Makhluk berduri pemikat hati

Makhluk berduri pemikat hati

spiky tidak suka cuaca sejuk dan gemar menyorok di bawah katil.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tidak pernah terlintas di fikiran seekor makhluk kecil berduri berjaya memikat hatinya.

Itulah yang terjadi kepada Aston Nicholas Ibrahim apabila kini, dia sangat menyayangi landak mini peliharaannya yang diberi nama Spiky.

Landak hadiah pemberian kakaknya itu berjaya mencuri hati Aston Nicholas dengan keletahnya yang comel dan mencuit hati.

Biarpun berduri tajam, haiwan itu sebenarnya sangat manja, malah banyak mengajar erti kesabaran kepada penjaganya.

Wajahnya yang berwarna merah jambu dan bersaiz tidak jemu dipandang.

Kata Aston Nicholas, landak mini agak sukar didekati kerana haiwan kecil ini sensitif dengan layanan dan sentuhan yang kasar.

“Pada peringkat awal, saya menjaga Spiky dengan cara yang agak kasar kerana masih belum mahir mengendalikannya dengan lembut.

“Akibatnya, Spiky sering menggulung tubuhnya sehingga duri-duri tajamnya kelihatan, sebagai tanda berasa terancam,”katanya kepada Seri.Pada mulanya, Spiky sering dibiarkan berada di dalam sangkar sepanjang masa memandangkan Aston Nichols sendiri berasa takut jika landak mini itu menegakkan durinya.

Dia bimbang terkena duri yang tajam itu.

Namun, dengan bantuan kakaknya, dia belajar bersabar dan mula mempelajari cara penjagaan, pemakanan dan suhu bilik yang sesuai untuk si manja tersebut.

Lama-kelamaan, layanan baik serta sentuhan lembut berjaya mencairkan hati si comel berduri itu.

Perlahan-lahan, Spiky mula menunjukkan tanda-tanda kepercayaan terhadap tuannya.

Sejak itu, pintu sangkar Spiky sentiasa terbuka untuk memudahkannya keluar masuk bermain serta membuang najis.

PEMAKANAN KHUSUS

Penjagaan landak mini memerlukan sekurang-kurang RM100 setiap bulan bagi perbelanjaan makanan dan ubat-ubatan.

Katanya, landak mini memerlukan pemakanan khusus terdiri daripada pelet khas yang kaya dengan protein dan nutrisi seimbang untuk tumbesaran yang baik.

Spiky juga hanya dibekalkan dengan air mineral sahaja untuk mengekalkan hidrasi pada tubuh selain memastikan si comel itu sentiasa cergas untuk bermain.

TIDAK SUKA MUSIM TENGKUJUH

Di sebalik kecomelan dan kemanjaan si manja ini, ia mempunyai kerenahnya yang tersendiri.

Spiky tidak gemarkan cuaca yang sejuk dan cenderung untuk menyorok di ruangan tertutup setiap kali cuaca sejuk atau musim tengkujuh.

Misalnya, pada hari hujan, Spiky akan keluar daripada sangkar dan mendiamkan diri di ruang yang tertutup. Mungkin untuk mengelakkan rasa sejuk berlebihan.

“Kadang-kadang saya akan jumpa Spiky di bawah meja belajar atau di bawah katil. Jika saya berjaya membawanya keluar dari tempat tersebut, Spiky akan berlari semula dan mencari tempat persembunyian yang lain.

“Selain itu, setiap kali suhu dingin, Spiky tidak gemar untuk makan, sebaliknya dia akan tidur dalam keadaan duri-durinya menegak,” katanya.

Tambahnya, Spiky kerap jatuh sakit disebabkan perubahan cuaca yang sukar dijangka.

Kadangkala, keadaan kesihatan itu juga sukar dikesan oleh tuannya kerana sikap Spiky yang selalu ceria dan manja.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN