ANTARA makanan paling popular di media sosial ketika ini ialah kek tiramisu.
Sampaikan ramai yang mengidam dan tercari-cari pemanis mulut ini di merata-rata tempat.
Namun, ramai juga yang pulang dengan hati hampa kerana kek tiramisu di kafe dan kedai popular idaman mereka sering habis dalam sekelip mata.
Bagi yang masih tidak berpeluang menikmatinya, apa kata buat sahaja di rumah?
Resipinya pun mudah, jadi tidak perlulah anda beratur panjang atau menunggu giliran yang lama di kedai-kedai semata-mata untuk mendapatkan sepotong kek ini.
BAHAN-BAHAN:
-5 sudu serbuk kopi
-1 cawan air panas
-3 biji kuning telur
-20 gram gula
-Sedikit esen vanila
-500 gram keju mascarpone
-45 gram gula
-270 gram krim putar
-Biskut ladyfingers secukupnya
-Serbuk koko (untuk hiasan)
CARA PEMBUATAN:
-Larutkan serbuk kopi dalam air panas. Kacau rata dan biarkan sejuk.
-Satukan kuning telur, gula dan esen vanila. Masak secara double boil sehingga adunan menjadi kuning pucat dan gula larut, kemudian sejukkan.
-Pukul keju mascarpone, gula dan krim putar hingga berkrim pada kelajuan sederhana.
-Masukkan adunan telur yang telah sejuk tadi dan pukul hingga sebati.
-Ambil ladyfingers dan celupkan ke dalam larutan kopi selama 2 hingga 3 saat. Kemudian susunkan dalam bekas.
-Tuangkan lapisan krim di atasnya.
-Simpan di dalam peti sejuk semalaman.
-Taburkan serbuk koko sebelum dihidangkan.
Nota:
-Elakkan mencelup ladyfingers terlalu lama bagi mengelakkan ia menjadi lembik.
-Kek tiramisu lebih enak selepas disejukkan semalaman kerana bahan-bahan sudah sebati.










