Bantu rakan senasib bebas daripada kepompong dadah

Bantu rakan senasib bebas daripada kepompong dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pertemuan dengan wanita ini di Chow Kit benar-benar membuka mata betapa warna kehidupan berbeza bagi setiap insan.

Pemilik nama Wan Kamariah Daud, 71, ini memiliki jalan hidup yang cukup tragis.

Seawal usia 11 tahun, anak jati Kelantan ini nekad mengikut seorang lelaki yang dibuang daerah merantau ke Kuala Lumpur semata-mata ingin lari daripada keluarga angkat yang sering menderanya.

Setahun kemudian, beliau berkahwin dengan lelaki itu yang rupa-rupanya adalah pengedar dadah.

Usia yang masih mentah itu tidak memberinya peluang untuk mengenal erti remaja seperti insan lain.

Kehidupan berumah tangga hanya bertahan beberapa bulan sahaja apabila suaminya ditangkap dan dihukum gantung kerana kesalahan dadah.

Saat itu, Mak Wan baru berusia 13 tahun. Masih terlalu muda untuk mengharungi kehidupan sendirian di bandar besar tanpa keluarga dan arah tuju.

Kesunyian, kehilangan tempat bergantung serta pengaruh sekeliling akhirnya membawanya ke kancah dadah.

“Selepas suami tiada, ‘bos’ dia datang cari saya untuk jual dadah. Ketika itu saya budak lagi, jadi polis tidak syak apa-apa.

“Saya ke hulu ke hilir bawa dadah sampailah jadi penagih. Ada terfikir, aku mati jadi bangkai di tepi jalan pun orang tidak kisah.

“Beberapa kali saya cuba bunuh diri, terjun sungai dan telan macam-macam, tetapi umur masih panjang. Rupa-rupanya Allah ada perancangan lain untuk saya,” ujarnya sebak.

 

JUMPA JALAN PULANG
Ketagihan itu meragut segalanya. Mak Wan keluar masuk penjara dan pusat serenti berkali-kali.

Peluang untuk berubah datang apabila ditempatkan di Pusat Serenti Bachok, Kelantan.

Di situlah beliau tinggal selama 10 tahun, tempoh yang cukup panjang untuknya menilai kembali makna kehidupan.

Beliau terfikir bagaimana pengakhiran hidupnya jika masih dibelenggu dadah, apatah lagi sebatang kara.

Lalu, terbit rasa insaf di sudut hatinya dan kepulihan yang dicapai ketika itu benar-benar menguatkan perasaannya untuk meninggalkan dunia lama.

“Pegawai pusat selalu pesan, kepulihan sebenar bukan dalam pagar pusat ini tetapi bila kita berada di dunia luar. Kalau mampu bertahan di luar, barulah kita benar-benar pulih,” katanya.

Menyahut cabaran itu, Mak Wan mengambil langkah berani kembali ke Kuala Lumpur.

Walaupun sukar, beliau belajar mengawal emosi, menolak godaan dan yang paling penting, menyerahkan diri sepenuhnya kepada Allah.

Solat menjadi pegangan utama, doa menjadi kekuatan dan kejujuran diri menjadi prinsip untuk bebas daripada cengkaman dadah buat selama-lamanya.

Namun, keluar daripada pusat serenti bukanlah mudah. Mak Wan tiada pekerjaan, tempat tinggal dan keluarga.

Mujurlah ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang tampil memberi peluang.

Beliau ditawarkan bekerja dengan Majlis Aids Malaysia (MAC), sebuah badan yang menjalankan kerja-kerja outreach di bawah naungan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Kementerian Kesihatan.

Tugasnya, menghantar kondom kepada pekerja seks, menukar jarum suntikan untuk penagih, malah turun naik lorong-lorong gelap mencari rakan senasib bagi mengurangkan penularan HIV dan AIDS.

“Dulu saya penagih, jadi saya tahu tempat mereka, saya tahu bahasa mereka. Saya bawa jarum baharu, tukar dengan yang lama, ajar mereka cara guna dengan selamat. Tujuannya satu, untuk elak jangkitan merebak,” jelasnya.

Kerja itu penuh risiko, tetapi di situlah Mak Wan mula menemui makna hidup.

Beliau sedar, inilah jalan kebajikan yang pernah disarankan pegawai pusat serenti dahulu.

Dengan kerja ini, beliau bukan sahaja membantu orang lain, tetapi juga menguatkan dirinya untuk terus bebas daripada dadah.

 

WARUNG MAKAN SAHABAT
Seiring masa, Mak Wan mula melakukan kerja amal sendiri.

Berbekalkan duit hasil titik peluhnya bekerja dengan NGO dan jualan kuih, beliau mula memasak secara percuma untuk diberikan kepada penghuni lorong.

Menggunakan basikal miliknya, beliau membawa nasi yang dibungkus bersama sayur dan sedikit buah-buahan.

Namun, bak kata pepapah, kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.

Sekali manusia tersalah langkah, kejahatan itu akan sentiasa diingati, biarpun kebaikan datang selepasnya.

“Ketika beri nasi percuma, ada yang tuduh saya mengedar semula dadah di lorong. Ada juga yang ludah muka saya bila tanya sudah makan atau belum.

“Basikal pun kena khianat sampai saya jatuh tergolek sebab tayar tercabut. Sedangkan, ketika itu hendak ke pasar membeli bahan masakan untuk orang-orang di lorong.

“Tetapi, saya sabar sahaja. Tidak mahu bergaduh dengan orang. Hanya fikir hendak kembali kepada Allah dengan membawa kebaikan. Tidak mahu tambah dosa,” katanya.

Awalnya sekadar memasak di rumah, lama-kelamaan, semakin ramai yang tahu dan datang membantu.

Ketika pandemik Covid-19 melanda pada 2020, usaha kecil itu berkembang menjadi Warung Makan Sahabat.

Bermula di Plaza GM, akhirnya berpindah ke sebuah bangunan lama yang kosong selama 10 tahun.

“Semasa buat kerja kebajikan, saya kenal dengan ustaz MK Azman.

“Suatu hari, ustaz suruh saya tanya rakan-rakan apa yang mereka mahukan dalam hidup. Ramai yang suarakan mereka jahil ilmu agama.

“Daripada situ, ustaz cadangkan cari satu tempat untuk buat kelas mengaji dan solat,” katanya.

Di situlah lahir sebuah pusat komuniti yang bukan sahaja memberi makanan percuma, tetapi juga ruang mengaji dan solat.

Pada awalnya, Mak Wan sendiri yang menguruskan segalanya, namun, kerana faktor usia, kini Warung Makan Sahabat diselia oleh Yayasan Amal Malaysia di bawah kendalian ustaz MK Azman.

Bagaimanapun, Mak Wan masih setia di situ, menjadi saksi kerja kebajikan yang bukan sahaja mengubah hidupnya, malah orang lain.

MERDEKA DARIPADA DADAH
Bila ditanya apa makna merdeka bagi dirinya, jawapan Mak Wan cukup menyentuh hati.

“Merdeka bukan sekadar kibarkan Jalur Gemilang tetapi bila kita bebas daripada dijajah emosi.

“Bebas daripada dendam, marah, rendah diri dan paling penting, dadah. Merdeka itu apabila kita tidak perlu takut pada polis, gangster dan sesiapa pun. Yang kita takut hanya Allah. Itu baru merdeka,” katanya.

Mak Wan tidak mahu generasi muda mengulangi kesilapannya.

“Jangan percaya dadah boleh bagi tenaga. Itu semua tipu. Sekarang lagi bahaya sebab ada dadah sintetik, macam gula-gula. Bahayanya bukan main. Jangan cuba-cuba dekati,” pesannya.

Impiannya kini sederhana sahaja. Jika ada rezeki, beliau mahu menunaikan umrah dan membuka perniagaan kecil-kecilan membuat kuih sejuk beku bersama rakan-rakan supaya mereka ada pendapatan.

Paling utama, beliau mahu Warung Makan Sahabat terus kekal walaupun dirinya tiada lagi.

“Hidup ini bukan untuk benda lain. Hanya untuk kembali kepada Allah. Itu sahaja jalan merdeka yang sebenar,” ujarnya menutup bicara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×