Labur RM5,OOO demi si bulus import yang gebu

Labur RM5,OOO demi si bulus import yang gebu

MELAYAN si bulus bagaikan terapi buat Muhammad Shazmier
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HARGA seekor kucing import yang bernilai RM1,000 seekor langsung tidak menjadi penghalang buat jejaka ini memiliki si bulus comel itu.

Bagi Muhammad Shazmier Shafieq, melihat keunikan setiap baka kucing import yang dimilikinya daripada segi bulu yang lembut, warna mata menawan hingga perangai manja terlampau adalah sesuatu yang tidak ternilai.

Jejaka berusia 27 tahun ini gemar mengumpul si bulus gebu dan comel daripada baka Parsi ragdoll dan British Shorthair.

Kini, beliau memiliki sembilan ekor kucing import dengan lima daripadanya dibeli sendiri manakala selebihnya daripada pemberian kenalannya.

“Setiap kali membawa pulang baka baharu, saya sangat teruja seolah-olah menambah ahli keluarga.

“Ada juga baka kucing yang dihadiahkan oleh kawan-kawan, kerana mereka tahu saya suka kucing import,” katanya.

Pada hari cuti, Muhammad Shazmier gemar meluangkan masa bersama dengan kucing-kucingnya berbanding keluar bersosial.

Baginya, masa bersama haiwan peliharaannya itu memberi ketenangan dan menjadi terapi untuk menghilangkan tekanan setelah seharian bekerja.

Baka import lebih sensitif

Penjagaan baka kucing import bukan mudah, sebaliknya, memerlukan perhatian lebih terutamanya daripada segi pemakanan, kesihatan dan kebersihan untuk mengekalkan kesihatan yang optimum.

Kata Muhammad Shazmier, baka import lebih sensitif dan mengalami masalah kesihatan berbanding baka kucing tempatan

“Selalunya, saya akan memberi makanan premium yang sesuai dengan baka yang dipelihara bagi mengelakkan perut mereka mengalami alahan. Alahan kadangkala boleh menyebabkan najis berdarah.

“Jenis makanan yang dipilih bukan sekadar untuk memenuhi selera makan tetapi juga untuk mengekalkan kesihatan bulu dan tenaga harian,” ujarnya.

Bagi mengelakkan kucing-kucing kesayangannya mengalami masalah bulu kusut dan tertelan berbola rambut, Shazmier akan menyikat bulu si comel itu lebih kurang dua kali dalam sehari.

“Kaedah tersebut juga dapat dijadikan sebagai langkah penyelesaian bagi kebersihan kucing kerana mengikut nasihat doktor kebanyakan si bulus yang saya pelihara berumur dua tahun ke atas tidak boleh dimandikan setiap minggu” katanya.

Selain itu, Muhammad Shazmier turut menitikberatkan vaksinasi dan pemeriksaan berkala kucing-kucingnya di klinik haiwan bagi memastikan kesemuanya sentiasa dalam keadaan sihat.

Bagi tujuan itu, dia tidak lokek membelanjakan RM500 lebih setiap bulan untuk penjagaan kesihatan si bulus.

Baginya, asalkan kucing-kucingnya mendapat penjagaan terbaik yang diperlukan, hal lain tidak menjadi masalah.

Setiap kucing ada ragam

Menurutnya, dia bersyukur kerana setiap si comel mudah bergaul dan sentiasa bermain bersama.

Namun, yang paling mencuit hatinya adalah gelagat kucing-kucingnya yang penuh keletah dan sukar dijangka.

”Ada yang suka mencuri tempat tidur saya, sehinggakan kadang-kadang empat ekor si comel berada di atas katil, bermain menyorok di sebalik bantal.

“Pernah juga seekor daripada kucing saya gemar menjatuhkan apa sahaja, tidak kira sama ada benda itu mudah pecah dari kabinet atau meja.

“Kemudian, ia akan berpura-pura tidak bersalah sambil menatap saya dengan wajah comel, sehinggakan saya tidak sampai hati untuk memarahinya,” katanya.

Kerenah dan kejutan kucing-kucing comel itu sudah cukup membuatkannya tertawa dan menceriakan hari-harinya.

Malah, dengan wajah comel dan mata yang menarik menambahkan lagi rasa kasihnya terhadap si comel yang dipelihara walau ragamnya kadangkala membuatkan Muhammad Shazmier garu kepala.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×