Wanita bujang yang meniti usia tua biasanya memiliki harapan hampir sama dengan orang lain.
Di kelilingi orang-orang tersayang, sihat dan berasa dihargai.
Bagaimanpun, mereka sedar perhatian yang dituntut tidak boleh berlebihan kerana tidak mempunyai suami dan anak- anak sendiri .
Kasih sayang diharapkan hanya datang daripada adik-beradik dan anak saudara yang menjadi pengganti.
Namun jauh di sudut hati, mereka tidak mahu menjadi beban dan menyusahkan orang sekeliling.
Minggu ini, saya kongsikan kisah mak cik Maimon (bukan nama sebenar) wanita bujang yang pernah menumpang di rumah adik kandung lelaki, tetapi selepas melalui beberapa konflik, dia memilih untuk tinggal di pusat jagaan orang-orang tua.
Kisah mak cik Maimon dikongsikan oleh salah seorang kakitangan pusat jagaan berkenaan dalam pertemuan bersama saya baru-baru ini.
Memulakan cerita kata Zai (bukan nama sebenar), mak cik Maimon kini berusia 72 tahun dan masih cergas.
Sejak muda, Mak cik Maimon berkhidmat sebagai jururawat di beberapa hospital daerah.
Hidupnya penuh dengan jadual syif yang padat. Tiada ruang masa untuk dirinya sendiri dan jarang bersosial.
Ketika ramai rakan sebaya sibuk bercinta dan membina keluarga, Mak cik Maimon lebih menumpukan perhatian kepada kerjaya.
Keinginan untuk berumahtangga tidak pernah menjadi keutamaan.
Masa berlalu dan tiba waktunya dia bersara. Mak cik Maimon kembali mendiami rumah pusaka seorang diri di kampung.
Selepas beberapa tahun, adiknya Rahman (bukan nama sebenar) memujuknya untuk tinggal bersama.
Walaupun berat, akhirnya mak cik Maimon akur. Pada awalnya, semua berjalan dengan baik.
Anak-anak saudara sangat rapat dengan mak cik Maimon.
Namun tanpa disedari, adik iparnya, Salwa (bukan nama sebenar) tidak begitu menerima kehadirannya.
Hal-hal kecil menjadi punca pertengkaran. Salwa mula berasa terganggu.
Bagi Salwa, kehadiran mak cik Maimon menambah beban. Pelbagai cara dilakukan bagi memastikan mak cik Maimon tidak terus tinggal bersama mereka.
Setiap hari Salwa menunjukkan ketidakpuasan hati dalam pelbagai cara. Sindiran, ekspresi wajah tidak puas hati terutama apabila mak cik Maimon membantunya di dapur dan rungutan di depan anak-anak.
Menurut cerita mak cik Maimon kepada Zai, adik iparnya turut mencanang cerita kepada jiran tetangga tentang ketidakselesaan keluarga kerana kehadirannya.
Sejak itu mak cik Maimon mula faham dia tidak benar-benar diterima oleh keluarga adiknya.
Tetapi dalam masa sama, dia tidak tahu hendak ke mana.
Konflik berterusan. Di satu sisi, ada kasih sayang adik lelaki yang prihatin dan tidak mahu berpisah dengan kakaknya.
Di sisi lain ada seorang isteri yang berasa ruang keluarganya telah diceroboh.
Di tengah-tengahnya, mak cik Maimon seorang wanita tua yang mencari sedikit ruang menumpang kasih.
Sehinggalah pada suatu malam, berlaku pertengkaran kecil antara adik mak cik Maimon dan isteri melibatkan dirinya.
Adik lelaki mak cik Maimon mengambil sikap bertenang. Hari-hari berlalu, namun suasana rumah adik lelaki mak cik Maimon semakin dingin dan tegang.
Mak Cik Maimon hanya dilayan baik oleh adik ipar di depan suami.
Rasa tidak senang itu makin jelas. Selepas berfikir panjang, wanita itu membuat keputusan dengan hati yang berat untuk keluar daripada rumah adiknya itu.
Dia sedar dirinya menjadi punca rumah tangga adik lelakinya tidak harmoni selama ini.
Keesokan harinya, mak cik Maimon dengan berat hati memberitahu adiknya tentang keputusan untuk berpindah ke rumah orang-orang tua.
Adik lelaki mak cik Maimon cuba menahan, namun dia tetap dengan keputusan.
Mak cik Maimon mahu berdikari, Dia tidak mahu lagi menjadi beban kepada keluarga adiknya.
Dengan wang pencennya, mak cik Maimon membayar sendiri yuran tempat tinggal dan makan minumnya.
Kurang dua minggu selepas berpindah tinggal di pusat jagaan orang tua, mak cik Maimon sudah dapat menyesuaikan diri.
Pengalaman bertugas sebagai jururawat memberi kelebihan kepadanya.
“Mak cik Maimon bukan sahaja disenangi penghuni, tetapi juga kakitangan di sini. Dia juga banyak membantu rakan-rakan sebaya yang ada masalah kesihatan di sini.
“Walaupun jauh dari keluarga, dia tidak pernah sunyi dan sentiasa ceria,” ujar Zai.
Kisah mak cik Maimon memberi banyak pengajaran kepada kita semua.
Walau pun meniti usia tua, mak cik Maimon memilih untuk berdikari dan menjaga maruah diri.
Pilihannya untuk meninggalkan rumah keluarga adik lelakinya dan menetap di pusat jagaan itu ternyata memberi ketenangan yang selama ini dicari.
Tambah Zai, walaupun pernah menumpang di rumah adik lelakinya dan menyebabkan ketegangan dalam keluarga mereka, mak cik Maimon tidak pernah menyalahkan sesiapa.
Adiknya telah menjalankan tanggungjawab sebagai saudara lelaki dengan sebaik-baiknya.
Mak cik Maimon memahami adiknya berhak hidup bahagia dengan keluarga sendiri tanpa kehadirannya.
Tambah Zai, rasa rindu mak cik Maimon terubat setiap kali adik lelaki dan anak-anak saudara menziarahinya.
Biasanya mereka berkunjung sebulan sekali.
Sesungguhnya Islam menekan tentang tanggungjawab menjaga saudara perempuan.
Terdapat hadis dan al Quran yang menekankan pentingnya menjaga hubungan keluarga dan memberikan perlindungan dan bimbingan.
Sebagaimana sabda Rasullullah SAW yang bermaksud: “Tidak termasuk golonganku orang yang tidak menghormati orang yang lebih tua dan tidak menyayangi orang muda,’’(HR Iman Ahmad dan Ath-Thabrani).-UTUSAN









