Cungkil bakat anak autisme demi masa depan

Cungkil bakat anak autisme demi masa depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dalam dunia yang penuh cabaran bagi ibu bapa anak istimewa, Irin Putri Azmi menemui sinar di sebalik ujian.

Beliau membuktikan dengan kasih sayang, kesabaran dan usaha, keistimewaan seorang anak boleh ditukar menjadi kekuatan luar biasa.

Siapa sangka, daripada kesedihan seorang ibu yang menerima berita anaknya didiagnosis dengan autisme, kini beliau menjadi inspirasi ramai kerana berjaya mencungkil potensi besar dalam diri anak sulungnya, Raees Aryan Ezmir, 16, sebagai pemuzik muda berbakat.

Segalanya bermula apabila Irin Putri menyedari yang anaknya tidak menunjukkan perkembangan komunikasi sepatutnya.

Beliau segera berjumpa pakar, menjalani saringan dan akhirnya menerima diagnosis anak sulungnya itu menghidap autisme.

“Bila doktor sahkan, saya tidak menangis sebab sudah bersedia dari segi mental. Sebelum itu, saya banyak membaca, mencari jawapan mengapa anak masih belum bercakap di usia dua tahun.

“Hasil pencarian menunjukkan pelbagai tanda berkaitan autisme antaranya, tidak memberi respon apabila dipanggil, tiada kontak mata dan beberapa tingkah laku lain yang menjadi petunjuk awal.

“Semua petanda itu seolah-olah mengesahkan apa yang sudah bermain di fikiran iaitu anak saya mungkin berada dalam spektrum autisme,” jelasnya penerbit eksekutif di Media Prima dan pencipta kandungan ini.

PEKA MINAT ANAK
Di sebalik cabaran yang dilalui, Irin Putri menyedari satu perkara unik tentang Raees Aryan iaitu minat luar biasanya terhadap muzik.

Seawal empat tahun, anak sudah mula bermain papan nada mainan dan boleh memainkan lagu-lagu yang didengarnya hanya menggunakan satu jari.

Daripada sekadar bermain-main, Irin Putri melihat ini sebagai satu tanda kebolehan istimewa yang perlu diasah.

”Saya nampak potensi dan kecenderungan semula jadinya dan mula memberi fokus pada bahagian itu.

“Saya percaya mungkin itulah keistimewaan dirinya. Saya pun mengambil keputusan untuk naik taraf alat muziknya, daripada piano mainan kepada papan nada mirip alat muzik sebenar.

“Papan nada itu lebih canggih, ada irama latar, pelbagai jenis bunyi dan kesan audio yang boleh diteroka.

“Walaupun mudah alih, tetapi cukup untuk membuka ruang kreativiti dan membuatnya teruja menikmati setiap momen bersama muzik,” kongsinya.

Menyedari keperluan pembelajaran khas bagi anak autisme, wanita berusia 43 tahun ini tidak memilih jalan mudah.

Beliau gigih mencari guru muzik yang memahami cara pembelajaran anak istimewa.

Usaha beliau membuahkan hasil apabila bertemu dengan tenaga pengajar berpengalaman melatih pelajar autisme bermain piano dengan pendekatan berbeza.

Irin Putri percaya, terapi melalui muzik bukan sahaja mencungkil potensi Raees Aryan, tetapi juga membantu dari segi emosi dan keyakinan diri.

Latihan demi latihan yang dijalani akhirnya membawa anaknya melangkah ke pentas.

Walaupun mempunyai cabaran dalam komunikasi, namun di atas pentas, dia benar-benar ‘hidup’.

Sehingga kini, puteranya telah membuat persembahan di pelbagai acara termasuk di universiti, konsert khas, malah yang dihadiri kerabat diraja.

“Dia suka bila orang tepuk dan menyanyi bersama, seolah-olah terapi untuknya,” jelasnya.

Satu pengalaman mengharukan berlaku apabila Raees Aryan menangis di belakang pentas kerana tidak suka suasana gelap.

Namun sebaik berada di depan piano, dia tetap meneruskan persembahan dengan penuh dedikasi.

Semuanya hasil kesabaran dan kecekalan ibunya yang tidak henti-henti memberikan semangat untuknya terus melakar kejayaan.

 

PENGORBANAN TANPA HENTI
Membesarkan anak istimewa bukan tugas mudah, wanita asal Kuala Lumpur ini mengakui kos termasuk terapi dan kelas muzik, menelan belanja lebih RM1,000 sebulan.

“Sejujurnya, saya tidak kejar akademik. Saya cuma mahu dia bersosial, gembira dan tahu kekuatan diri.

“Selagi saya tahu dia pergi ke sekolah, dia boleh berinteraksi dengan budak-budak lain, itu sudah cukup baik. Kalau tidak, dia hanya akan terperap di rumah sahaja,” katanya.

Irin Putri turut menggunakan platform media sosial untuk menjana pendapatan tambahan sebagai pencipta kandungan di samping sebagai saluran advokasi kesedaran autisme.
Salah satu videonya yang memaparkan sambutan hari jadi Raees Aryan pernah tular dan menyentuh hati ramai.

Ramai yang terharu melihat anak keduanya, Razeen yang begitu memahami keadaan abangnya yang istimewa.

Situasi itu jua menuai pujian terhadapnya yang dilihat berjaya membesarkan anak-anak dengan baik walaupun bersulam ujian.

“Sejak Razeen kecil, saya sudah ajar yang abangnya istimewa. Abangnya tidak sama macam abang kawan-kawan lain.

“Jadi, dia faham kalau bercakap dengan abang, tidak semestinya akan dibalas.
“Saya pun selalu ingatkan nya agar berbuat baik dengan abang sebab abangnya istimewa dan boleh ‘terus masuk syurga’.

“Sampai sekarang, dia masih ingat pesan itu dan bila makin besar, dia jadi lebih faham dan sabar dengan abangnya,” katanya.

 

IRAMA HARAPAN BUAT ANAK SYURGA
Raees Aryan tidak lagi asing dalam dunia muzik dengan jemputan persembahan yang bersilih ganti.

Sedikit sebanyak, ia menjana pendapatan buatnya.

Namun, bukan wang yang menjadi ukuran dan soal utama.

Sebaliknya, Irin Putri berharap minat itu mampu membawa anaknya melakar kejayaan lebih besar lagi demi masa hadapan yang cerah.

“Sudah tentu saya mahu dia berdikari dan ada sumber pendapatan sendiri.

“Dari segi muzik, memang ada sedikit pendapatan sampingan, tetapi tidak banyak.

“Raees Aryan sudah mula terlibat buat kandungan di media sosial, dia yang jadi ‘bintang’. Kadang-kadang orang lebih kenalnya daripada saya.
“Apa yang saya buat sekarang ni adalah untuk membina asasnya dalam muzik. Ini semua sebahagian daripada rancangan besar untuk masa depannya,” katanya.

Kata Irin Putri, melalui perkongsian di media sosial masyarakat lebih mengenali budak autisme.

Bukan sekadar kenal, tetapi juga faham keadaan autisme dan kenapa anak-anak istimewa itu buat sesuatu perkara dengan cara tertentu.

SOKONGAN KELUARGA
Anak bongsu daripada tiga beradik ini juga bersyukur kerana dikelilingi keluarga yang sangat membantu saat diperlukan.

Malah, keluarga sentiasa menjadi penguat semangatnya dalam mengubah kesedihan menjadi sesuatu yang berharga.

“Apabila bekerja, sudah tentu saya tidak dapat meluangkan sepenuh masa dengan anak, tetapi alhamdulillah, saya tinggal bersama keluarga dan mereka banyak membantu.

“Selain itu, saya ada seorang kawan rapat dan anaknya juga mengalami autisme.

“Kawan saya pun ada buat perkongsian, dia tulis blog dan kongsi pengalaman. Daripada situ, saya belajar banyak perkara dan yang paling penting, saya tidak rasa keseorangan.

“Saya tahu ada orang lain yang melalui perkara sama dan itu sangat membantu dari segi emosi dan kefahaman saya sebagai ibu,” katanya mengakhiri bicara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN