34 tahun bergelar pejuang kanser payudara

34 tahun bergelar pejuang kanser payudara

KUALA LUMPUR, 1 OKTOBER 2025 - Sesi fotografi bersama bekas pesakit kanser payudara, Salamiah Hassan pada program NIVEA Moment of CARE di Connexion Conference & Event Centre di sini, hari ini. GAMBAR: SYAKIR RADIN / PEMBERITA: SUHANA UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Saya menghidap kanser payudara ketika berusia awal 40-an dan kini saya berusia 74 tahun. Jadi, sudah 34 tahun saya menjadi pejuang kanser,” tuturnya tenang.

Namun, di sebalik ketenangan itu tersembunyi kisah getir yang lama disimpan rapi daripada pengetahuan umum.

Biarpun kini telah pulih sepenuhnya, memori perjuangan melawan penyakit itu tetap terukir kukuh dalam sanubarinya.

Seorang yang amat peribadi, Salamiah Hassan mengakui menyimpan rahsia penyakitnya daripada pengetahuan keluarga sendiri.

“Saya tidak beritahu sesiapa, malah adik-beradik dan anak-anak pun tidak tahu. Saya pendam sahaja kerana tidak sanggup tengok orang risau atau menangis depan saya.

“Saya tidak suka orang kesian. Bila orang menangis depan saya, semangat saya jatuh. Ia buat saya rasa lemah,” katanya kepada Seri.

Dalam diam, pelantun lagu Gelombang ini menjalani rawatan kemoterapi seorang diri semata-mata tidak mahu menyusahkan ahli keluarga yang lain.

Siapa sangka, tubuh genit itu mampu menahan dugaan yang begitu besar sendirian.

Beliau ke hospital sendiri, muntah dan menanggung kesakitan itu sendirian.

Sehinggalah suatu hari anak perempuannya yang juga penyanyi, Atilia Haron menyedari perubahan pada ibunya.

“Dia nampak saya makin kurus dan rambut gugur. Daripada situ dia tahu saya sakit,” kenangnya dengan senyuman nipis.

KETULAN KECIL
Menurut Salamiah, segalanya bermula apabila beliau menyedari kemunculan satu ketulan kecil di bawah ketiak yang perlahan-lahan membesar dari hari ke hari.

“Mula-mula kecil sahaja, tetapi setiap minggu saya rasa ia semakin besar, sampai sebesar bola golf.

“Saya juga demam setiap petang dan daripada situ saya tahu ada sesuatu yang tidak kena,” ceritanya.

Hasil pemeriksaan doktor kemudian mengesahkan ketulan itu adalah kanser.

Sudah tentu, keputusan tersebut membuatkan figura ini terduduk seketika, namun beliau enggan larut dalam kesedihan.

Salamiah memilih berdepan penyakit paling ditakuti kaum wanita itu dengan kekuatan luar biasa.

“Saya cakap pada doktor, kalau perlu buang payudara saya, buatlah. Saya tidak kisah, di luar sana banyak tempurung kelapa boleh ganti,” katanya berseloroh, mengingatkan bagaimana dia cuba memujuk dirinya sendiri agar tidak tenggelam dalam ketakutan.

Tetapi sesampainya di rumah, air matanya tumpah jua.

“Saya menangis dan takut. Tidak sangka benda ini boleh jadi pada diri saya,” ujarnya.

Fasa rawatan bukanlah mudah. Ubat-ubatan, kemoterapi, kesan sampingan, semuanya menguji tubuh dan mentalnya.

Setiap suapan makanan menjadi perjuangan, setiap hari menuntut kesabaran.

Namun di sebalik keperitan itu, ada suara kecil di dalam diri yang tidak pernah berhenti menyuruhnya melawan.

“Macam mana mahu makan kalau mulut penuh melecet?

“Tetapi, saya selalu cakap pada diri sendiri ‘kanser, kau mati! Keluar dari badan aku’,” katanya penuh semangat.

KEKUATAN MENTAL
Kekuatan mental itulah kekuatan sebenar buat penyanyi bersuara ampuh ini.

Baginya, tubuh hanya akan pulih jika minda memilih untuk melawan.

“Minda kita mengawal tubuh kita. Kalau kita kata boleh, kita memang boleh. Walau sakit macam mana pun, jangan kalah,” ujarnya.

Prinsip inilah yang membentuk dirinya hari ini iaitu wanita yang kuat bukan kerana tidak pernah jatuh, tetapi kerana tetap bangkit setiap kali rebah.

Malah, walaupun hanya sempat bersua muka sebentar sahaja baru-baru ini, aura positif jelas terpancar di wajahnya.

Setiap tutur katanya penuh keramahan dan senyuman.
Salamiah yang tampil serba putih dengan tudung rona merah jambu lembut di kempen Nivea Moments of Care bersempena Pink October kelihatan cukup anggun dan berseri.

Itulah julung kalinya beliau akhirnya terbuka untuk berkongsi kisahnya kepada umum.

Bukan untuk simpati, tetapi bagi memberi semangat kepada wanita lain yang sedang berjuang.

Beliau ingin wanita lain tahu diagnosis kanser bukan noktah kehidupan.

“Saya tengok ramai kawan yang sakit, saya cakap pada mereka, kamu boleh lawan. Kalau saya boleh, kamu pun boleh.

“Sekarang saya sudah sihat, sebab itu saya mahu berkongsi pengalaman ini. Saya mahu didik orang lain melawan kanser bukan hanya dengan ubat, tetapi dengan kekuatan minda.

“Wanita jangan sesekali takut menjalani pemeriksaan kesihatan. Jika terasa ada sesuatu yang tidak kena, luangkan masa berjumpa pakar. Lebih awal dikesan, lebih besar peluang untuk sembuh,” katanya yang disahkan menghidap kanser payudara ketika masih di peringkat awal.

Kempen itu kembali untuk tahun kedua dengan komitmen yang lebih besar, meneruskan kerjasama bersama Watsons.

JAGA PEMAKANAN
Salamiah mengakui, selepas melalui pengalaman itu beliau banyak mengubah cara menjaga kesihatan.

Beliau sememangnya menjaga pemakanan sejak usia muda, namun kini pemakanannya lebih berhati-hati dan teliti.

“Saya tidak minum air mineral dalam botol plastik, saya buat santan sendiri dan saya elak makanan berpengawet.

“Saya sentiasa berfikir mencegah lebih baik daripada merawat,” ujarnya.

Rutin hariannya juga sangat sederhana tetapi konsisten untuk mengekalkan stamina dan kesihatan tubuh.

“Setiap pagi saya minum air rebusan barli, halia, lemon dan gula batu. Itu sahaja.

“Kalau orang hulur minuman manis, saya ambil, tetapi saya tidak minum. Tetapi saya juga tahu tubuh perlukan gula untuk tenaga. Cumanya, saya kurangkan.

“Saya juga amalkan satu sudu besar minyak kelapa setiap pagi sebelum sarapan. Ia bagus untuk sendi, buah pinggang dan kurangkan keradangan,” katanya.

Selain menyanyi, beliau aktif menjaga kecergasan melalui aktiviti renang.

“Saya berenang selang sehari, sejam setengah setiap sesi. Berenang seronok, sebab seluruh badan bergerak. Kalau jalan kaki, cepat bosan,” katanya ceria.

Dalam setiap tutur katanya, terselit rasa syukur yang mendalam.

“Saya percaya, semua yang berlaku ada sebab. Mungkin Allah mahu saya belajar sesuatu.

“Saya kehilangan suami sebab kanser, tetapi saya masih di sini. Itu sudah cukup untuk saya bersyukur,” katanya.

Suaminya, Allahyarham Gerald Hughes atau lebih mesra disapa Gerry, menghembuskan nafas terakhir tiga tahun lalu akibat kanser, hanya dua bulan selepas mereka disatukan.

Sebelum itu, Salamiah pernah mendirikan rumah tangga bersama Allahyarham Raja Haron Raja Aziz, namun perkahwinan mereka berakhir pada tahun 1986.

 

KERJAYA SENI
Meskipun melalui ujian yang besar, semangatnya terhadap seni tidak pernah padam.

“Sudah tentu saya masih menyanyi! Saya baru balik dari Kota Kinabalu dan bulan depan pun jadual penuh.

“Sebab saya memang cintakan bidang nyanyian dan saya akan teruskan kerjaya seperti biasa,” kongsinya teruja.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×