Sweetie dan Grey, si parsi lagak diva tetapi penakut

Sweetie dan Grey, si parsi lagak diva tetapi penakut

ida Datu bersama Grey yang manja dan banyak keletah nakal di rumah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Walaupun adik-beradik, namun perangai kedua-dua kucing baka parsi ini seperti langit dengan bumi.

Pemiliknya Ida Datu, 33, berkata, daripada cara makan, bermain, hingga ke cara kedua-dua kucing itu menunjukkan kasih sayang, masing-masing punya personaliti yang berbeza.

Kucing yang berwarna kelabu diberi nama Grey lebih menyerlah dengan sifat gemar makan tidak kira waktu.

“Bekas makanan kucing automatik di rumah menjadi ‘sahabat karib’ kepada si gemuk ini kerana Grey kerap menunggu makanan keluar dengan penuh sabar.

“Ada kalanya, ia akan cuba helah membuka bungkusan makanan kering yang belum dibuka, sehingga berlubang,” katanya kepada Seri.

Tabiat makan berlebihan menjadikan saiz badan Grey lebih besar berbanding kakaknya, Sweety.

Sweetie lebih pasif dan tidak suka menimbulkan masalah.

Selain itu, katanya, Grey terkenal dengan perangai nakal yang suka mencakar kusyen sofa.

Tidak hairanlah jika Sweety sering bertindak seperti kakak yang tegas memarahi adiknya itu, tetapi dipedulikan langsung.

Berbeza dengan Grey yang penuh dengan ragam, Sweety pula memiliki personaliti yang lebih tenang, sopan dan berdisiplin.

Sebagai contoh, ketika waktu mandi, Sweety akan duduk diam seolah-olah memahami rutin itu, tanpa banyak kerenah atau cubaan melarikan diri.

Sikapnya yang tenang ini membuatkan Ida lebih mudah menguruskan Sweety berbanding adiknya, yang sering berbunyi menunjukkan tanda protes.

Namun, kata Ida, sejak pemergian ibunya pada tahun lalu, perubahan pada diri Sweety cukup ketara. Kucing gebu yang dahulunya lebih terbuka untuk bermain kini semakin suka menyendiri.

“Kini, Sweety jarang menyahut ajakan Grey untuk berkejaran di ruang tamu, sebaliknya memilih untuk berehat di satu sudut rumah yang sunyi.

“Matanya yang redup kadang-kadang kelihatan seperti menyimpan seribu satu rasa, seolah-olah masih merindui belaian ibunya,” katanya.

Bagi Ida, perubahan tersebut menambahkan lagi rasa simpati dan kasih terhadap Sweety. Katanya, haiwan juga mempunyai emosi dan kehilangan ibu bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilalui, meskipun bagi seekor kucing.

GELI CICAK, LIPAS

Tidak seperti kebanyakan kucing lain yang gemar memburu cicak atau lipas di rumah, Sweety dan Grey langsung tidak menunjukkan sebarang minat.

Jika ternampak kelibat lipas berlari melintas di lantai, kedua-duanya bukannya menerkam, sebaliknya akan segera melompat ke sofa atau berlari mencari tempat tinggi untuk bersembunyi.

Begitu juga apabila terserempak dengan cicak, kedua-dua si bulus tersebut akan berpaling muka dan menjauhkan diri, seolah-olah geli dengan kewujudan makhluk kecil itu.

Bagi Ida, Sweety dan Grey bukanlah pemburu semula jadi, sebaliknya lebih selesa hidup sebagai si manja bandar yang terbiasa diberi layanan istimewa di dalam rumah.

Malah katanya, apabila membawa kedua-dua kucingnya itu berjalan di luar rumah dan taman, ia bukanlah tugas mudah.

“Kalau bawa berjalan di luar, langkah mereka sering terhenti kerana enggan menyentuh tanah atau rumput. Kedua-duanya akan mengangkat kaki satu persatu dengan gaya penuh hati-hati, seolah-olah tanah tersebut dianggap kotor untuk dipijak.

“Akhirnya, saya tidak mempunyai pilihan lain, selain mendukung kedua-duanya agar perjalanan tidak terhenti di tengah jalan,” katanya.

Namun, kerenah itulah yang menjadi penghibur hati Ida saban hari. Walaupun manja dan diva, namun Sweety dan Grey sangat bermakna baginya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×