Bintan, perkhemahan mewah di tengah ‘gurun’

Bintan, perkhemahan mewah di tengah ‘gurun’

Reka bina dan dekorasi The Anmon membuat pengunjung merasai pengalaman unik seperti perkhemahan di tengah gurun.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bintan, mungkin bukan satu destinasi yang acap didengar oleh mereka yang suka berkelana. Barangkali, jika menyebut Labuan Bajo, Lombok atau Bali, pasti ramai yang berkongsi kenangan dan perjalanannya.

Maka sebagai antara mereka yang pernah berkelana ke destinasi yang terletak di Kepulauan Riau itu, izinkan saya berkongsi pengalaman, perjalanan dan lokasi menarik yang mampu membuatkan jantung anda berdegup laju untuk ke Bintan.

Perjalanan ke Bintan ada cabarannya. Anda perlu menaiki penerbangan atau bas ke Johor dan menaiki feri terus ke Lagoi, Bintan. Perjalanan feri ke Lagoi mengambil masa lebih kurang 1 jam 30 minit.

Sesampainya di Lagoi, saya disambut oleh petugas yang memakai pakaian tradisional masyarakat Bintan yang jika diamati lebih kurang gayanya seperti busana Melayu. Rupanya, di sini ramai masyarakat Melayu-Riau.

Saya menetap di The Anmon, yang merupakan salah satu hotel dan resort yang sentiasa menjadi pilihan pengunjung ke Bintan. Mengapa? Ayuh saya huraikan satu persatu mengapa The Anmon menjadi pilihan.

Setibanya di The Anmon, saya sudah merasa seolah-olah berada di kawasan gurun. Panas tetapi mengasyikkan pandangan. Berkonsepkan perkhemahan mewah di tengah gurun, The Anmon memberikan pengalaman yang luar biasa.

Disambut dengan senyuman dan layanan berkelas mewah, kami di bawa terus ke bilik untuk berehat sebelum meneroka The Anmon. Jadual kami padat, terutama dengan pelbagai aktiviti yang disediakan.

Sebelum memulakan aktiviti, kami sempat menikmati makan tengah hari di Compass Rose Restaurant. Di resort tersebut, anda boleh sahaja memilih untuk berjalan kaki atau menaiki skuter yang boleh disewa.

Sebelum memulakan aktiviti pertama, saya dan isteri cuba ‘mengenali’ The Anmon dengan lebih dekat. Di sini, suasana tenang. Tidak ada hiruk dan pikuknya. Malah, kami terpana sebentar melihat Crystal Lagoon.

Merupakan lagun buatan terbesar di Asia Tenggara, Crystal Lagoon bukan sekadar cantik dipandang. Di sini, anda boleh memilih untuk melakukan aktiviti air yang bukan sahaja mencabar tetapi penuh dengan elemen menyeronokkan.

Antara aktiviti yang kami sempat sertai termasuk kayak santai di lagun, mencuba Slip n Slide dan juga pengalaman penuh adrenalin menaiki Cable Tube. Memang riuhlah suasana ketika itu. Disambut juga dengan kekecohan pengunjung lain yang sama teruja.

Selepas gamat beriadah, kami memilih untuk bertenang-tenang menyelusuri hutan paya bakau untuk lebih mengetahui ekosistem unik kawasan tersebut. Jika anda suka dengan aktiviti menenangkan, ini jawapannya.

Menjelang petang, kami kembali ke The ANMON untuk menyaksikan matahari terbenam di kaki langit Bintan. Sayangnya, ketika itu awan hitam mula berarak menandakan hujan bakal turun, jadi kami simpan sahaja hasrat tersebut.

Untuk malam, kami memilih untuk bersantai-santai sahaja di bilik kerana esok harinya kami merancang untuk keluar ke bandar dan beberapa destinasi pelancongan yang dikongsi di media sosial.

keselesaan dan pengalaman mengasyikkan pengunjung menjadi keutamaan The Anmon.

TASIK BIRU, PULAU PENYENGAT

Kami memulakan hari kedua seawal jam tujuh pagi dengan sarapan pagi. Menunya pelbagai – dari sajian tempatan sehinggalah ke hidangan barat, cukup untuk memenuhi cita rasa pengunjung yang hadir.

Saya dimaklumkan, kebanyakan pelancong yang hadir ke Bintan datang dari Korea Selatan, Jepun dan negara Eropah. Mungkin mereka gemar dengan konsep perkhemahan mewah di tengah ‘gurun’.

Bersama pasukan Bintan Resorts, kami dibawa ke Sand Dunes & Blue Lake. Satu lokasi yang rupanya tular di media sosial. Mana tidaknya, kami sendiri teruja melihat kombinasi padang pasir putih dan tasik biru jernih yang mengasyikkan.

Di situ, bukan sahaja boleh bergambar ala model, tetapi ada juga perkhidmatan bergambar bersama helang. Jangan risau jika tidak ada kamera mahal, sewa sahaja perkhimatan jurugambar di situ. Mudah dan murah!

Kemudian kami ke 500 Lohan Temple. Jika di Bangkok popular dengan Wat Arun, di Bintan Lohan Temple antara lokasi wajib kunjung terutama bagi peminat sejarah dan budaya. Semua patung Lohan di bawa dari China.

Kuil ini dibangunkan sebagai penghormatan kepada 500 Lohan, yang merupakan para pengikut Buddha sejak berabad lamanya. Tetapi saya difahamkan, masih ada tugu atau patung yang belum dibawa ke kuil tersebut.

Selepas itu, kami memilih untuk makan di restoran Manabu. Uniknya, menu makanannya hampir sama sahaja dengan tekak kami sebagai orang Malaysia. Ada sate, soto dan masakan Minang yang memang popular.

PULAU PENYENGAT

Jika ke Jakarta, kita pasti akan teruja apabila masyarakat setempat berusaha bercakap dalam bahasa Melayu. Mereka suka untuk menukar a kepada e, seperti suka jadi ‘suke’. Tetapi di Bintan, begitulah dialeknya.

Terutama ketika kami berkunjung ke Pulau Penyengat. Dari jeti, naik bot dan sehingga sampai ke Pulau Penyengat, kami seperti berada di Malaysia. Semuanya bercakap dalam dialek yang rapat dengan kita.

Bagi yang baru pertama kali mendengar Pulau Penyengat, di sini adalah pusat sejarah penting untuk Kesultanan Melayu-Riau. Kami berpeluang menjejak makam Raja Ali Haji, tokoh penting dalam sejarah perkembangan bahasa Melayu.

Pernah dengar Gurindam Dua Belas? Itu antara karya agung oleh Raja Ali Haji yang merupakan antara tokoh penting dalam sejarah kemelayuan. Dan kepulauan itu merupakan hadiah perkahwinan dari Sultan Mahmud Syah kepada Engku Putri Raja Hamidah pada tahun 1805.

Kami sempat melawat beberapa makam tokoh penting dan kaum kerabat kesultanan Riau. Otak saya ligat menyimpan segala maklumat yang dikumpul sepanjang perjalanan kami di Pulau Penyengat.

Biarpun malam hampir menjelmakan diri, kami bergerak pantas ke Lagoi Bay. Malangnya kami tidak sempat mencuba pelbagai aktiviti air yang ada. Kami hanya mampu melihat pengunjung bermain paddle board, banana boat dan aktiviti santai lain sahaja.

Menutup malam, kami mencuba sesi urutan spa di The Anmon. Jujur, harga tidaklah ‘semahal perkhidmatan yang diberikan. Malah, dua tukang urut yang menyantuni kami memang sangat kelakar dan rancak bercerita tentang Bintan.

Selepas urut, lapar. Jadi kami tempah sahaja sesi barbeku eksklusif di depan dome kami sendiri. Tidak perlu renyah, semuanya di sediakan dan pastinya memberi pengalaman berbeza untuk kami.

Esok hari, kami pulang. Tiga hari sebenarnya tidak cukup untuk pusing Bintan. Tetapi kami pasti akan kembali dan The Anmon akan tetap menjadi pilihan. Teringat pula rendang daging Lemak Basamo, sedap!-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×