Rumah ‘tidak sarat’ dengan minimalis moden

Rumah ‘tidak sarat’ dengan minimalis moden

IDEA dekorasi banyak diperoleh daripada media sosial.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Memiliki kediaman yang selesa dan cantik tidak semestinya memerlukan ruang yang besar. Dengan perancangan teliti serta konsep dekorasi yang tepat, rumah bersaiz sederhana juga mampu tampil elegan, kemas dan praktikal untuk kegunaan harian.

Bagi Dhia Rdizuan, 33, setiap sudut rumahnya dirancang dengan teliti agar kelihatan lapang tanpa dipenuhi terlalu banyak perabot atau hiasan.

Menurutnya, pengalaman tinggal di kediaman lama sebelum ini banyak membantu dalam merancang susun atur rumah baharu supaya lebih tersusun dan mudah diurus.

“Untuk rumah baharu ini, saya sekeluarga memilih konsep minimalis moden yang menekankan elemen ringkas, kemas dan tidak berlebihan.

“Konsep ini sangat sesuai untuk rumah bersaiz kecil kerana ia membantu ruang kelihatan lebih luas dan teratur,” katanya.

Jelas Dhia, idea dekorasi juga banyak diperoleh daripada media sosial serta perkongsian pereka dalaman sebelum dia membuat keputusan mengenai konsep yang ingin diterapkan di kediamannya.

Ruang tamu ringkas tetapi elegan

Di ruang tamu, Dhia memilih pendekatan dekorasi yang sederhana bagi mengekalkan suasana minimalis yang diinginkan.

Menurutnya, hanya beberapa perabot asas seperti sofa, meja kecil dan meja makan ditempatkan di ruang tersebut tanpa menambah terlalu banyak elemen hiasan.

“Bingkai gambar yang dipilih juga sangat ringkas dengan tona hitam dan putih supaya warna dalam rumah kekal seragam,” katanya.

DEKORASI sederhana bagi kekalkan suasana minimalis.

Selain susun atur perabot, pemilihan warna juga antara perkara yang paling diberi perhatian dalam dekorasi rumahnya. Dhia lebih mengutamakan penggunaan warna cerah agar ruang kelihatan lebih luas.

“Saya cuba elakkan warna gelap kerana ia boleh membuatkan rumah nampak sempit.

“Warna hitam hanya digunakan sedikit sahaja, contohnya pada bingkai gambar untuk memberi kontras tanpa menjejaskan konsep keseluruhan,” jelasnya.

Dapur kemas dengan kabinet tersembunyi

Konsep minimalis turut diterapkan di bahagian dapur dengan menyembunyikan kebanyakan peralatan di dalam kabinet.

Menurut Dhia, sistem pintu tersembunyi atau pocket door digunakan bagi menyimpan peralatan seperti periuk nasi dan ketuhar supaya dapur kelihatan lebih kemas.

“Apabila kabinet ditutup, dapur nampak sangat bersih. Yang kelihatan hanya penapis air, sinki dan dapur gas.

“Peralatan lain semuanya disimpan dalam kabinet supaya dapur tidak nampak berserabut,” katanya.

Pada masa sama, ruang dapur turut diperluaskan sedikit bagi membolehkan sebuah mini stor serta ruang dobi diwujudkan di bahagian belakang rumah.

Pemilihan lampu beri kesan pada ruang

Selain warna dinding, Dhia turut menitikberatkan pemilihan lampu kerana ia memainkan peranan penting dalam mewujudkan suasana rumah.

Menurutnya, lampu putih terang lebih sesuai digunakan di ruang utama kerana mampu menjadikan rumah kelihatan lebih cerah dan luas.

“Saya lebih banyak menggunakan lampu putih. Lampu kuning pula biasanya lebih sesuai digunakan di bilik tidur,” katanya.

PEMILIHAN warna juga antara perkara yang paling diberi perhatian dalam dekorasi.

Menariknya, rumah tersebut juga menerima cahaya semula jadi yang mencukupi kerana kedudukannya menghadap kawasan terbuka.

Pada waktu siang, Dhia jarang menyalakan lampu kerana cahaya matahari sudah cukup untuk menerangi ruang di dalam rumah.

Sentuhan hijau dan mesra kanak-kanak

Bagi mengekalkan konsep minimalis, Dhia hanya menambah beberapa elemen dekorasi ringkas seperti tumbuh-tumbuhan tiruan di beberapa sudut rumah.

Walaupun rumah dihias dengan warna cerah, Dhia tidak terlalu risau jika anak-anak menconteng dinding atau mengotorkan perabot kerana kebanyakan kemasan dan perabot di kediamannya menggunakan bahan yang mudah dibersihkan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN