Sentuhan elegan, moden klasik mewahkan kediaman

Sentuhan elegan, moden klasik mewahkan kediaman

KONSEP dekorasi yang dipilih gabungkan elemen lembut, elegan, moden dan klasik.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bagi sesetengah orang, rumah sekadar tempat berteduh. Namun, bagi Nur Sarah Daviana Abdullah, 45, kediaman adalah ruang untuk menenangkan jiwa dan mencerminkan keperibadian penghuninya.

Atas sebab itu, konsep dekorasi yang dipilihnya menggabungkan elemen lembut, elegan, moden dan klasik dalam satu harmoni yang tidak keterlaluan. Sentuhan yang dihasilkan tampak tenang dipandang, namun tetap mempunyai aura eksklusif tanpa kelihatan terlalu sarat.

Menurut Sarah, keseimbangan antara gaya moden dan klasik menjadi kunci utama dalam membentuk suasana kediamannya. Gabungan kedua-dua elemen itu menjadikan ruang kelihatan mewah secara sederhana, kemas dan penuh karakter.

Katanya, pemilihan warna menjadi asas paling penting dalam proses menghias rumah. Dia lebih gemar bermain dengan warna-warna natural yang lembut seperti putih, kuning cerah serta tona cerah yang menenangkan.

“Bagi menaikkan seri ruang, saya tambah elemen kayu supaya ada rasa hangat. Selain itu, warna hijau lembut juga diselitkan bagi memberi sentuhan segar dan hidup,” katanya.

Namun, Sarah tidak menolak penggunaan warna terang sepenuhnya. Baginya, sedikit warna ceria seperti merah jambu atau jingga boleh dijadikan pemanis ruang asalkan tidak berlebihan.

“Kalau mahu ada sedikit ‘pop’, saya hanya tambah sedikit warna terang. Cukup sekadar memberi impak tanpa mengganggu keseluruhan suasana,” ujarnya.

Ruang tamu kecil tetapi terasa lapang

Walaupun ruang tamunya tidak terlalu besar, Sarah bijak memanfaatkan pencahayaan semula jadi untuk menjadikan ruang kelihatan lebih luas dan terbuka.

PILIHAN warna yang tepat amat penting untuk menghiasi kediaman.

Menurutnya, penggunaan pintu gelangsar serta tingkap bersaiz besar membantu membenarkan cahaya masuk secara maksimum.

“Bila cahaya semula jadi banyak masuk, ruang nampak lebih lapang dan segar,” katanya.

Namun bagi mengawal cahaya matahari yang terlalu terik, dia memilih langsir berwarna kelabu gelap.

“Walaupun tingkap besar memberi kelebihan pencahayaan, ada masanya ruang perlu sedikit redup supaya suasana lebih selesa,” jelasnya.

Secara keseluruhan, ruang tamu tersebut dihiasi dengan tema kelabu lembut yang diserikan dengan sentuhan warna hijau sebagai elemen pembeza.

Sarah juga mempunyai prinsip tersendiri dalam menghias ruang. Baginya, penggunaan terlalu banyak warna dalam satu ruang boleh mengganggu keseimbangan visual.

“Bagi saya, maksimum tiga warna utama sudah mencukupi supaya ruang nampak lebih kemas dan tidak sesak,” katanya.

Dapur dengan sentuhan klasik

Berbeza sedikit daripada ruang tamu, dapur kediamannya tampil dengan gaya lebih santai berinspirasikan desa dan vintaj. Walaupun begitu, asas warnanya tetap mengekalkan putih dan tona natural agar tidak lari daripada konsep keseluruhan rumah.

Menariknya, sebahagian besar perabot dapur dihasilkan sendiri.

KABINET bawah dapur dihasilkan sendiri oleh pasangan suami isteri itu.

Menurut Sarah, kabinet bawah dapur dibuat sendiri manakala kabinet atas dibeli secara dalam talian sebelum dipasang sendiri di rumah.

Rak-rak kecil di dapur pula dihasilkan daripada papan biasa yang dipotong mengikut saiz yang diperlukan. Selepas itu, papan tersebut dicat dan dipasang menggunakan kurungan yang sesuai.

Pendekatan ini bukan sahaja menjimatkan kos, malah memberi kepuasan kerana setiap sudut dapur dihasilkan dengan sentuhan sendiri.

90 peratus dekorasi sendiri

Sarah mengakui bajet dekorasi rumahnya sukar ditentukan kerana proses menghias dilakukan secara berperingkat mengikut kemampuan kewangan.

Namun, hampir 90 peratus dekorasi rumahnya dilakukan sendiri.

Katanya, suami banyak memberi sokongan serta kepercayaan penuh terhadap idea dan kreativiti yang diketengahkannya.

Justeru, setiap ruang dirancang berdasarkan keperluan ahli keluarga.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN