'Ada doktor cadang Aslan ditidurkan, kami tak setuju’

‘Ada doktor cadang Aslan ditidurkan, kami tak setuju’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGI setiap pemilik kucing, tiada yang lebih menakutkan daripada mendengar perkataan FIP atau Feline Infectious Peritonitis. Penyakit ini sering dianggap ‘pembunuh senyap’ dalam kalangan kucing kerana ia mudah membawa maut dan sukar dirawat.

FIP boleh menyerang kucing kesayangan tanpa amaran, meninggalkan pemiliknya dalam kebimbangan dan keresahan.

Bagi Nur Maisarah Nasuha Ramlan, 26, seekor kucing bukan sekadar haiwan peliharaan. Ia adalah teman setia menemani rutin hariannya, malah sudah lama menjadi sebahagian daripada keluarga.

Aslan, seekor kucing jantan baka Maine Coon berusia 10 tahun membuktikan kasih sayang dan kesabaran mampu menjadi penawar paling bermakna, walaupun menghidap FIP.

Berasal dari Russia, Aslan dipelihara sejak kecil dan membesar sebagai kucing yang aktif, pintar serta berpersonaliti kuat selain mencuri perhatian sesiapa sahaja yang mengenalinya.

Namun, hidup Aslan diuji apabila kesihatannya merosot secara mendadak sekitar tahun 2020.

PERUBAHAN MENDADAK

Nur Maisarah Nasuha menceritakan, kucingnya yang sebelum itu ceria dan aktif tiba-tiba berubah. Badannya makin kurus, hilang selera makan dan kelihatan lesu.

Ujian darah di beberapa klinik veterinar pula menunjukkan keputusan yang cukup membimbangkan.

“Keputusan memang teruk. Hampir semua bacaan merah. Ada doktor cadangkan untuk ditidurkan, tapi ayah saya tak izinkan. Kami tak sanggup dan percaya masih ada harapan,” katanya kepada Seri.

Ketika itu, rawatan khusus untuk FIP masih belum wujud. Tanpa ubat yang spesifik, keluarga tersebut hanya mampu menjaga Aslan dengan penuh kasih sayang, memastikan keperluannya dipenuhi dan menyuap makanan kegemarannya supaya semangatnya tetap hidup.

KASIH SAYANG SEBAGAI RAWATAN

Aslan ditempatkan sepenuhnya di dalam rumah bagi mengelakkan tekanan dan memastikan keselesaannya. Setiap perubahan tingkah laku diberi perhatian kerana Aslan merupakan kucing yang terlalu sensitif dan mudah tertekan.

“Kami berikan apa sahaja makanan yang digemarinya, terutamanya ayam. Yang paling penting, dia makan dengan baik dan berada dalam keadaan selesa,” katanya.

Keajaiban mula berlaku apabila Aslan perlahan-lahan menunjukkan perubahan positif. Selera makannya kembali, pergerakannya semakin aktif dan emosinya lebih stabil.

Tanpa rawatan perubatan khusus, Aslan akhirnya pulih dan terus hidup sihat sehingga kini.

DIGELAR ‘HANTU AYAM’

Walaupun sudah berusia, Aslan masih mempunyai keperibadian tersendiri. Ia dikenali sebagai kucing yang bijak, penyayang dan sangat bertanggungjawab terhadap anak-anaknya. Namun, Aslan juga mempunyai sisi ‘manja bertempat’.

“Dia suka dimanja, namun hanya dalam kadar tertentu. Apabila rasa sudah mencukupi, dia akan mula menjauhkan diri dan berlagak tidak mengendahkan keadaan sekeliling,” kata Nur Masarah.

Aslan juga terkenal sebagai ‘pencuri’ di rumah. Ia gemar menyelongkar barang dan membawanya kepada tuannya, sama ada untuk menarik perhatian atau sekadar berkelakuan nakal.

Aslan digelar ‘hantu ayam’ kerana kegemarannya terhadap daging ayam.

“Aslan memang bijak. Ia tahu siapa yang sudah memberinya makan, kemudiannya akan pergi mengiau kepada orang lain pula untuk mendapatkan ayam tambahan,” katanya

Pada usia 10 tahun, rutin harian Aslan lebih banyak diisi dengan berehat dan tidur. Namun, setiap petang ia gemar duduk di luar rumah untuk menghirup udara segar, seolah-olah menikmati ketenangan usia senja.

Berat badannya yang pernah menjunam sehingga tiga kilogram semasa sakit kini meningkat kepada 9 kilogram, menandakan tahap kesihatan yang stabil.

PENJAGAAN RAPI

Dari segi pemakanan, Aslan hanya makan dua kali sehari dengan diet yang dipilih berdasarkan kandungan protein tinggi dan kesesuaian untuk kucing FIP survivor yang berusia. Selain itu, Aslan juga gemar minum air, khususnya air paip yang mengalir.

Nur Maisarah turut menekankan kepentingan penjagaan bulu dan kebersihan, terutamanya kerana Aslan tidak sesuai dihantar ke pusat grooming.

SIMBOL KETABAHAN, HARAPAN

Pengalaman menjaga Aslan sepanjang fasa sakit sehingga pulih sepenuhnya mengajarnya erti kesabaran, kepercayaan dan kasih sayang tanpa syarat.

“Aslan ajar kami untuk tak mudah berputus asa. Selagi ada nyawa, selagi itu ada harapan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN