Minimalis moden hangatkan bilik si kecil

Minimalis moden hangatkan bilik si kecil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERPINDAH ke rumah baharu selalunya membuatkan ramai orang teruja menghias ruang tamu atau dapur terlebih dahulu. Ruang itulah yang menjadi tumpuan tetamu, maka di situlah biasanya segala idea dekorasi dicurahkan.

Namun bagi Alexander John Ranger, 35, keutamaannya berbeza sama sekali. Tanpa berfikir panjang, bilik anak tunggalnya menjadi ruang pertama yang disentuh. Baginya, di situlah bermulanya rasa selesa dan bahagia dalam sebuah rumah.

Siapa sangka sebuah bilik kosong boleh bertukar menjadi ruang yang begitu kemas, hangat dan menenangkan hanya dengan sentuhan kreatif seorang bapa.

Katanya, dia tidak memilih konsep yang terlalu sarat atau permainan warna yang keterlaluan. Sebaliknya, bilik itu digayakan dengan sentuhan minimalis moden yang sesuai untuk anak lelakinya yang baru berusia tujuh tahun.

“Dinding putih saya padankan dengan tona kayu semula jadi pada lantai dan perabot supaya suasananya lebih harmoni dan tenang.

“Gabungan ini bukan sahaja membuatkan bilik nampak lebih luas dan bersih, malah pencahayaan juga jadi lebih terang dengan aura hangat yang sesuai untuk ruang kanak-kanak,” katanya.

 

Strategi susun atur
Katanya, susun atur bilik itu dirancang dengan teliti, bukannya sekadar mengisi ruang kosong atau dibuat secara sambil lewa.

“Setiap perabot diletakkan mengikut fungsi dan aliran pergerakan anak, supaya ruang kekal selesa, selamat dan tidak mengganggu aktiviti harian si kecil.

“Katil kayu diletakkan kemas di satu sisi dinding, membuka ruang lantai di tengah. Ini memberi kebebasan anak bergerak, bermain dan meneroka dengan selamat,” jelasnya.

Selain itu, cadar dan bantal bercorak haiwan comel turut menambah elemen ceria tanpa menenggelamkan konsep minimalis yang dipilih.

Di bahagian bertentangan, sebuah meja panjang berwarna putih dipasang bersama dua bangku kecil. Mungkin nampak pelik bagi sesetengah orang kerana dia hanya ada seorang anak, tetapi ruang ini bukan sekadar sudut belajar. Ia juga sesuai untuk aktiviti mewarna, bermain bersama ibu bapa atau menerima kawan-kawan.

Satu lagi elemen menarik ialah permaidani bulat wajah beruang yang menjadi titik fokus di tengah bilik.

Selain menambah karakter, permaidani ini menyediakan ruang bermain yang selesa dan selamat. Malah, bakul rotan di sudut bilik berfungsi sebagai tempat menyimpan permainan, menjadikan keseluruhan ruang kelihatan tersusun dan kemas.

Rak buku menarik
Rak terapung di dinding pula dimanfaatkan sepenuhnya untuk menyusun buku cerita dan bahan bacaan agar mudah dicapai oleh si kecil.

Susunan yang kemas ini secara tidak langsung mengajar anak tentang disiplin dan tanggungjawab terhadap barang sendiri.

Ia juga merangsang minat membaca sejak kecil kerana anak dapat melihat dan memilih sendiri buku kegemaran mereka, sambil membina tabiat baik mengembalikan buku ke tempat asal selepas digunakan.

Dengan cara demikian, ruang belajar dan bermain menjadi lebih teratur, selesa, dan menyenangkan untuk aktiviti harian si kecil.

Katanya, cahaya semula jadi daripada tingkap besar yang dilengkapi bidai putih lembut membantu menerangi bilik sepanjang hari.

“Dengan cara tersebut ia dapat menjimatkan penggunaan lampu, malah mewujudkan suasana yang lebih segar dan nyaman.

“Apa yang menjadikan dekorasi berkenaan lebih istimewa bukan sekadar pemilihan perabot atau hiasan, tetapi nilai di sebaliknya,” ujarnya.

Setiap sudut dirancang agar praktikal, selamat dan sesuai dengan perkembangan anak lelaki yang aktif.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN