SEREMBAN: Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa rakyat memilih orang Melayu yang baik untuk diberi tanggung jawab menjaga negeri ini pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, Sabtu ini.
Perdana Menteri berkata, para pemimpin dari kaum lain seperti Cina dan India yang rajin serta jujur juga perlu digandingkan bersama pemimpin Melayu tersebut supaya negeri ini boleh dimajukan secara bersama.
Katanya, tidak ada pertikaian mengenai kedudukan orang Melayu di institusi teras seperti raja-raja Melayu, Perdana Menteri, Panglima Angkatan Tentera dan Ketua Polis Negara.
“Kedudukan negara ini telah pun menjadi satu ketetapan tidak kira lah jika ia diperkatakan oleh parti mana sekali pun.
“Jadi carilah orang Melayu yang baik untuk menjaga negeri ini sambil angkat Cina atau India yang rajin dan jujur untuk bersama,” katanya dalam ucapan di Grand Finale Kekal Harapan Negeri Sembilan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat di sini malam ini.
Anwar menegaskan, tanggung jawab beliau ialah menyokong penyandang Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun supaya diberi mandat oleh rakyat dan terus menjadi pemimpin negeri ini.
“Adakah Aminuddin sempurna? Sudah tentu tidak. Tetapi dia bekerja keras, tidak curi tanah, tidak ambil balak atau projek untuk dirinya.
“Beliau jujur dan kasih kepada rakyat,” ujarnya.
Beliau mengulangi gesaan supaya semua kaum di negara ini bersatu padu dan bekerja secara bersama untuk masa depan.
“Kita perlukan orang Melayu, Cina, India dan lain-lain bekerja secara bersama. Kita akan kehilangan jika tidak bersama,” katanya.-UTUSAN










