Nurul Syazwani minat politik sejak kecil

Nurul Syazwani minat politik sejak kecil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sejak kecil, aktiviti hujung minggunya diisi dengan menemani bapanya turun padang berjumpa rakyat atau menghadiri mesyuarat UMNO.

Bagi anak tunggal ini, itulah momen berharga untuknya meluangkan masa bersama keluarga.

Tanpa disedari, rutin tersebut membuka pintunya kepada dunia politik.

Langkah awal Nurul Syazwani Noh, 38, bermula dengan aktiviti sukarelawan di kampus dan berterusan sehingga beliau bergelar peguam.

Komitmen tinggi untuk membantu masyarakat kemudian mendorong puteri kepada bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar, ini bergiat aktif dalam politik.

Kerja kerasnya berbaloi apabila memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor 2023.

Lebih istimewa, Ketua Srikandi Muda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tanjong Karang ini merupakan satu-satunya ADUN Wanita Perikatan Nasional (PN) di negeri berkenaan.

“Dulu, keluarga saya tiada pembantu, jadi setiap kali abah dan emak pergi program UMNO, saya ikut bersama.

“Sebab itulah, ketika umur empat tahun, saya hafal lagu UMNO berbanding lagu Negaraku.

“Malah, saya sudah mula memahami cerita-cerita politik, termasuk ketika zaman reformasi,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Namun, perjalanannya dalam politik tidak semudah disangka kerana mendapat tentangan daripada bapa tersayang.

Ia susulan keputusannya keluar daripada UMNO dan memilih bernaung di bawah sayap Bersatu.

Justeru, Nurul Syazwani akur untuk berdikari dan membina namanya tanpa bantuan atau pengaruh sesiapa.

“Abah seolah-olah tidak reda dengan pilihan saya dan memberi syarat agar saya berusaha sendiri.

“Tetapi, sikapnya berubah apabila saya diumumkan sebagai calon PRN dan dialah tulang belakang saya sepanjang tempoh berkempen,” katanya.

 

Ikhlas, latih IKS
Bapa merupakan idola pertamanya dalam bidang politik.

Antara pesanan bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang selama enam penggal itu padanya ialah berkhidmat seikhlas hati kepada rakyat dan mendahulukan mereka berbanding kepentingan peribadi.

Hingga kini, prinsip itu terus menjadi azimatnya dalam menunaikan tanggungjawab dan menyantuni lebih 34,000 pengundi di DUN Permatang.

“Abah cakap semua rakyat perlu dibantu, jangan pilih bulu berdasarkan parti atau lain-lain.

“Selain itu, pemimpin sejati tidak boleh cepat merajuk dan jika timbul apa-apa isu, segera berlapang dada,” katanya.

Misinya di DUN Permatang tahun ini adalah untuk memperbanyakkan latihan serta kemahiran buat komuniti industri kecil dan sederhana (IKS)

Langkah itu bukan sahaja dapat memperkasakan golongan sasar, bahkan mempromosikan produk dan meningkatkan pendapatan mereka.

Dalam masa sama, ia dapat melonjakkan DUN itu dalam pelbagai sektor termasuk pelancongan dan keusahawanan.

“Di sini ada perusahaan kerepek, batik, layang-layang dan sabun yang dibangunkan oleh usahawan orang kurang upaya (OKU).

“Saya bercadang untuk melatih lebih ramai lagi penduduk terutama golongan muda menerusi penganjuran kelas-kelas berkaitan,” katanya.

Aktif bawa suara wanita
Sebagai wakil tunggal wanita PN, Nurul Syazwani tidak terlepas daripada cabaran dan stereotaip ketika dalam persidangan DUN.

Namun, pengalaman itulah yang mendidiknya menjadi lebih kuat, terutama dalam memperjuangkan suara kaum hawa.

“Mula-mula memang gementar dan canggung tetapi saya selalu mencabar diri untuk aktif bersuara.

“Dalam masa sama saya cuba kekal tenang dan tidak cepat melenting bila ada ADUN yang mencelah atau membuat provokasi.

“Zaman sekarang, rakyat gemar menilai cara wakil rakyat menjawab atau berbahas,” katanya.

Lulusan Universiti Victoria, Australia ini turut menggalakkan lebih ramai wanita menceburi politik.

Katanya, kunci utama kejayaan dalam bidang ini adalah memiliki jiwa kental dan mengutamakan kepentingan rakyat.

“Paling penting jangan beremosi dan berdamai dengan takdir jika sesuatu perkara tidak berjalan seperti dirancang,” katanya.

Tonton filem hantu
Di sebalik jadual padat, Nurul Syazwani sentiasa berusaha meluangkan masa bersama keluarganya, terutama pada waktu malam.

Dengan cara itu, beliau dapat berinteraksi dengan empat anak yang berusia antara lima hingga 16 tahun, termasuk berkaitan hal-hal sekolah.

“Saya tidak mahu anak-anak membesar tanpa saya, jadi sebaik mungkin saya cuba mengimbangi kerjaya dan masa bersama mereka.

“Antara aktiviti kegemaran anak-anak adalah menonton filem hantu di Netflix, walaupun nampak santai, ia sebenarnya menjadi momen yang mengeratkan hubungan kami sekeluarga.

“Saya akan menyediakan bertih jagung, rasa macam menonton di pawagam,” katanya.

Beliau bersyukur kerana mendapat sokongan padu suami, Hisyam Hedzril Norhashim dan ibu bapa.

Apatah lagi, kediaman mereka yang saling berhadapan sekali gus memudahkan urusan harian dan penjagaan anak-anak.

“Malah, dua anak saya sangat rapat dengan datuk dan nenek mereka, hingga tidur bersama hampir setiap malam,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN