna yang jauh lebih mendalam sebagai teman setia, peneman sunyi dan kadang kala sudah dianggap sebagai ahli keluarga sendiri.

Jadi, apabila kucing kesayangan pergi buat selamanya, kesedihan yang dirasai jauh lebih besar daripada yang disangka.

Nekko, teman setia yang tidak terganti

Seorang pelajar universiti, Daniel, 23, mula memelihara kucing sejak 2015.

Sepanjang tempoh itu, dia telah menjaga lebih daripada 50 ekor kucing, sama ada dipelihara sendiri atau diberikan kepada saudara-mara.

Kini, hanya tujuh ekor kucing yang masih berada di bawah jagaannya.

Bagi Daniel, kucing bukan sekadar haiwan. Mereka adalah pendengar setia walaupun tidak memahami sepenuhnya kata-kata.

“Kadang-kadang saya cerita dan mengadu dekat mereka. Walaupun mereka tak faham, tapi rasa lega,” katanya kepada Seri.

Namun, antara semua kucing yang pernah dipeliharanya, seekor bernama Nekko meninggalkan kesan paling mendalam.

“Sejak 2015, Nekko memang paling rapat dengan saya. Setiap kali saya tidur, dia akan tidur sebelah dan urut badan saya,” jelasnya.

Tragedi berlaku apabila Nekko mati akibat termakan racun. Daniel sempat menghantar Nekko ke klinik haiwan dan menjalani rawatan selama dua hari, namun akhirnya tidak berjaya diselamatkan.

“Masa tu memang sedih sangat. Dia teman saya setiap malam, tiba-tiba dah tak ada,” katanya.

Walaupun Daniel masih mempunyai kucing lain, kehilangan Nekko meninggalkan ruang kosong dalam hidupnya.

“Sampai sekarang saya masih rindu. Walaupun ada kucing lain, tetap rasa lain,” katanya.

Menghadapi kehilangan

Pengalaman itu mengambil masa beberapa bulan untuk benar-benar diterima.

Dari segi mental, Daniel masih mampu mengawal emosi, tetapi rutin hariannya sedikit terganggu.

“Biasanya bila nak tidur, Nekko akan ada dengan saya. Bila dia tak ada, rasa kosong sangat,” katanya.

Namun, kehilangan ini tidak membuatkan Daniel trauma atau takut untuk terus memelihara kucing.

Sebaliknya, ia membuatkan dia lebih menghargai haiwan-haiwan lain yang masih ada di rumahnya.

Bersama bapanya, Daniel membina sangkar lebih besar untuk memastikan kucing-kucingnya tidak terdedah kepada bahaya.

“Saya tak nak benda sama jadi lagi,” katanya.

Daniel juga percaya masyarakat kini semakin memahami kehilangan haiwan peliharaan boleh memberi kesan emosi yang mendalam kepada pemiliknya.

Baginya, menerima kenyataan adalah langkah paling penting.

Kehilangan yang pahit tapi mengajar tanggungjawab

Sementara itu, seorang pencipta kandungan, Nasrullah, 24, memelihara kucing sejak kecil dan pernah menjaga tiga ekor sepanjang hidupnya.

Baginya, kucing bukan sahaja comel tetapi penuh gelagat yang membuatkan kita terpaut hati.

“Semakin kita beri perhatian, semakin mereka sayang dan percaya kepada kita,” katanya.

Namun, pengalaman pahit menimpanya ketika kucing yang dijaganya mati akibat digigit anjing berhampiran rumahnya.

Katanya, dia masih ingat bagaimana dia mendapati kucing itu dalam keadaan kritikal, penuh kesan gigitan dan tidak mampu bertahan lebih daripada 24 jam.

“Seminggu selepas itu, hati saya luluh. Kehilangan dia memberi makna besar dalam hidup saya,” katanya.

Untuk mengatasi kesedihan tersebut, dia cuba menyibukkan diri dengan aktiviti harian dan mendapat sokongan daripada ibunya.

Kini, dia lebih berhati-hati dalam menjaga kucing dan sering memberi perhatian kepada kucingnya.

“Saya sayang semua kucing, lama atau baru. Saya ingin menjaga mereka sehingga besar dengan penuh kasih sayang,” katanya.

Kucing sebagai teman sejati dan pembelajaran hidup

Bagi seorang pelajar, Hamalin, 25, memulakan pengalaman memelihara kucing sejak umur lima tahun dan menganggarkan pernah menjaga lebih daripada 60 ekor sepanjang hidupnya.

“Semua kucing saya peroleh daripada kucing jalanan atau diberikan oleh orang lain. Saya tak pernah beli kucing,” katanya.

Namun, pengalaman kehilangan kucing bukan asing baginya. Baru-baru ini, seorang anak kucing yang dijaganya mati akibat sakit yang tidak disedari.

Selain itu, beberapa kucing lain pernah terlibat dalam kemalangan jalan raya. Pengalaman ini mengajarnya tentang tanggungjawab, kesabaran dan kepentingan penjagaan.

Keluarganya memainkan peranan penting dalam menghadapi kesedihan. Mereka saling menyokong, menangis bersama dan menyimpan gambar-gambar kucing untuk mengenang kenangan manis.

Bagi Hamalin, move on bukan bermakna melupakan.

“Setiap kucing ada perangai dan gelagat tersendiri. Walaupun sedih, kita kena teruskan hidup dan fokus pada kucing-kucing lain. Kehadiran mereka masih memberikan kegembiraan,” katanya.

Kini, Hamalin lebih berhati-hati dalam menjaga kucing dan bercita-cita memberikan kehidupan yang lebih selesa kepada mereka apabila mula bekerja.

“Kalau saya tahu ajal kucing hampir tiba, saya nak luangkan lebih banyak masa bersama mereka. Sebab bila dah pergi, baru kita menyesal,” katanya.

Kasih sayang tidak pernah pudar

Bagi pemilik kucing, kucing bukan sekadar haiwan peliharaan.

Mereka adalah teman setia yang mengajar kasih sayang, tanggungjawab dan kesabaran. Kehilangan memang menyakitkan, tetapi kehadiran kucing lain tetap memberi rasa lega dan kebahagiaan.

Kasih sayang terhadap haiwan tidak pernah pudar, malah setiap pengalaman, manis atau pahit, menjadi pengajaran yang berharga dalam hidup.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN