KELAHIRAN dua penulis dalam satu keluarga bukanlah pemandangan yang biasa, baik di negara ini mahupun di luar.
Namun, itulah keistimewaan yang dimiliki penulis prolifik, Nor Zailina Md. Nordin, 63, dan anak sulungnya, Nazratul Waheeda Nadzri atau nama penanya, Weeda Airiza, 41.
Pepatah ke mana tumpahnya kuah, kalau tidak ke nasi cukup tepat untuk menggambarkan hubungan dua wanita ini.
Mereka bukan sahaja berkongsi pertalian darah sebagai ibu dan anak, tetapi turut sejiwa dalam dunia penulisan.
Lebih membanggakan, kedua-duanya berjaya mengukir nama dalam dunia sastera tanah air dengan cara dan gaya tersendiri.
Menurut Nor Zailina, minat menulis mula berputik sejak di bangku sekolah lagi, malah ketika di tingkatan lima, beliau aktif menghantar cerpen ke pelbagai majalah dan akhbar tempatan.
Pada 1994, tuah menyebelahinya apabila karya yang sekian lama diperam, Arca Impian, ditawarkan untuk diterbitkan sekali gus membuka lembaran baharu dalam kerjaya penulisannya.
“Perjalanan saya dalam dunia penulisan ini agak unik kerana semuanya bermula secara kebetulan.
“Saya selalu masuk pertandingan dan demonstrasi masakan di televisyen, akhbar serta majalah, tiba-tiba editor tahu saya ada tulis novel, terus mereka mahu terbitkan,” katanya baru-baru ini.
Sepanjang penglibatannya dalam dunia penulisan sejak lebih tiga dekad lalu, Nor Zailina telah menghasilkan sebanyak 133 karya termasuk 88 buku masakan manakala 45 lagi novel dan antologi pelbagai genre.
Nazratul Waheeda pula tampil dengan 18 naskhah yang merangkumi 10 novel cinta dan remaja, lima antologi di samping buku motivasi Islamik dan kisah benar berkaitan kesihatan mental.
Malah, kedua-dua anak jati Pahang ini turut mencipta sejarah manis apabila muncul pemenang Kategori Novel Popular, Hadiah Sastera Darul Makmur 2024 menerusi karya Anak Lorong dan Intai-Intai Jodoh.

Gagal dalam pengajian
Melihat kepada kejayaan yang diraih, mungkin ada yang menyangka laluan Nor Zailina mudah tanpa onak dan ranjau.
Hakikatnya, beliau gagal menamatkan pengajian di United Kingdom (UK).
“Saya kecewakan harapan emak ayah dan pulang tanpa segulung ijazah.
“Tetapi, itu bukan alasan untuk terus berputus asa. Selepas berkeluarga, saya aktif memasak dan menang pelbagai pertandingan hingga bergelar cef.
Malah, wajahnya menghiasi banyak program masakan sama ada di majalah mahupun televisyen termasuk menjadi juri.
“Siapa sangka daripada pelajar yang gagal, saya akhirnya dapat menjadi pensyarah kulinari di Management and Science University (MSU) selama 10 tahun dari 2014 hingga 2024.
“Dalam masa sama, saya juga dapat mengembangkan bakat dalam bidang penulisan, secara serentak,” katanya.
Sementara itu, bagi Nor Zailina, kehadiran anak sulungnya sebagai penulis bukan sahaja satu kebanggaan, tetapi juga penyambung legasi.
Beliau tidak pernah memaksa anak-anak untuk mengikut jejak langkah sama cuma nampak potensi yang ada pada Nazratul Waheeda.
“Sejak kecil, dia suka baca buku-buku saya dan rajin menulis karangan untuk disiarkan dalam majalah,” kata ibu kepada empat anak ini.

Menaip bersebelahan
Kebanyakan penulis lebih selesa bekerja bersendirian untuk mencari ilham dan mengekalkan fokus, tetapi, lain bagi dua beranak ini yang gemar menaip secara bersebelahan.
Pendekatan itu bukan sahaja menyuntik motivasi, malah memberi ruang bertukar pandangan apabila salah seorang dilanda kebuntuan idea.
“Ketika menulis, kami serius dan fokus, malah sentiasa berlumba untuk siapkan manuskrip.
“Bila buntu menulis tentang orang muda, dialah rujukan utama saya. Sesekali ada juga ‘pergaduhan kecil’ atau situasi berebut watak hero dan heroin bayangan.
“Bagi saya, ini satu rahmat bila dapat berkongsi minat dengan anak. Kami saling menyokong, menasihati dan menegur antara satu sama lain,” katanya.
Misi dua beranak ini adalah untuk menyebarkan sebanyak mungkin ilmu kepada masyarakat menerusi karya penulisan mereka.
Bagi mereka, setiap buku yang dihasilkan bukan sekadar bahan bacaan, tetapi medium untuk mendidik, membangkitkan kesedaran dan memberi inspirasi kepada pembaca.
Mengimbas kenangan awalnya berkarya, Nor Zailina sanggup menghubungi pegawai di Pelabuhan Klang untuk menyelami kerjaya jurutera pelabuhan sempena watak hero dalam salah satu novelnya.
Malah, wanita ini turut menghantar e-mel kepada Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha bagi mendapatkan butiran lengkap tentang profesion angkasawan untuk novel Impian Terindah.

90 peratus suka cinta
Pendedahan kepada karya Datuk Seri A. Samad Said sejak kecil meninggalkan kesan mendalam kepada wanita ini.
Beliau mengakui, gaya penulisan Sasterawan Negara yang puitis, sarat emosi dan nilai kemanusiaan banyak mempengaruhi caranya membina naratif dalam karya sendiri.
“Disebabkan terlalu minat, saya pernah memberanikan diri berjumpanya bagi memeriksa manuskrip pertama. Teguran dan nasihatnya amat bermakna, malah membantu saya memperbaiki mutu penulisan,” katanya.
Ditanya tentang sumber inspirasi, Nor Zailina berkata, kebanyakan ideanya lahir daripada pemerhatian sekeliling dan pengalaman peribadi.
Bagaimanapun, katanya, 90 peratus pembaca di Malaysia masih cenderung memilih tema cinta dan romantik komedi berbanding genre lain yang lebih mencabar minda atau berunsur ilmiah.
“Contohnya, novel Impian Terindah saya yang berkisar tentang angkasawan, malangnya ia kurang mendapat tempat di hati pembaca.
“Orang kita belum bersedia dengan tema berat, sejarah atau karya yang diadaptasikan daripada kisah benar. Situasi ini sedikit sebanyak mengecewakan segelintir penulis,” katanya.
Kebiasaannya Nor Zailina mengambil masa kira-kira tiga bulan untuk menyiapkan naskhah yang tidak memerlukan penyelidikan mendalam.
Dalam pada itu, beliau meraikan kehadiran ramai penulis-penulis baharu daripada pelbagai latar belakang termasuk pempengaruh.
“Kini, sesiapa sahaja boleh menulis kerana sumber rujukan di hujung jari, tidak seperti zaman saya dulu, yang menuntut proses penyelidikan lama.
“Bagi yang berminat untuk bergelar penulis, jangan putus asa jika manuskrip ditolak. Situasi ini adalah lumrah dan bukan petanda karya anda tidak bermutu,” katanya yang giat menyiapkan novel terbaharu.

Menulis kerana stres
Tekanan kerja sebagai arkitek hiasan dalaman mendorong Nazratul Waheeda menulis novel sebagai terapi jiwanya.
Rutin itu berlarutan setiap malam dan tanpa sedar beliau berjaya menyiapkan manuskrip pertamanya.
“Tanpa pengetahuan emak, saya cuba nasib hantar kepada penerbit dan tidak sangka ia diterima.
“Perjalanan 22 tahun menulis sangat menyeronokkan apatah lagi dengan kehadiran mentor iaitu emak di sisi.
“Siapa tahu mungkin selepas ini kami boleh bergabung menulis buku bersama,” katanya yang kini giat menulis naskhah kisah benar berkaitan kesihatan mental.
Katanya, tema kesihatan mental sering menjadi pilihan kerana isu itu dekat di hatinya.

Pena Juita
Bagi memastikan kesinambungan pengalaman dan kepakaran sebagai penulis terus hidup subur, dua beranak ini menyertai gabungan Pena Juita.
Ia menghimpunkan lima penulis wanita terkenal termasuk Damya Hanna, Eka Fahara dan Aisya Sofea.
Nazratul Waheeda berkata, sehingga kini sebanyak tiga buku diterbitkan gabungan berkenaan iaitu Tea Series (Sweet), Song Series (Melody) dan Journey Series (Travel).
“Dengan siri ini, peminat dapat membaca karya lima penulis dalam satu buku.
“Dalam masa sama, kami berhasrat untuk memperkasakan lagi bidang penulisan dengan menganjurkan bengkel-bengkel buku yang merupakan tunjang kekuatan kami,” katanya.










