Terletak di kejiranan tenang Serene Heights, Semenyih, kediaman milik Adnin Nazmi ini menyerlahkan keindahan konsep klasik moden yang abadi.
Menggabungkan gaya moden yang bersih dengan sentuhan klasik yang elegan, setiap ruang di kediaman yang diberi nama Villa Adnin ini memancarkan aura ketenangan, kemas dan eksklusif.
Bekerjasama dengan pasukan pereka dalaman Heaven’s Kitchen, impian wanita berusia 43 tahun ini untuk memiliki rumah yang bukan sekadar indah tetapi juga praktikal akhirnya menjadi kenyataan.
Bagi Adnin, konsep itu dipilih kerana tidak lapuk dek zaman dan mencerminkan keseimbangan antara gaya hidup moden serta keanggunan klasik.
Dengan palet warna neutral seperti putih, beige dan keemasan yang digabungkan bersama kemasan wainscoting, permukaan marmar, pencahayaan lembut dan lampu chandelier, setiap sudut kediaman tampil mewah tanpa berlebihan.
Cerminan klasik daripada perabot berukir halus pula menjadi titik fokus yang menambah karakter pada ruang kediaman ini.
“Saya sukakan gaya yang bersih, tersusun dan elegan, tetapi tetap hangat serta mesra untuk didiami.
“Bagi saya, konsep ini menggambarkan keseimbangan antara gaya hidup moden dan keanggunan klasik yang penuh nilai sentimental,” katanya kepada Seri.
Proses keseluruhan ubah suai mengambil masa kira-kira lima bulan, termasuk pemilihan bahan dan penyediaan perabot.

Hasilnya, sebuah kediaman dua tingkat jenis semi-D Twin Villa dengan keluasan keseluruhan sekitar 3,100 kaki persegi berdiri megah dengan keindahan yang harmoni.
Penambahan ruang dapur seluas 570 kaki persegi direka agar serasi dengan struktur asal tanpa menjejaskan pencahayaan semula jadi.
Bagi Adnin, dapur menjadi ruang paling istimewa di mahligai nan indah ini.
Di sinilah keluarga kecilnya sering berkumpul untuk menjamu selera, berbual dan berkongsi cerita.
“Setiap kali berada di sini, saya teringat kenangan di rumah arwah ibu dan bapa saya di Sabah, di mana kami sekeluarga akan duduk makan di dapur sambil melihat pemandangan sawah padi di luar tingkap, sementara arwah ibu memasak.
“Suasana itu begitu istimewa dan menginspirasi saya dalam rekaan dapur ini. Jadi, ruang ini bukan sekadar tempat memasak, tetapi ruang yang penuh memori, kasih dan rindu yang mendalam,” kongsinya.
Walaupun tampil mewah, Villa Adnin tetap mudah diselenggara. Adnin memilih bahan tahan lasak seperti batu sinter porselin untuk permukaan dapur, cat tahan kotor dan perabot berkemasan tidak berkilat bagi memudahkan rutin pembersihan harian.
“Sebenarnya tidak susah untuk jaga sebab susun atur rumah ini memang saya rancang supaya praktikal dan mudah dijaga.
“Ruang makan terletak di bahagian depan, manakala ruang tamu utama jarang digunakan, jadi ia sentiasa kelihatan kemas dan teratur,” katanya.-UTUSAN










