Bayangkan sesuatu yang nampak biasa boleh jadi luar biasa.
Ambuyat, makanan tradisional masyarakat Sabah yang lembut, likat dan beralun itu tiba-tiba melangkah keluar dari mangkuk dan masuk ke dunia fesyen.
Inilah keberanian seorang pereka muda dan graduan program Sarjana Muda Reka Bentuk Fesyen (Kepujian) dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Nur Aishatul Aina Nor Azizol, yang menamakan koleksi tahun akhirnya Ambuyat in Motion.
Ia bukan sekadar pakaian, tetapi eksperimen berani yang membuatkan kita melihat budaya dengan cara baharu.
Segar, moden dan penuh gaya.
Koleksi ini tampil menawan menerusi cara Aishatul Aina menterjemah gerakan ambuyat ke dalam bentuk tekstil.
Lapisan demi lapisan, draping yang mengalir dengan lipatan yang bijak. Semuanya mencipta siluet yang terasa hidup di tubuh pemakai. Material off-white soft organdy memberi kesan lut cahaya, ringan dan romantik.
Manakala, material Monica duchess memberi struktur yang tegas dan stabil. Apabila kedua-duanya bersatu, lahirlah satu keseimbangan indah antara kelembutan dan kekuatan, sama seperti wanita yang tahu bila untuk berlembut dan bila untuk berdiri teguh.
Lebih menarik, Ambuyat in Motion digarap sebagai high street fashion.
Bukan sesuatu yang hanya boleh dilihat di pentas mewah, tetapi pakaian yang boleh dibawa ke jalanan Kuala Lumpur, brunch hujung minggu bersama rakan atau acara seni kontemporari. Ia membuktikan fesyen yang mengangkat budaya tempatan tidak perlu nampak kaku atau museum piece.
Koleksi ini memberi gaya kontemporari, segar dan dekat di hati wanita moden.
Putih sering dianggap susah untuk digayakan, tetapi koleksi ini membuktikan ia boleh disesuaikan dengan bentuk badan.
Untuk dirimu yang petite, pilihlah potongan lurus dengan draping minimal dan tambah kasut tumit tinggi nude supaya kaki nampak lebih panjang.
Jika berbadan curvy, pilihlah rekaan yang menekankan bahagian pinggang dengan struktur duchess dan seimbangkan dengan tali pinggang atau aksesori menyerlah. Bagi tubuh athletic atau lurus, manfaatkan lipatan dan volume di bahu atau skirt agar lebih feminin. Manakala, wanita bersaiz besar sebaiknya memilih siluet A-line atau layering flowy daripada organdy agar tampak kemas dan elegan tanpa kaku.
Bagi saya, busana putih bukan musuh tetapi kanvas paling chic untuk menyerlahkan keyakinan dan keunikan setiap wanita.
Jika Aishatul Aina boleh mengangkat makanan tradisi menjadi inspirasi gaya, kenapa kita masih terikat dengan formula lama? Cubalah untuk lapisi kain lembut dengan potongan berstruktur.
Beranikan diri bermain dengan putih lembut walaupun kita selalu khuatir ia cepat kotor atau mungkin kelihatan canggung. Dengan siluet yang betul, putih boleh menjadi lambang keyakinan paling anggun.
Ambuyat in Motion membisikkan satu mesej jelas. Fesyen bukan sekadar trend bermusim atau gaya TikTok.
Ia medium untuk bercerita, untuk meraikan budaya dan untuk mengangkat siapa kita sebenarnya.
Daripada semangkuk ambuyat yang likat lahirnya naratif fesyen yang meluncur ke pentas global.
Mungkin inilah definisi gaya yang paling chic untuk 2025. Tidak perlu terbang ke Paris atau Milan untuk menjadi bergaya, kerana kadang-kadang, inspirasi paling bergaya datang daripada semangkuk ambuyat di Sabah.-UTUSAN










