Meniti usia senja, tidak ada apa lagi yang diharap setiap ibu bapa selain menjalani kehidupan bahagia dan tenang bersama keluarga.
Namun, bukan semua diberi rezeki dikelilingi anak menantu, cucu yang mengambil berat dan bertanggungjawab.
Ada antara mereka diuji dengan ujian paling berat apabila anak-anak lupa tanggungjawab.
Anak-anak makin menjauh. Hilang rasa hormat dan tidak lagi meletakkan ibu bapa yang sedang uzur sebagai keutamaan.
Demikian juga kisah seorang ibu, Mak Cik Ija atau Ija, (bukan nama sebenar) yang saya kongsikan minggu ini.
Mak Cik Ija diuji dengan anak-anak yang hilang rasa hormat, kasih sayang dan terlalu berkira dengan ibu bapa sendiri.
Wanita tabah yang saya temui baru-baru ini meluahkan rasa terkilan, hairan dan kecewa apabila anak-anak yang dulunya ditatang bagai minyak penuh mula menjauh, mula berkira dan memandang ibu bapa sendiri sebagai beban.
Mak cik Ija merupakan ibu kepada tiga orang anak yang sudah dewasa dan telah berumahtangga.
Pertengahan Disember depan, genap usianya 65 tahun.
Dia kini tinggal berdua bersama suaminya, Manan (bukan nama sebenar) 70 tahun yang terlantar sakit sejak dua tahun lalu akibat serangan angin ahmar.
Kata Mak Cik Ija, sebelum jatuh sakit mereka menggunakan duit Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) suami untuk perbelanjaan harian.
Mereka tidak pernah meminta wang dengan anak-anak kerana tahu mereka ada kehidupan sendiri.
Tetapi sejak suami sakit, dunia mereka berubah.
Wang simpanan suami untuk hari tua habis begitu sahaja untuk kos perubatan dan rawatan.
“Saya tiada pilihan lain selain meminta bantuan anak-anak.
“Sewaktu anak-anak bujang, mereka ada juga menghulur belanja tetapi jarang. Selepas masing-masing berumahtangga, makin hilang terus. Seolah-olah tanggungjawab kepada kami terpadam terus.
“Kami cuba untuk tidak menyusahkan anak-anak Namun, dalam keadaan kesihatan suami yang makin merosot sejak setahun kebelakangan ini, membuatkan saya terpaksa meminta bantuan anak-anak,” ujarnya dengan nada sayu.
Menurut Mak cik Ija, dia tidak berniat untuk membuka aib keluarga sendiri tetapi terlalu berat untuk dipendam sendiri.
Katanya, dia tidak membenci anak-anak dan tetap sayangkan mereka.
“Saya cuma seorang ibu yang ada hati dan perasaan. Saya hairan bagaimana anak-anak boleh hilang rasa hormat dan simpati kepada saya dan suami yang membesarkan mereka.
“Ada ramai ibu yang memikul rasa yang sama. Ramai ibu yang disakiti dengan sikap anak-anak yang berkira tetapi memilih untuk berdiam dan tidak mahu memalukan anak-anak,” ujarnya.
Bercerita lanjut tanpa diminta, Mak cik Ija berkata sehingga ke hari ini dia tidak tahu apa kesalahan mereka kepada anak-anak.
Setidaknya, dia hanya mahukan perhatian dan rasa simpati.
“Anak-anak tahu bapa mereka tidak sihat, saya pula tidak berdaya untuk menguruskannya sendirian. Namun tiada seorang pun yang bertanya khabar.
“Apakah kami ada cukup wang untuk makan minum, bagaimana pula kos rawatan dan perubatan bapa mereka. Setiap bulan kami hidup seadanya,” ujarnya.
Bercerita mengenai ketiga-tiga anaknya, kata Mak Cik Ija kesemuanya lulusan universiti dan mempunyai kerjaya yang baik.
Anak sulungnya, Razak (bukan nama sebenar) sudah berkeluarga dan menetap di Kuala Lumpur.
Razak sering memberi alasan tidak dapat pulang ke kampung kerana sibuk bekerja.
Anak kedua, Zarina (bukan nama sebenar) juga sudah berumahtangga.
Zarina sudah lima tahun berkahwin, namun belum dikurniakan rezeki anak.
Kata Mak cik Ija, anak perempuannya lemah lembut orangnya.
Tetapi, apabila dia meminta tolong untuk menghantar bapa ke hospital, Zarina sering memberi pelbagai alasan.
Manakala, anak bongsunya, Sham (bukan nama sebenar), masih bujang .
Sejak setahun lalu Sham memilih untuk keluar rumah dan menyewa bersama kawan-kawan bujangnya.
“Mak cik sudah lali dengan alasan yang diberi anak-anak.
“Mereka kata sibuklah, penatlah. Janji esok, belum tentu esoknya datang,” luahnya.
Sejujurnya, warga emas ini berat untuk bergantung harap kepada anak-anak.
Namun, dengan kudrat yang hanya tersisa, dia tiada pilihan.
Kata Mak Cik Ija, kalau dia masih muda, masih sihat dan mampu bekerja, dia tidak akan meminta satu sen pun daripada anak-anak.
Dia hanya mahukan anak-anak yang dibesarkan dengan susah payah dahulu menunjukkan rasa hormat, kasih sayang dan kasihan kepada kedua orang tua.
Bukan dengan sikap dan wajah yang menyakitkan.
Menurut Mak Cik Ija, setiap kali dia meminta, terasa diri seperti peminta sedekah.
“Sebelum memberi anak-anak pasti buat muka yang menyakitkan.
“Mereka hulur tetapi dengan wajah yang masam, dengan bahasa badan yang menggambarkan tidak ikhlas dan seolah-olah kami menyusahkan mereka,” katanya.
Paling menyedihkan, pernah anak sulungnya mengeluarkan ayat -ayat yang tidak sedap didengar.
Tanpa menyebut secara terperinci ayat yang keluar, akui Mak Cik Ija sejak itu dia belajar diam dan menerima.
“Sebelum ini, saya sering mempersoalkan mengapa anak-anak yang dibesarkan dengan kasih sayang, berubah sikap.
“Saya sering terkenangkan zaman mereka kecil bagaimana suami sanggup bekerja lebih masa untuk memastikan anak-anak kenyang, menerima pendidikan seperti anak-anak orang lain.
“Namun kini, apabila bapa mereka tidak sihat dan memerlukan sedikit perhatian, ia seolah-olah membebankan mereka pula,” ujarnya sambil cuba menahan air mata yang mahu menitis.
Layanan sebegitu rupa yang diberikan oleh anak-anak sudah tentu mencoretkan luka pada hati ibu tua ini.
Namun, jauh di dasar hati dia tetap mendoakan kesejahteraan anak-anak.
Itulah hati seorang ibu yang setia mengasihi anak-anak.
“Walaupun disakiti, saya tetap memaafkan mereka.
“Mungkin ada kesilapan yang dilakukan sebagai ibu yang tidak saya sedari,” ujarnya mengakhiri perbualan lewat petang itu.
Sesungguhnya terdapat ayat quran yang menekankan betapa pentingnya seseorang anak berbakti kepada orang tua yang masih hidup.
Sebagaimana Firman Allah SWT yang bermaksud: “Rendahkanlah dirimu terhadap keduanya dengan penuh kasih sayang dan ucapkanlah, “Wahai Tuhanku sayangilah keduanya sebagaimana mereka berdua (menyayangiku ketika) mendidik aku pada waktu kecil,”) Al Isra ayat 24).-UTUSAN










