Sanggup berhabis untuk British shorthair

Sanggup berhabis untuk British shorthair

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENYEDIAAN sudut khas di ruang tamu sebagai ‘rumah’ kucingnya.

Itu antara pengorbanan dilakukan Ivy Chung buat Wendy yang dipelihara sejak empat bulan lalu.

Sudut khas tersebut menempatkan tempat tidur empuk bagi kucing baka British shorthair itu, di samping kotak pasir dan beberapa mainan interaktif.

Wanita ini tidak kisah berhabis, malah sanggup melakukan apa sahaja demi memanjakan si comelnya.

Buktinya, lebih RM600 diperuntukkan untuk perbelanjaan Wendy setiap bulan.

“Saya tidak peduli dengan kata-kata kawan-kawan yang saya sudah berbelanja berlebihan untuk Wendy.

“Paling penting, saya mahu Wendy rasa selesa dan mudah menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu,” katanya baru-baru ini.

Ivy berkata, kucing itu tidak dijaga dari bayi, sebaliknya hanya dipelihara ketika berumur lapan bulan.

Pertemuannya dengan Wendy bermula di tempat pameran bagi haiwan angkat, pada Januari lalu.

Sebagai pecinta kucing, dia selalu berkunjung ke program sedemikian anjuran pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Kuching, Sarawak.

Namun, hatinya tiba-tiba terpaut pada kucing comel berwarna kelabu ini yang dipamerkan di situ.

“Salah seorang sukarelawan memberitahu kucing itu berumur lapan bulan dan terpaksa dilepaskan pemilik asalnya kerana mereka kerap ke luar daerah, jadi tiada siapa yang dapat menjaganya.

“Tanpa berfikir panjang, saya menawarkan diri untuk menjadi pemilik baharu Wendy.

“Syarat bergelar pemilik pun mudah kerana tiada sebarang bayaran dikenakan, sebaliknya hanya perlu membuat aku janji bertulis untuk menjaga dengan penuh tanggungjawab,” katanya.

Katanya, penjaga yang gagal berbuat demikian perlu memulangkan semula kucing kepada NGO tersebut.

TAKUT JUMPA DOKTOR
Ivy tidak berdepan cabaran besar sepanjang memelihara Wendy.

Katanya, si comel itu tidak terlalu aktif dan sentiasa bersifat tenang.

Namun, sikap Wendy berubah 360 darjah apabila berjumpa doktor veterinar.

“Setiap kali dibawa ke klinik, ia merajuk dan sedaya upaya tidak mahu keluar dari sangkar.

“Bahkan, Wendy turut ‘mengaum’ seolah-olah meminta tolong apabila diperiksa oleh doktor,” ujarnya.

Sementara itu, dari segi pemakanan pula, Ivy menyediakan palet premium untuk baka British shorthair .

Manakala, makanan basah pula diberikan tiga kali seminggu.

“Untuk elak kotor, setiap dua minggu, Wendy dimandikan,” katanya.

 

BANTU KEJUT TIDUR
Kehadiran Wendy ternyata menceriakan lagi kehidupan Ivy.

Malah, si comel ini bijak mengejutkannya daripada tidur, setiap pagi.

“Kini, saya tidak perlukan lagi jam loceng sebab setiap pagi Wendy tolongan kejutkan saya.

“Masalahnya, di hujung minggu ketika saya tidak bekerja pun dia masih teruskan rutin itu.

“Selagi saya tidak bangun, ia akan terus membuat bising dan memicit-micit tangan saya,” katanya.

Selain itu, kata Ivy, Wendy takutkan bunyi kilat.

Kucing itu pernah melompat ke arahnya dan kekal dalam pangkuan hingga lena.

“Situasi itu berlaku ketika awal-awal memeliharanya, lantas membuatkan hati saya tersentuh dan rasa dihargai serta disayangi,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×