Nurul Ezzati santuni warga emas yang kesunyian

Nurul Ezzati santuni warga emas yang kesunyian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMAN menyediakan perkhidmatan menemani warga emas menjalani rutin harian seperti ke hospital, pasar atau sekadar berbual santai.

Pengasasnya, Nurul Ezzati Mohamed Nasir bermula dengan program inkubator Petronas pada 2020 yang bertujuan mengatasi pengangguran belia melalui perusahaan sosial dalam bidang bakeri bersama ibu tunggal.

Namun, usaha ini terhenti akibat pandemik Covid-19. Ketika itu, beliau melihat warga emas terpinggir kerana tidak dapat dikunjungi, manakala ramai kehilangan pekerjaan dan mula bekerja sebagai penghantar makanan.

Justeru, Nurul Ezzati dan kumpulannya menggabungkan idea penjagaan warga emas dan pada masa sama menyediakan peluang pekerjaan sebagai TEMANION dengan menubuhkan TEMAN.

“Projek pertama kami adalah membantu warga emas yang tinggal sendirian untuk mendapatkan vaksin. Ketika pandemik, warga emas adalah golongan pertama dapat vaksin, tetapi ketika itu, keluarga tidak boleh pulang untuk membawa mereka.

“Kemudian, perkhidmatan kami diciap oleh seorang pempengaruh yang mahukan khidmat TEMAN di Ipoh. Ciapan itu melonjakkan nama kami, jadi ramai yang menawarkan diri untuk menjadi TEMANION. Sejak itu khidmat kami mula berada di seluruh Semenanjung Malaysia, “ katanya.

Katanya, kebanyakan wanita lebih berminat untuk turut serta sebagai peneman berbanding lelaki.

Namun, hanya yang berpengalaman dalam penjagaan warga emas sahaja diambil. Setakat ini terdapat lebih 300 TEMANION di seluruh Semenanjung.

Kebanyakannya dalam kalangan wanita yang berhenti kerja untuk menjaga anak dan pernah menjaga ibu bapa masing-masing. Jadi, mereka sudah ada kemahiran dan mampu menambah pendapatan dengan menerima bayaran setiap minggu antara RM300 hingga RM600 seminggu.

“Kalau aktif, mereka boleh mendapat pendapatan sehingga RM900 seminggu. Berapa yang pelanggan bayar, ada bahagian untuk TEMANION dan kami. Bayaran hanya RM100 untuk sekali perkhidmatan.

“Kami semakin dikenali apabila kami ke udara di radio sehingga merentas ke luar negara apabila ramai pendengar di dalam dan luar negara mahu menaja warga emas daripada golongan B40 untuk mendapatkan khidmat TEMANION bagi mendapatkan vaksin ketika itu, “ katanya.

TEMANION membawa warga emas ke destinasi yang diinginkan.

PELANGGAN IZIN TIDAK MASUK RUMAH

Tugas TEMANION bukan sekadar menemani warga emas tetapi berbual kerana warga emas biasanya suka berbual dan bercerita kisah-kisah lama.

“Kebanyakan pelanggan mahu mendapatkan khidmat untuk membawa warga emas ke hospital. Sebagai peneman, mereka akan mendengar apa yang doktor cakap mengenai kesihatan pelanggan termasuk cara makan ubat. Bagaimanapun, mereka tidak menjaga warga emas yang terlantar sebab kita tahu itu tugas jururawat.

“Sebenarnya, TEMANION ini hanya untuk menemani pelanggan secara santai, pergi membeli-belah, pergi makan bersama mereka, menemani mereka di rumah atau keluar bersiar-siar. Perkhidmatan disediakan setiap hari dan TEMANION bekerja secara sambilan. Ada juga yang menjaga pelanggan di sebelah malam saja, “katanya.

Bergelar TEMANION memerlukan kesabaran yang tinggi kerana menjaga kanak-kanak dan warga emas tidak sama. Orang tua lebih sensitif dan mudah merajuk. Justeru, kemahiran penting tetapi kesabaran juga sangat diutamakan.

Nurul Ezzati berkata, dia pernah menemani seorang wanita Cina berusia lebih 80 tahun yang anak-anaknya semua tinggal di luar negara. Rumahnya penuh dengan kamera litar tertutup (CCTV) bagi membolehkan anak-anak dapat memantau pergerakan ibu mereka.

“Cucu wanita itu menghubungi kami untuk menemani neneknya itu berjalan-jalan di sebelah petang. Sambil berjalan, kami berbual. Dia suka tunjuk gambar cucunya. Jiran-jirannya bertanya mengenai saya dan mereka juga mahu mendapatkan perkhidmatan TEMAN.

“Tidak dinafikan, ada pelanggan yang garang sebab dia tidak kenal siapa yang datang. Ini kerana yang hendakkan perkhidmatan itu, anaknya. Akibatnya, TEMANION tidak dibenarkan masuk sebaliknya terpaksa duduk di luar rumah saja dan menyapu daun, “ katanya.

Ada juga pelanggan yang nyanyuk dan perlu dihadapi dengan sabar.

Lebih menyedihkan, ada yang meninggal dunia ketika di bawah penjagaan.

Bagaimanapun, anak-anak pelanggan terbabit bersyukur kerana sekurang-kurangnya ibu atau bapa mereka tidak sendirian di saat-saat akhir.

“Paling mencabar apabila menemani seorang pakcik yang menghidap skizofrenia iaitu sejenis penyakit mental serius. Pakcik itu tinggal dengan kakaknya kerana anak-anak tidak mahu menjaganya.

“Aktiviti dijalankan seperti melukis dan mewarna untuk mengisi masa mereka. Ada masa pelanggan baik-baik sahaja. Kami puas kerana pakcik itu gembira dan anggap peneman sebagai kawan baik. Orang lain takut hendak berkawan dengan dia, “ katanya.

Pengalaman melihat ayahnya sendiri mengalami dementia peringkat awal pada usia 65 tahun akibat strok minor yang dialaminya, cukup menginsafkan. Beliau nampak beban dan kepayahan ibunya yang menjaga ayahnya itu.

PESAN IBU, BAPA

Ibu dan bapanya amat menitikberatkan pendidikan untuk enam adik-beradiknya dan memastikan semua anak-anak mendapat peluang pendidikan yang terbaik sesuai dengan kemampuan masing-masing.

“Kami juga diberikan kebebasan untuk memilih bidang apa yang ingin kami ceburi. Berkat usaha mereka, dua daripada adik-beradik kami adalah pemegang ijazah sarjana dan empat yang lain mempunyai ijazah sarjana muda dalam pelbagai bidang.

“Mereka juga memastikan kami tidak meninggalkan solat walau dalam apa jua keadaan. Ayat ayah yang paling saya ingat adalah, “tidak guna hidup kalau tidak solat”. Pedih tetapi betul. Ibu saya pula sering mengingatkan kami untuk sentiasa berbuat baik pada orang lain. “Biar orang buat kita, jangan kita buat orang.” Pada dasarnya, kita di dunia hanya untuk mencari reda Tuhan, bukan manusia,” ujarnya.

Katanya, tidak dinafikan terdapat anak yang tidak mahu menunaikan tanggungjawab pada ibu bapa. Namun Nurul Ezzati percaya lebih ramai yang sebenarnya tidak mampu menunaikan tanggungjawab mereka disebabkan oleh pelbagai kekangan.

Misalnya, kekangan masa, kewangan, jarak kediaman dan banyak lagi. Bukan semua orang mampu mengajak ibu bapa tinggal bersama. Terdapat juga ibu bapa yang enggan tinggal di rumah anak-anak kerana lebih selesa menua di rumah sendiri.

“Dalam menyantuni orang tua atau anak yang tinggal bersama ibu bapa, anda perlu sentiasa meletakkan diri anda di tempat mereka. Di saat mereka sudah tidak mampu melakukan sebarang aktiviti dengan sendiri, mereka sudah pasti sudah kecewa dengan diri mereka.

“Jadi, tidak adil untuk kita memarahi atau menggesa mereka untuk melakukan perkara yang mereka tidak dapat lakukan. Kenanglah semua perkara yang mereka buat dan kesabaran mereka semasa membesarkan kita waktu kecil dahulu. Selagi Tuhan memberi masa untuk kita berbakti pada mereka, hargai peluang yang ada,” katanya.

Wanita ini mengakui puas dapat berbakti kepada masyarakat melalui perniagaan yang dijalankan. Walaupun berkelulusan dalam bidang pemakanan atau dietetik, wanita ini tidak pernah kesal kerana berada dalam bidang kerjaya berbeza.

“Bidang yang saya pelajari ada sedikit sebanyak berkaitan dengan pemakanan warga emas. Jadi, ilmu yang ada ini membantu saya untuk memberikan nasihat kepada TEMANION mengenai diet berkhasiat untuk pelanggan.

“Suami memberikan dorongan dan ibu bapa juga memahami minat saya memilih kerjaya yang disukai. Saya juga perlu memilih kerjaya waktu anjal kerana anak kedua mengalami autisme dan memerlukan saya disisinya dalam kebanyakan masa,” katanya yang berhasrat menubuhkan pusat penjagaan warga emas suatu hari nanti.

Suaminya juga sudah menjadi rakan niaga yang sama-sama menyelia perniagaan dan keluarga.

Mengulas mengenai sistem penjagaan warga emas di negara ini, Nurul Ezzati berkata, tiada solusi khas menangani isu itu kerana keadaan kehidupan setiap orang berbeza.

“Tidak mungkin semua orang perlu menghantar ibu bapa ke pusat jagaan warga emas. Namun, dengan adanya rumah jagaan untuk menampung keperluan warga emas di Malaysia, setiap pengendali pusat jagaan perlu meningkatkan lagi kualiti dan standard penjagaan di pusat mereka.

“Nisbah penjaga dengan warga emas harus menepati standard yang ditetapkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan fasiliti perlu lengkap. Setiap pusat jagaan bukan hanya perlu menyediakan infrastruktur tetapi juga memberi perhatian pada pengisian yang diberikan kepada ahli pusat jagaan berkenaan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN