Keseimbangan gaya,rupa dalam klasik moden

Keseimbangan gaya, rupa dalam klasik moden

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tenang. Kemas. Mewah tetapi tidak keterlaluan. Itulah tiga kata kunci yang menjelaskan konsep kediaman milik Salwana Mohd. Sapri, 44, atau lebih dikenali di Instagram sebagai @ruma.puteh.

Memilih pendekatan klasik moden, Salwana menggabungkan kedua-dua elemen itu untuk mencipta suasana yang serba rapi, namun tetap selesa serta mesra untuk kegiatan seharian.

“Saya sukakan gaya kemas, elegan dan mewah. Fokus saya adalah pada susun atur yang praktikal serta estetik.

“Saya juga sukakan suasana ruang yang malar segar dan nampak tenang. Gaya klasik moden ini memberi keseimbangan antara rupa dan fungsi,” katanya kepada Seri.

Keputusannya memilih konsep kerana ingin memiliki kediaman yang tidak mudah ditelan zaman.

Elemen klasik elegan digabung bersama rekaan moden yang minimalis menjadikan kediaman bukan sahaja cantik dipandang, tetapi juga sangat berfungsi.

PENYATUAN SEMPURNA
Kejayaan konsep ini hasil pemilihan perabot moden dan ringkas.

Selain itu, aksen brass gold pada pemegang kabinet dan lampu gantung memberi suntikan mewah yang digabungkan dengan pencahayaan putih hangat bagi membangkitkan suasana nyaman.

Keseluruhan proses mengambil masa sekitar empat bulan, bermula daripada lakaran awal susun atur, pemilihan rekaan kabinet bina dalam serta warna dan material, sehinggalah kepada kerja-kerja ubah suai dan dekorasi.

Kata Salwana, gaya menerbitkan suasana kemas dan elegan walaupun dengan dekorasi minimum.

Warna neutral pula menjadikan ruang kelihatan lebih luas, sementara elemen brass gold mencetuskan nuansa mewah yang tidak keterlaluan.

“Konsep ini juga sangat senang dijaga dan sesuai untuk rumah keluarga,” katanya yang banyak menggunakan ruang simpanan terbina dalam untuk memastikan rumah sentiasa teratur.

SUDUT SERBAGUNA
Daripada keseluruhan rumah, ruang paling digemari Salwana ialah sudut serbaguna di bahagian belakang kediamannya.

“Ia ada empat fungsi dalam satu ruang kecil iaitu untuk mencuci baju, sudut kopi, sarapan kecil dan bilik kucing.

“Semua disusun dalam satu ruang. Sangat praktikal dan menjadi tempat kami berkumpul setiap hari,” katanya.

Bagi padanan warna, Salwana memilih tona neutral dan hangat seperti off white dan beige, dipadankan dengan kemasan kayu gelap untuk kontras yang elegan.

Aksesori brass gold pula diserlahkan sebagai focal point tanpa memerlukan hiasan berlebihan.

“Saya banyak rujuk Pinterest dan akaun Instagram dekorasi tempatan serta luar negara, tetapi disesuaikan dengan cara hidup dan cita rasa sendiri,” kongsinya.

Menjadikan rumah sebagai cerminan peribadi, Salwana berjaya mencipta sebuah kediaman yang bukan sahaja cantik di mata, tetapi juga seronok untuk didiami.

Dengan konsep moden klasik yang santai, rumah berkeluasan 2,402 kaki persegi ini berdiri sebagai inspirasi buat sesiapa yang mencari kesederhanaan yang elegan dan praktikaliti dalam satu ruang.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×