Melihat kediaman yang satu ini saya dapat bayangkan ia adalah refleksi cita rasa pemiliknya yang mengutamakan kesederhanaan, ketenangan dan keindahan dalam bentuk tidak berlebihan.
Nurul Farhana Omar memilih konsep rumah ladang minimalis yang digabungkan dengan elemen Muji untuk mewarnai ruang kediamannya.
Berpegang kepada prinsip less is more, wanita berusia 39 tahun ini dan suami sepakat menampilkan gaya hiasan ringkas, lapang dan tidak sarat dengan dekorasi membebankan mata.
“Konsep yang dipilih sesuai dengan cita rasa kami yang sukakan hiasan ringkas dan tidak serabut.
“Bagi menampilkan konsep rumah ladang, kami buat sedikit dekorasi ringkas pada dinding di ruang makan iaitu batten board hasil DIY sendiri,” katanya kepada Seri.

Rumah teres tiga tingkat ini berkeluasan sekitar 3,000 kaki persegi dan mula didiami pada 2023.
Sejak itu, pasangan ini perlahan-lahan menyiapkan dekorasi dalaman secara berperingkat tanpa menggunakan khidmat pereka dalaman.
Segalanya dilakukan sendiri, daripada perancangan sehingga ke pemilihan perabot dan susun atur ruang, berbekalkan rujukan dari Pinterest serta akaun-akaun media sosial berkaitan dekorasi kediaman.
Kombinasi warna dan material yang digunakan banyak berasaskan rona tanah seperti coklat kayu, krim, beige dan putih lembut.
Tekstur rotan yang digunakan pada perabot seperti kerusi dan kabinet memberikan elemen semula jadi selesa dan down to earth, manakala kehadiran panel kayu fluted di ruang tamu menyuntik ciri estetik ala Muji yang terkenal dengan kelembutan dan kehangatan gaya Jepun moden.
Setiap pemilihan dibuat dengan teliti agar ruang tidak kelihatan terlalu sarat, tetapi masih berkarakter dan menyenangkan.
Walaupun dekorasi dalaman kediaman ini masih dalam proses, setiap ruang dirancang dengan teliti mengikut cita rasa dan keperluan.

VARIASI DEKORASI
Menambahkan sedikit variasi, ruang foyer dan halaman belakang dipilih dengan tema berbeza.
Di sini, Nurul Farhana memilih gaya monokrom iaitu hitam dan putih yang lebih moden serta kemas, memberikan sedikit kontras menyegarkan daripada tema utama rumah.
Walaupun berbeza daripada segi palet warna, elemen ini tetap menyatu dengan keseluruhan konsep kerana pemilihan perabot dan kemasan masih selaras dari segi reka bentuk dan material.
Tambah pegawai pelaburan di syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLC) ini, kelebihan utama gaya adalah dari segi praktikaliti.
Dekorasi yang ringkas tetapi kemas memudahkan penyelenggaraan harian dan tidak mudah kelihatan berselerak.
Tambahan pula, kebanyakan barangan hiasan sesuai dengan konsep mudah didapati, menjadikan proses menghias rumah lebih menyeronokkan.










