Kasih seorang ibu dan isteri tidak pernah sama.
Kedua-duanya wanita yang sangat istimewa dan mempunyai peranan tersendiri dalam kehidupan seorang lelaki.
Kedua-duanya berhak disayangi dan dihormati, tetapi jika tidak ditangani dengan bijak, ia boleh berubah menjadi ujian berat bagi seorang anak dan suami.
Ini kerana apabila salah seorang bersikap ingin memiliki, ego dan berasa tersisih.
Minggu ini, saya kongsikan kisah Hakeem (bukan nama sebenar) yang diuji apabila si ibu mengganggap menantu perempuan sebagai pesaing.
Hakeem,28, tersepit antara ibu dan isteri, dua wanita istimewa dalam hidupnya.
Dalam emel yang dikirimkan kepada saya baru-baru ini, Hakeem meluahkan betapa sukarnya menjadi anak kepada seorang ibu yang belum menerima sepenuhnya kenyataan anaknya sudah berkahwin.
“Saya kini masih dalam fasa berusaha mendamaikan hubungan dua wanita istimewa dalam hidup saya.
“Insya-Allah, doakan saya. Saya yakin Allah Maha Pendengar dan Pengasih,” tulisnya.
Hakeem dibesarkan oleh seorang wanita berstatus ibu tunggal sejak usianya dua tahun.
Selepas kematian bapa, ibu membesarkan dia dan dua kakaknya seorang diri.
Sejak kecil Hakeem sudah terbiasa melihat ibunya bekerja keras memastikan dia tidak kekurangan kasih sayang dan pendidikan seperti kanak-kanak sebaya.
“Anak-anak adalah alasan untuk ibu terus kuat.
“Ibu menjadi ibu dan ayah dalam satu masa. Bekerja siang dan malam, menahan lapar dan dahaga,” tulisnya.
Hakeem bukan sekadar anak lelaki, dia adalah pengganti teman hidup dan ubat rindu kepada arwah suami yang dahulunya menjadi separuh jiwa ibu.
Hampir setahun berumahtangga, dia dapat merasakan ada sesuatu yang tidak kena dalam hubungan ibu dan isterinya, Farida (bukan nama sebenar).
Ibunya berubah menjadi cepat sensitif dan terasa disisih.
Di satu sisi, dia ada isteri yang sedang menyesuaikan diri dalam kehidupan rumah tangga.
Menyingkap detik tentang hasrat untuk berkahwin dengan wanita pilihannya itu, ibu hanya mendiamkan diri.
“Wajah ibu berubah sekelip mata. Saya ceritakan tentang Farida, di mana saya kenal, kebaikannya dan keyakinan tentang wanita itu boleh menjadi pelengkap hidup saya.
“Tetapi semakin saya bercerita, ibu bersikap acuh tidak acuh dan dingin,” kongsinya.
Hampir sebulan juga Hakeem berusaha memujuk dan akhirnya ibu akur.
Namun kakak sulungnya memberitahu, ibu berat hati membenarkannya berkahwin kerana takut kehilangan kasih dan takut tempatnya di ambil wanita lain.
Hakeem berkata, kehidupan berumahtangga membuatkan hidupnya terasa lengkap .
Dia mempunyai dua wanita istimewa dalam hidupnya. Namun, perlahan-lahan kebahagiaan diuji apabila kasih dua wanita yang dirasakan awalnya seimbang menjadi pertikaian.
Beberapa minggu pertama selepas berkahwin, semuanya indah.
Hakeem berasa hidupnya bahagia, ada ibu dan isteri di sisi.
Dua wanita yang sangat disayangi. Namun, masa mengubah segalanya. Bukan secara tiba-tiba, tetapi perlahan-lahan.
Dalam diam, rupa-rupanya ibu memendam sesuatu.
“Sejak saya berkahwin, ibu tidak pernah tenang dan tidak benar-benar menerima kehadiran Farida.
“Sementara isteri cuba menyesuaikan diri dan berbaik dengan ibu mentua,” tulisnya.
Ada sahaja kekurangan isterinya di mata ibu.
“Ibu sering membandingkan cara Farida melayan saya. Ibu mengkritik isteri tanpa berselindung.
“Ada sahaja yang tidak kena dengan isteri pada pandangan ibu. Cara isteri memasak, berpakaian dan banyak lagi hal-hal lain.
“Ibu berasa tiada siapa yang mampu menjaga saya seperti dirinya,” tulisnya.
Walaupun kata-kata ibu bertujuan untuk mengajar, tetapi tanpa disedari dalam masa sama menyebabkan isterinya terasa hati.
Kata Hakeem, isterinya tidak pernah membalas, namun sering mengadu.
Situasi itu membuatnya sering jadi serba salah.
“Saya cuba berlaku adil, namun tidak mudah bagai dikata.
“Di sini terluka, di sana berduka,” tulisnya.
Menyambung cerita kata Hakeem, semakin lama, hubungan ibu dan isterinya semakin tegang.
Lebih-lebih lagi pada suatu hari selepas berlaku perang mulut antara ibu dan isteri.
“Isteri yang selama ini berdiam diri, akhirnya terlepas cakap dengan berterus terang dirinya makan hati dengan sikap ibu.
“Saya sendiri tidak sangka isteri boleh bertindak sedemikian. Namun saya yakin, mungkin tahap kesabaran isteri sudah sampai kemuncak.
“Saya tahu isteri sudah banyak menahan, mengalah tetapi saya juga tahu ibu tidak berniat menyakiti, cuma hatinya tidak sepenuhnya melepaskan saya,” ujarnya.
Hubungan ibu dan isterinya semakin renggang dan tegang.
Mereka masih tinggal sebumbung tetapi masing-masing mengelak untuk tidak bertembung.
Ibunya lebih banyak berkurung dalam bilik dan isterinya hanya bercakap apabila perlu.
Menyatukan kedua-duanya bukan sesuatu yang mudah .
Namun dia percaya dengan menunjukkan kasih secara seimbang dan ikhlas, segala-galanya akan berakhir dengan baik.
Kata Hakeem sejak berkahwin, kasihnya terhadap ibu tidak pernah berubah.
“Ibu dan isteri dua insan istimewa dan penting dalam hidup saya.
“Saya mahu melihat dua wanita ini saling menyayangi bukan bersaing atau bermusuhan antara satu sama lain,” ujarnya.
Kisah Hakeem memberi pengajaran kadang kala, lelaki yang tersepit bukan tidak mahu berlaku adil, dia hanya tidak mahu kehilangan dua insan yang disayangi dalam hidup.
Hanya sedikit sabar dan pengertian diperlukan.
Sesungguhnya dalam Islam, kedudukan ibu dan isteri sangat istimewa.
Lelaki memiliki kewajiban berbakti kepada ibu dan memenuhi hak-haknya, namun tidak mengabaikan hak dan tanggungjawab terhadap isteri.
Sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Jabir R.A, Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: “Mulakan nafkah dengan dirimu. Jika berbaki, berikanlah kepada ahli keluargamu. Jika masih berbaki, berikanlah kepada saudara-maramu yang lain dan jika ada lebihan nafkahi yang terdekat dan seterusnya.” (HR Muslim no. 997)-UTUSAN









