TIADA siapa sangka, seorang anak nelayan yang membesar serba kekurangan akhirnya muncul sebagai pemilik dan pengurus syarikat sendiri. Itulah perjalanan hidup Nur Halimah Mohd Saiful Rahim, pengasas dan pengurus Hasara Solutions yang membuktikan latar belakang bukan penghalang.
PIKUL TANGGUNGJAWAN BESAR
SEBAGAI anak sulung daripada tiga beradik, Nur Halimah Mohd Saiful Rahim, 30, memikul tanggungjawab besar sejak usia muda, menjadikannya lebih matang dalam membuat keputusan dan lebih berani menetapkan hala tuju hidup.
Beliau pernah berjanji kepada diri sendiri untuk melakukan sesuatu yang luar biasa.
Bukan sekadar mengubah nasib sendiri, tetapi menjadi contoh dan kebanggaan buat adik-adiknya yang sentiasa menjadi pendorong utama dalam setiap langkah hidupnya.
Halimah percaya pendidikan mampu mengubah kehidupannya, namun pada ketika itu beliau tidak pernah membayangkan diri bergelar usahawan, apatah lagi memimpin sebuah syarikat.
Impiannya cukup sederhana, iaitu menjadi seorang jurutera yang membina masa depan melalui ilmu dan kepakaran.
Keinginan untuk terus memperkukuh diri mendorongnya menyambung pengajian ke peringkat sarjana.

Langkah itu bukan sahaja menambah pengetahuan dan kemahiran, malah membuka ruang lebih luas untuk perkembangan kerjaya dan pencapaian peribadi.
Tanpa pengalaman kerja formal, Halimah kemudiannya diberi kepercayaan untuk dilantik sebagai pengajar yang melatih kontraktor serta pemain industri.
Peluang itu hadir di luar jangkaannya, namun menjadi detik penting dalam perjalanan hidupnya.
“Pelantikan itu bukan sekadar satu pengiktirafan, tetapi titik tolak kepada keyakinan diri saya untuk berdiri sebaris dengan mereka yang sudah lama berada dalam industri,” katanya.
Walaupun pada awalnya berasa pelik dan tidak menyangka akan diberi tanggungjawab sebesar itu, Halimah percaya kepercayaan tersebut lahir daripada potensi yang dilihat oleh orang lain terhadap dirinya, jauh sebelum beliau sendiri menyedarinya.
BUKA SYARIKAT SENDIRI
Pada usia 25 tahun, ketika ramai rakan seusia masih mencari hala tuju, Halimah sudah berani melangkah lebih jauh dengan mendaftarkan syarikatnya sendiri.
Langkah itu mungkin kelihatan kecil pada mata orang lain, namun bagi Halimah, ia merupakan permulaan kepada impian yang lebih besar.
Syarikat tersebut dinamakan Hasara Solution, membawa maksud penyelesaian kerugian kepada para pelanggan.
Menurut Halimah, nama Hasara bukan sekadar jenama perniagaan, sebaliknya terhasil daripada gabungan nama penuhnya iaitu Nur Halimah Saiful Rahim.
Namun, apabila beliau menyedari perkataan Hasara dalam bahasa Arab membawa maksud kerugian, timbul keraguan untuk mengekalkan nama tersebut.

Pada satu ketika, Halimah hampir menukar nama syarikatnya kerana bimbang maksud itu memberi persepsi negatif.
“Ketika itu saya belum ada pejabat, pekerja atau modal yang besar. Ia hanyalah sebuah nama syarikat yang didaftarkan di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM),” katanya kepada Seri.
Beliau mengakui memulakan perniagaan dalam industri pembinaan bukan perkara mudah, apatah lagi sebagai seorang wanita muda tanpa pengalaman dan rangkaian yang luas.
Malah, pada peringkat awal, Halimah belum mempunyai sebarang projek untuk dijalankan.
Namun begitu, pendaftaran syarikat tersebut menjadi langkah penting dalam membina keyakinan diri dan kesiapsiagaan mental untuk bergelar usahawan.
Bagi Halimah, keberanian untuk memulakan langkah pertama, walaupun tanpa jaminan kejayaan, adalah asas kepada perjalanan yang lebih besar dan bermakna.
HAMPIR PUTUS ASA
Menurut perkongsiannya, Halimah pernah melalui fasa menganggur selama beberapa bulan ketika sedang berusaha menjenamakan syarikatnya. Tempoh itu bukan masa yang mudah, namun beliau memilih untuk mengisinya dengan usaha memperkukuh ilmu dan persediaan diri.
Sebahagian besar masanya dihabiskan di perpustakaan, mempelajari selok-belok perniagaan seperti penyediaan tender, penetapan harga, invois serta dokumentasi yang diperlukan dalam dunia industri.

Semua itu dipelajari secara kendiri, satu demi satu, tanpa jalan pintas.
Ceritanya, untuk makan tengah hari, apa sahaja yang ada di rumah sudah memadai.
Kadangkala dimasak sendiri dengan bahan seadanya, tanpa rungutan mahupun keluhan.
Bagi Halimah, itu bukan pengorbanan, sebaliknya sebahagian daripada proses.
Rutin harian tersebut bukan sekadar untuk mengisi perut, tetapi turut melatih kesabaran, disiplin dan kemandirian. Ia sentiasa mengingatkannya usaha kecil yang dilakukan hari ini bakal menjadi asas kepada kejayaan yang lebih besar pada masa hadapan.
Namun, keadaan mula menguji emosinya apabila ibunya menyuarakan kebimbangan dan menganggap Halimah seolah-olah menganggur tanpa arah tujuan. Kata-kata itu sedikit sebanyak menggoncang keyakinannya.
Takut kehilangan reda ibunya, Halimah mengambil keputusan untuk bekerja, namun dalam masa yang sama beliau tetap meneruskan usaha membangunkan perniagaannya secara senyap.
Bagi Halimah, itulah jalan tengah antara tanggungjawab keluarga dan impian yang masih ingin digenggam.
MAKAN MI SEGERA SETIAP HARI
Berbeza dengan kebanyakan perniagaan yang memerlukan modal besar pada peringkat awal, Halimah membangunkan Hasara secara berperingkat dan penuh perancangan. Setiap langkah diambil dengan berhati-hati, selari dengan kemampuan dan situasi semasa.
Katanya, beliau memilih konsep pekerja bebas dan berasaskan projek bagi mengurangkan risiko kerugian. Pendekatan itu bukan sahaja lebih fleksibel, malah membolehkannya mengawal aliran tunai dengan lebih ketat.
“Sistem ini memberi ruang untuk saya mengurus kewangan dengan lebih berdisiplin, dalam masa yang sama membuka peluang kepada tenaga mahir untuk terus menjana pendapatan,” katanya.
Dalam tempoh tersebut, Halimah sanggup berjimat secara ekstrem dan mengurangkan perbelanjaan hingga ke perkara paling kecil dalam kehidupan seharian. Segala keperluan ditimbang, manakala kehendak diketepikan.
Pernah suatu ketika, demi mengumpul modal dan memastikan kelangsungan perniagaan, beliau hanya bergantung kepada mi segera hampir setiap hari.
FASA SUNYI SELEPAS BERGELAR IBU
Di sebalik kejayaan yang dikecapi, Halimah tidak menafikan sebagai wanita, ada waktunya dia terasa rapuh. Selepas berkahwin dan bergelar ibu, beliau melalui fasa kehilangan identiti diri.
“Ada hari-hari saya bangun tanpa semangat. Ada masa saya rasa diri ini tidak lagi seperti Halimah yang dahulu,” luahnya.
Pada ketika itu, hanya ibunya menjadi tempat beliau meluahkan segala perasaan yang terpendam.

Malahan, ketika mempersiapkan diri untuk sesi temu ramah bersama Seri, beliau sekali lagi menangis sehari sebelum temu ramah dijalankan. Rasa risau dan takut secara tiba-tiba menyerang.
Namun, Halimah menenangkan diri dan mengingatkan dirinya peluang itu terlalu penting untuk dilepaskan.
PROGRAM GAGAL
Antara detik paling mencabar dalam perjalanan Halimah ialah ketika program latihan pertamanya hampir dibatalkan kerana hanya seorang peserta yang mendaftar.
Situasi itu benar-benar menguji ketahanan emosi beliau, lebih-lebih lagi selepas segala perancangan, masa dan tenaga dicurahkan dengan penuh harapan.
“Ketika itu, keyakinan saya hampir runtuh dan perasaan kecewa mula menyelubungi diri, seolah-olah usaha sebelum ini tidak mendapat sambutan yang diimpikan.
“Namun, saya tetap memilih untuk meneruskan program tersebut, walaupun secara teknikalnya ia dianggap gagal,” katanya.
Bagi Halimah, pengalaman dan keberanian untuk melangkah ke hadapan jauh lebih bernilai daripada angka penyertaan semata-mata.
TIDAK KEJAR PENGIKTIRAFAN
Penerimaan Anugerah Wanita Ikon Muda Selangor 2024/2025 menjadi detik yang sama sekali tidak pernah terlintas di fikiran Halimah.
Katanya, pencalonan itu bukan hasil usaha sendiri, sebaliknya datang daripada seorang wanita yang menghargai jasa, sumbangan, dan perjalanan hidupnya.
Individu tersebut melihat ketekunan, keberanian, serta impak positif yang Halimah cipta secara senyap, lalu mengambil inisiatif mendaftarkannya sebagai calon.
Perbuatan itu membuktikan kebaikan dan keikhlasan yang dilakukan tanpa mengharapkan balasan tetap meninggalkan kesan mendalam pada orang sekeliling.
Bagi Halimah, pengiktirafan ini bukan sekadar pencapaian peribadi, tetapi satu amanah besar untuk terus memberi inspirasi kepada wanita muda.










