Prof. Dr. Rusea Go merupakan satu-satunya anak tempatan yang melakukan penyelidikan orkid sejak mula berkhidmat pada 1993.
Sepanjang kerjayanya, anak kelahiran Sarawak ini menumpukan perhatian khusus terhadap penyelidikan orkid liar termasuk aspek taksonomi, pemuliharaan, biogeografi dan potensi gunaanya dalam hortikultur serta pemulihan ekosistem.
Beliau menjalankan dan menyertai pelbagai ekspedisi saintifik di semua jenis hutan di Malaysia, dari Perlis hinggalah ke Sabah.
“Hasil penyelidikan ini, saya menemui dan menerbitkan lebih 25 spesies baharu tumbuhan termasuk lapan orkid.
“Saya juga telah membangunkan lima kacukan orkid yang didaftarkan secara rasmi di Royal Horticultural Society, United Kingdom,” katanya kepada Seri.
Penyelidik di Jabatan Biologi, Fakulti Sains, Universiti Putra Malaysia (UPM) ini juga mengetuai beberapa projek penyelidikan yang dibiayai oleh geran tempatan dan antarabangsa.
Rusea aktif bekerjasama dengan agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menyediakan penilaian status spesies orkid mengikut kriteria IUCN Red List selain menjadi wakil negara dalam Orchid Specialist Group di bawah Suruhanjaya Spesies IUCN.
Tidak keterlaluan dikatakan, tanpa penyelidikan dan usaha pemeliharaan daripada wanita ini, orkid mungkin diancam kepupusan.
Generasi akan datang mungkin tidak lagi dapat melihat keindahan flora yang penuh dengan keunikan, sekali gus menganggu biodiversiti semula jadi.

Beliau tidak menyangkal, walaupun usaha pemeliharaan dan pemuliharaan giat dijalankan, beberapa spesies sedang diancam kepupusan.
Semuanya kerana kerakusan manusia mengeksploitasi flora itu demi mengaut keuntungan tanpa memikirkan kelestarian.
“Daripada kira-kira 4,000 spesies orkid di negara ini, kebanyakan di ambang kepupusan dan ada juga yang belum ditemui serta dinamakan.
“Antaranya, orkid selipar (lady’s slipper), paphiopedilum, kupu-kupu (moth), phalaenopsis dan orkid tanah seperti jewel (anoectochilus) dan helmet (corybas).
“Ramai yang kutip orkid, kemudian jual. Lihat sahaja di platform dalam talian, banyak orkid-orkid liar dijual tanpa memikirkan tentang kelangsungan bunga ini.
“Jika orkid yang diambil terlalu sedikit, ia tidak dapat hidup di luar. Begitu juga jika sisanya ditinggalkan di hutan sangat sedikit, ia masih tidak dapat meneruskan hidup,” katanya yang menghasilkan lebih 270 penerbitan ilmiah dalam jurnal tumbuhan, 19 buku orkid, 2 buku tumbuhan ubatan dan 3 buku bungaan liar.
Tingkat kesedaran
Enggan berpeluk tubuh, Rusea berganding bahu dengan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) memberi kursus kepada pengusaha tapak semaian, pengumpul orkid, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Jabatan Imigresen Malaysia mengenai kawalan keluar masuk
orkid ke sempadan negara dan akta-akta perhutanan dan hasil-hasil hutan yang diguna pakai di Malaysia

“Dalam bengkel ini, kami memberi pengenalan kepada jenis-jenis orkid untuk memberi pengetahuan mengenai orkid liar dan hibrid.
“Saya rasa inisiatif ini perlu diteruskan bukan hanya kepada imigresen dan kastam tetapi masyarakat bagi mendidik orang ramai mengenai benda-benda yang haram diambil daripada hutan simpan,” jelasnya.
Ketika ini, fokusnya tertumpu kepada pemuliharaan in situ dan ex situ orkid terancam melalui penubuhan koleksi hidup dan herbarium.
Pada 2019, UPM dan JPNS telah membangunkan Taman Konservasi Orkid Liar Tengku Permaisuri Norashikin di Bukit Fraser.
“Pada awal penubuhan, taman ini menyimpan 100 spesies orkid dari hutan Hulu Selangor, namun oleh kerana dana yang dijanjikan tidak disalurkan dan pihak yang bersetuju untuk menyelenggara juga tidak menjalankannya, maka taman ini tinggal rangka dan beberapa spesies sahaja.
“Saya menyeru mana-mana pihak yang bermurah hati, badan korporat, kerajaan negeri dan para dermawan untuk tampil memberi dana membantu saya membangunkan semula dan menyelenggara koleksi ini nanti,” jelasnya.
Tempuh cabaran
Semuanya bermula apabila beliau mendapat tugasan melakukan penyelidikan di gua batu kapur di Perlis.
Hatinya terpaut saat pertama kali melihat keindahan flora itu, lalu, timbul hasrat untuk memeliharanya.
Sejak itu, beliau tidak berpaling lagi walaupun kerjaya yang dipilih itu menuntut cabaran yang besar untuk meneroka segenap inci belantara.
“Cabaran biasanya dari segi cuaca buruk, kawasan sukar diakses dan risiko keselamatan.
“Namun, saya tanganinya melalui perancangan rapi, latihan pasukan lapangan serta membina rangkaian kerjasama dengan komuniti setempat dan agensi seperti Jabatan Perhutanan Negeri dan JPSM.
“Saya melihat cabaran sebagai peluang untuk membina ketahanan, memperkukuh jaringan kerjasama dan menambah baik metodologi penyelidikan. Semangat saya terhadap pemuliharaan dan cinta terhadap tumbuhan sentiasa menjadi pendorong utama untuk terus maju.

Pusat rujukan
Berkongsi perancangan masa depan, wanita ini mengimpikan untuk mewujudkan Pusat Rujukan Orkid Malaysia yang menggabungkan koleksi hidup herbarium dan pangkalan data digital yang dapat diakses oleh penyelidik, pelajar dan agensi pemuliharaan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Selain itu, beliau mahu memperluas pemetaan dan dokumentasi spesies orkid di kawasan yang kurang diterokai terutama di Sabah dan Sarawak serta kawasan hutan bukit dan tanah tinggi yang diancam kepupusan.
“Saya mahu melatih generasi baharu saintis botanis melalui program penyeliaan, latihan lapangan dan perkongsian ilmu agar warisan penyelidikan ini dapat diteruskan.
“Saya juga berhasrat menghasilkan lebih banyak penerbitan ilmiah dan buku sebagai sumber rujukan jangka panjang serta bahan pendidikan awam untuk meningkatkan kesedaran tentang orkid dan biodiversiti negara,” jelasnya.
Imbangi kerjaya, keluarga
Kesibukan sebagai pensyarah dan penyelidik bukan penghalang untuk meluangkan masa berkualiti bersama keluarga.
Ibu kepada empat anak ini menjadikan waktu masuk ke hutan sebagai masa bersama anak-anak.
“Sejak kecil, saya bawa anak masuk ke hutan bersama-sama dan mereka sukakannya.
“Sambil bekerja, saya tetap boleh meluangkan masa bersama anak-anak, jadi tiada masalah,” katanya.










