BUKAN semua wanita bersedia untuk hidup bermadu. Ada yang hatinya kuat dan tabah, tetapi ada yang sukar menerima suami berkahwin lagi. Hidup bermadu bukan sahaja berkongsi seorang suami tetapi menguji kesabaran dan keikhlasan seorang wanita.
Minggu ini saya kongsikan kisah Nurul (bukan nama sebenar) yang diuji suami berkahwin lagi dan ujiannya lebih besar selepas 15 tahun hidup bermadu apabila suami jatuh sakit.
Di awal kehidupan bermadu, Nurul cuba menyesuaikan diri.
Belajar memahami, menahan cemburu dan berpura-pura gembira demi anak-anak.
Namun sepanjang perkahwinan, ujian berterusan dihadapi apabila suami tidak pernah berlaku adil.
“Saya menyangkakan ujian terbesar saya adalah menerima kehadiran orang ketiga dalam hidup kami dan ketidakadilan suami, rupa-rupanya itu hanyalah permulaan.
“Selepas hampir 15 tahun hidup bermadu, Allah menguji saya lagi apabila suami jatuh sakit kira-kira dua tahun lalu. Dalam masa sama madu saya perlahan-lahan mengundur diri. Entah mengapa saya jadi lembut hati untuk kembali menerimanya .
“Sehingga ke hari ini saya masih menguruskan rawatan, ubat-ubatan dan keperluan harian suami,” ujarnya dalam pertemuan yang diatur bersama saya baru-baru ini.
Menurut Nurul, dia tidak berniat untuk bercerita sebagai bukti kebaikannya. Apa yang dilakukan bukan untuk dipuji, bukan pula untuk membuka luka lama. Dia bercerita kerana ada pengajaran yang terlalu mahal untuk dikongsi.
“Hidup bermadu, bukan sekadar soal hukum tetapi kemampuan seorang lelaki untuk berlaku adil. Apabila keadilan itu tidak dijaga, tentu sekali memberi kesan kepada isteri dan anak-anak,” ujarnya.
Menurut wanita berusia pertengahan 50- an itu, diuji suami sakit dan isteri kedua memilih untuk mengundur diri, bukanlah satu kemenangan kepadanya.
Tetapi adalah satu ujian kepada dirinya untuk lebih sabar, ikhlas dan memikul tanggungjawab lebih besar.
Menyingkap kisah lalu, kata Nurul dia memilih untuk reda selepas suami, Munir (bukan nama sebenar) kekal dengan keputusan untuk berkahwin lagi. Bukan kerana hatinya kuat ketika itu tetapi dia belajar untuk menyerahkan segalanya kepada Allah Taala.
“Walaupun kecewa, saya memilih untuk terus mengekalkan rumahtangga demi anak-anak yang masih kecil ketika itu,” imbasnya.
Menyingkap kisah awal ketika hari suami mengaku untuk berkahwin lagi, dunianya terasa gelap. Jantungnya berdegup laju. Dia bukan tidak memahami soal hukum tetapi pengakuan suami untuk berkahwin lagi cukup mengejutkan.
Menurut Nurul, hampir dua minggu dia menanggung kesedihan dan kecewa. Namun perlahan-lahan dia mula menukar kesedihan itu menjadi reda.
Ini selepas setiap kali memandang wajah kedua-dua anaknya, Syira dan Mia, (bukan nama sebenar) masing -masing berusia 10 dan 7 tahun pada ketika itu.
Menyambung cerita kata Nurul, hidup bermadu tidak mudah. Bukan sahaja berkongsi lelaki sama, tetapi berkongsi masa, dan perhatian yang tidak pernah benar-benar adil.
“Suami jarang berlaku adil. Masanya lebih banyak bersama isteri kedua.
Menurutnya, anak-anaklah yang paling merasakan perubahan bapa mereka. Ini terutamanya Syira yang paling rapat dengan bapanya.
“Dia sering menunggu bapanya pulang. Menunggu setiap hujung minggu untuk dibawa keluar. Sebagai ibu, saya sering memujuknya dengan memberi pelbagai alasan tanpa sekalipun memburukkan bapa mereka,” ujarnya.
Awalnya kata Nurul, dia cuba meluahkan pada suami tentang ketidak adilan, perasaan dan harapan mereka tiga beranak.
“Saya luahkan tentang bagaimana saya dan anak-anak penat menunggu. Suami hanya menggangguk faham dan berjanji akan berubah,” ujarnya.
Menurut Nurul, hari-hari selepas perbualan, suami menunjukkan perubahan. Suami mula pulang mengikut jadual.
Nurul kembali berharap untuk melihat keluarga mereka kembali hidup normal seperti sebelumnya. Namun perubahan iu tidak kekal. Suami mengulangi sikap lamanya.
Suami memberi alasan, dia perlu memberi perhatian lebih kepada isteri kedua yang sedang hamil anak sulung.
“Saya kembali memujuk hati dan cuba memahami. Melalui fasa hamil bukan perkara mudah dan saya pernah melaluinya.
“Ibu bukan sahaja mengandung jasad, tetapi memikul emosi yang turun naik. Mudah tersentuh dan lemah,” ujarnya yang mengakui sekali lagi beralah.
Menurut Nurul, selepas bayi itu lahir sekali lagi dirinya diuji. Madunya melahirkan anak lelaki dan kali ini suami berubah 360 darjah.
Masa dan perhatian suami lebih tertumpu kepada rumah isteri kedua.
“Suami sudah semakin jarang pulang ke rumah. Semakin mengabaikan kami tiga beranak. Jangankan datang untuk pulang mengikut jadual yang dipersetujui sebelum itu, menghubungi kami anak beranak pun tidak.
“Saya hanya memerhati dari jauh. Tidak pernah ada secebis rasa cemburu tetapi lebih kepada rasa kecewa dan terkilan dengan sikap suami,” ujarnya.
Sambung Nurul, pada akhirnya dia memilih untuk berhenti bertanya, apalagi mengambil tahu tentang kehidupan mereka suami isteri.
Menurutnya, dia terus fokus pada anak-anak dan pekerjaannya ketika itu sebagai kerani di salah sebuah sekolah rendah.
Dia mula membina kekuatan diri dan memilih menjaga hati sendiri. Nurul mengakui kesan terbesar hidup bermadu bukan hanya pada isteri, tetapi pada jiwa anak-anak yang sedang membesar.
“Seperti Syira dan Mia, mereka tidak pandai bersuara semasa kecil, tetapi perasaan yang dipendam membentuk siapa mereka hari ini.
“Sebab itu apabila mula-mula mendapat khabar bapa mereka jatuh sakit, reaksinya tidak seperti anak-anak lain. Tidak panik, tidak sedih dan tidak berminat untuk bertanya lanjut tentang keadaan kesihatan bapa mereka,” ujarnya.
Sambung Nurul, apabila dia mengambil keputusan untuk menjaga suami selepas jatuh sakit dan ditinggalkan isteri kedua, anak-anak terutama Syira risau dan tidak bersetuju.
Namun setelah dipujuk dengan lembut dan diberi alasan tentang tanggungjawab dan kasih sayang, hati anak-anak mula terbuka. Akhirnya Syira dan Mia menerima keputusan itu dan sama-sama memberi sokongan.
“Sebagai ibu saya dapat merasakan ada sesuatu yang masih disimpan oleh Syira dan Mia. Apapun lelaki itu tetap bapa mereka. Tidak ada siapa boleh menggantikan. Sebagai isteri dan ibu saya telah cuba berusaha sebaik mungkin.
“Saya percaya kebahagiaan itu datang apabila kita berbuat baik sesama manusia, walaupun hati pernah terluka,” ujarnya mengakhir perbualan lewat petang itu.
Sesungguhnya berbuat baik sesama makhluk di dunia ini sangat-sangat digalakkan dalam Islam. Sebagaimana Firman Allah SWT, “Sesungguhnya rahmat Allah itu sangat dekat kepada orang-orang yang berbuat baik,” – (Surah Al A’raaf ayat 56).










