Leny, wanita Orang Asli pertama hasilkan potret realisme

Leny, wanita Orang Asli pertama hasilkan potret realisme

Usaha murninya digerakkan sejak 11 tahun lalu dan sepanjang tempoh itu, ratusan karya telah dilahirkan oleh pelukis potret realisme daripada suku Temuan ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Di sebalik setiap potret yang dihasilkan wanita ini, tersimpan 1,001 cerita tentang bangsanya dan warisan yang tidak ternilai.

Jumeleny Maknoh atau lebih dikenali sebagai Leny, 44, bukan sekadar melukis wajah, tetapi membawa emosi, suara dan identiti Orang Asli agar terus dikenali dunia.

Usaha murninya digerakkan sejak 11 tahun lalu dan sepanjang tempoh itu, ratusan karya telah dilahirkan oleh pelukis potret realisme daripada suku Temuan ini.

Setiap satunya memukau pandangan dan jiwa, walaupun hanya menggunakan dua bahan asas iaitu pensel dan pensel warna.

Tidak hairanlah, karya-karyanya berjaya dipamerkan dalam pelbagai acara seni berprestij, termasuk di White Box Publika, Festival Seni Orang Asli Selangor dan Festival George Town.

“Sekali imbas, ramai menyangka karya saya adalah gambar yang ditangkap menggunakan kamera.

“Tetapi apabila diperhatikan setiap garis, bayang, cahaya dan emosi itu dengan teliti barulah mereka sedar ia sebenarnya lukisan realisme,” katanya kepada Seri baru-baru ini.

Jumeleny berkata, projek potret itu pada mulanya tertumpu kepada penduduk kampungnya di Kampung Guntur, Batu Kikir, Negeri Sembilan.

Lama-kelamaan, inisiatif tersebut meluas ke perkampungan dan suku-suku lain di seluruh Malaysia.

Terbaharu, melibatkan Orang Asli suku Seletar di Sungai Temun, Johor dan suku Batek di Kuala Koh, Kelantan.

Sebelum sesi melukis bermula, beliau terlebih dahulu merakamkan gambar wajah penduduk kampung mengikut tema tertentu yang diingini.

Rakaman itu kemudiannya dijadikan panduan dan diolah semula ketika proses lakaran.

“Contohnya, di Kuala Koh, tema saya adalah mengenai perhiasan kepala wanita suku Batek,” kata anak sulung daripada empat beradik ini.

Menurutnya, projek potret Orang Asli itu lahir secara spontan dan tanpa disangka mendapat sambutan hangat daripada masyarakat terutama peminat seni.

Daripada situ, Jumeleny nekad meneruskannya sebagai identiti diri.

Dalam masa sama, beliau dapat memelihara warisan, budaya dan kisah bangsanya untuk tatapan generasi muda serta dunia.

“Dengan cara ini, sekurang-kurangnya saya dapat mendekatkan Orang Asli dengan masyarakat agar komuniti kami lebih dihargai.

“Walaupun dunia semakin moden, hakikatnya kami masih dibelenggu rasa malu, segan dan takut apabila berada di dunia luar,” katanya.

Misinya kini adalah untuk merealisasikan pameran lukisan solo pertamanya pada tahun hadapan yang bertemakan ‘Orang Asli dan perhiasan diri.’

Bakat semula jadi

Minatnya dalam seni lukis disemai sejak kecil apabila sering melihat bapanya berkarya.

Malah, seawal usia enam tahun, pelbagai kemenangan diraih, sekali gus menambahkan keyakinan dan semangat untuk terus mengasah bakat tersebut.

“Saya bukan orang senang dan tidak pernah ke kelas seni semasa kecil, semuanya saya belajar sendiri.

“Sebab itulah medium yang saya gunakan hanyalah pensel, kerana itulah satu-satunya perkakas yang mampu saya miliki tanpa kos mahal,” katanya.

Jumeleny kemudian mengikuti Diploma Sains dan Seni Visual (Pendidikan Seni) di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Raja Melewar.

Selepas tamat pengajian, beliau berkhidmat sebagai guru selama lapan tahun di beberapa sekolah rendah di ibu kota.

Namun, kerjaya itu dilepaskan demi menumpukan sepenuh perhatian kepada minatnya sebagai pelukis.

“Sebagai anak sulung tentunya emak dan ayah kecewa dengan keputusan saya, tetapi saya cuba menyakinkan mereka.

“Saya bersyukur kerana akhirnya dapat membanggakan mereka dengan usaha memelihara tradisi kami melalui seni lukisan,” katanya.

BENGKEL SENI DI KUALA KOH

Antara pengalaman manisnya ialah mengendalikan bengkel seni bersama penduduk Orang Asli suku Batek di Kuala Koh, beberapa tahun lalu.

Bengkel sehari itu bukan hanya disertai kanak-kanak, malah golongan dewasa turut teruja untuk mengambil bahagian.

“Dalam bengkel itu, saya ajar asas melukis dan tidak sangka mereka begitu kreatif.

“Rata-ratanya menghasilkan lukisan bunga kerana motif itu sangat dekat di hati dan alam sekitar.

“Sejak itu, mereka tidak henti-henti melukis dan hobi itu masih diteruskan hingga kini,” katanya.

Istimewanya, anak-anak itu juga sering berkongsi hasil karya dengannya.

Aksesori pokok Jelai

Jumeleny bukan sahaja mahir melukis, malah berbakat dalam menghasilkan aksesori dan perhiasan wanita.

Menariknya, aksesori itu diperbuat daripada pokok jelai, yang banyak terdapat di kampung halamannya.

Ilham itu timbul bagi mengisi masa terluangnya ketika pandemik Covid-19, lima tahun lalu.

“Aksesori daripada pokok jelai ini memang sangat sinonim dengan komuniti Orang Asli.

“Cuma, sebelum ini ia tidak pernah dikomersialkan dan saya terpanggil untuk merintis usaha itu agar masyarakat dapat mengenali aksesori kami,” katanya.

Percubaannya berjaya apabila produk itu mendapat permintaan tinggi dan laris di dalam talian.

Antara aksesori itu ialah rantai, gelang, cincin, subang dan rantai kunci.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×