Kegagalan dalam perkahwinan pertama sering menjadikan seorang wanita lebih berhati-hati sehingga ada yang menutup pintu hati daripada lelaki dan perkahwinan. Namun perancangan Allah itu lebih indah dan terbaik.
Dalam diam Allah hadirkan seorang lelaki yang lebih baik dan mengubah pandangan tentang cinta dan kehidupan berumah tangga. Demikian jugalah kisah Anisah, (bukan nama sebenar) yang dikongsi minggu ini.
Sebuah perjalanan hidup wanita yang pernah terluka namun akhirnya menemui kebahagiaan dalam perkahwinan kedua. Luka dari perkahwinan pertama telah mengubah persepsinya terhadap lelaki dan perkahwinan.
Menurut Anisah, dia pernah percaya bahawa perkahwinan itu adalah tempat paling selamat. Namun kepercayaan itu perlahan-lahan runtuh apabila perkahwinan pertamanya gagal. Sejak itu dia menutup pintu hatinya rapat-rapat kepada lelaki.
Bukan kerana tidak percaya kepada cinta, tetapi dia terlalu faham bagaimana sakitnya dikhianati. Dalam pertemuan diatur baru-baru ini, Anisah berkata , dia berkongsi kisahnya bukan untuk membuka aib sesiapa atau menunjukkan betapa bahagia hidupnya hari ini.
Apa yang dikongsikan hanyalah sebahagian daripada perjalanan hidupnya dan ingin orang lain di luar sana tahu bahawa di sebalik ujian ada hikmah yang perlahan-lahan membentuknya menjadi lebih kuat dan tabah.
Bercerita lanjut kata Anisah, perkahwinan pertama mengajarnya satu perkara, tidak semua yang digenggam akan menjadi milik selamanya. Perkahwinan kedua pula tidak menjadikannya lupa diri.
Tetapi membuatkan dia lebih berhati-hati dalam menyayangi dan menghargai seseorang. Menyambung cerita, kata Anisah dia tidak pernah merancang untuk jatuh cinta kali kedua. Menurutnya selepas keluar daripada perkahwinan pertama penuh toksik, dia hampir kehilangan sebahagian diri.
Hari-hari yang dilalui cukup mencabar. Menurut Anisah, dia cuba menjadi kuat. Sebagai seorang ibu dan bapa pada masa sama kepada dua anak yang masih kecil, Atiq dan Miera, (bukan nama sebenar). Masing-masing ketika itu berusia lima dan 10 tahun. Selepas berpisah dia tidak terus mencari pengganti, sebaliknya menjauhkan daripada cinta dan harapan. Dia berjanji pada diri sendiri tidak akan berkahwin lagi.
Bukan kerana dia membenci perkahwinan , tetapi kerana dia tahu betapa sakitnya apabila sesuatu yang dibina dengan penuh harapan, akhirnya musnah begitu sahaja. Bertahun-tahun dia hidup sendirian. Berasa tenang walaupun sunyi. Sehinggalah pada suatu hari, dia bertemu Hanif, (bukan nama sebenar) lelaki yang mengubah caranya melihat perkahwinan.
Dia mula faham perkahwinan adalah tempat saling bergantung, bukan hanya memberi atau menerima secara sendiri. Menurut Anisah, Hanif tidak menyembuhkan semua lukanya, tetapi tidak pula menambah luka yang baru. Situasi itu kata Anisah, membuatnya berfikir semula perkahwinan bukan seburuk yang disangka.
“Mungkin sebelum ini saya hanya bertemu dengan lelaki yang salah. Perkahwinan yang disangka tempat berteduh, rupanya menjadi medan ujian yang paling berat dalam hidup saya,” ujarnya.
Mungkin juga katanya, ia bukan satu kesilapan, tetapi salah satu daripada cara Allah mengujinya. Ujian untuk mengajarnya erti sabar dan ujian untuk lebih membuka matanya agar tidak berharap kepada manusia tetapi lebih kepada Allah.
“Dahulu saya pernah bertanya, kenapa saya diuji sedemikian rupa. Namun kini saya lebih mengerti. Allah mahu saya belajar sesuatu sebelum dipertemukan dengan yang lebih baik,” sambungnya.
Sepanjang tempoh perkenalan, perlahan-lahan dia membuka ruang kepada Hanif. Bukan sepenuhnya, tetapi cukup untuk memberi peluang.
Kata Anisah, lelaki itu tidak menjanjikan hidup mereka tanpa masalah, tetapi dia berjanji untuk sama-sama menempuh ujian dan cabaran. Selepas hampir tiga bulan mengenali hati budi, Anisah bersetuju menerima lamaran Hanif. Awal perkahwinan kata Anisah, kehidupan mereka sederhana tetapi bahagia.
“Sepanjang hidup bersama dengannya, saya baru berasa benar-benar dihargai. Jika dahulu saya yang menagih perhatian, kini perhatian itu hadir tanpa diminta.
“Jika dahulu saya sering dipersalahkan, kini suara saya lebih didengari sebelum dinilai. Saya kini ada bahu untuk bersandar, berbanding dahulu saya terpaksa menangis sendirian,”ujarnya.
Akui Anisah, ada ketikanya muncul letakutan dalam diri sekiranya kebahagiaan itu hanya sementara. Bagaimanapun setiap kali itu berlaku, Hanif tidak menjauh. Sedikit demi sedikit, Anisah belajar untuk mempercayai semula bahawa pada kali ini dia tidak akan dibiarkan menghadapi semua sendirian.
“Suami saya tidak sempurna dan tidak pernah cuba menjadi sempurna. Namun dia tetap berusaha memahami, menjaga dan berusaha memperbaiki diri bersama-sama,” sambungnya.
Dan dari situlah kata Anisah, dia menemui sesuatu yang dahulu tidak pernah dia rasa iaitu lebih dihargai. Menurutnya, dia bersyukur dipertemukan dengan Hanif yang sabar, penyayang dan menghargai setiap usaha dan pengorbanannya.
“Hanif bukan sahaja menerima diri saya seadanya, tetapi juga menghormati sejarah hidup saya dan anak-anak. Dia hadir bukan menghapus masa lalu, tetapi untuk membuktikan masih ada lelaki yang baik untuk saya,”ujarnya.
Menyambung perbualan, Anisah berkata, dalam perkahwinan keduanya itu, dia tidak pernah meminta suami untuk menggantikan tempat bapa kepada anak-anaknya.
Malah katanya, Hanif juga tidak pernah cuba untuk mengambil tempat itu, tetapi perlahan-lahan menjadi seorang yang boleh dipercayai. Dia sentiasa hadir sebagai seseorang yang sentiasa menyokong dari sisi.
“Suami hadir, ketika hari sukan sekolah, hari anugerah sekolah , bertanyakan kerja sekolah secara konsisten tanpa memaksa untuk untuk disayangi,” ujarnya.
Selepas beberapa tahun menjalani perkahwinan kedua, hidup mereka mula stabil. Tidak semewah orang lain, namun mereka bahagia. Atiq dan Miera juga semakin membesar dan hubungan antara Hanif semakin erat.
Banyak pengajaran yang boleh diambil daripada kisah Anisah. Antaranya, kegagalan perkahwinan pertama bukan bermaksud hidup sudah berakhir. Sesungguhnya Allah hadirkan ujian termasuk dalam perkahwinan mengikut kemampuan seseorang untuk menghadapinya.
Sebagaimana Firman Allah SWT “Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya,”- Surah Al Baqarah 286










