Lipatan Teh Moden

Lipatan Teh Moden

Nurrabiatul Adawiyah memperkenalkan rekaan unik dan bercirikan budaya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Minggu ini, izinkan saya memperkenalkan seorang lagi pereka muda yang sedang mencipta gelombang dalam dunia fesyen tempatan, Nurrabiatul Adawiah, graduan Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam.

Ketika pertama kali melihat koleksinya, saya jatuh hati. Bukan sekadar pada visualnya yang menawan, tetapi pada ketelitian rekaannya dan kematangan pemikiran yang dizahirkan melalui aplikasi teknik smocking yang cukup rapi dan sofistikated.

Smocking bukanlah baharu. Teknik ini berasal dari Eropah sejak abad ke-15.

Ia digunakan untuk memberi kelenturan dan keanjalan pada pakaian pekerja ladang.

Koleksi Nurrabiatul Adawiah benar-benar menonjol kerana keberanian dan kehalusannya mengintegrasikan unsur budaya ke dalam rekaan fesyen. Koleksi ini bukan sekadar pakaian.

Ia adalah pernyataan seni, warisan dan falsafah. Dalam dunia di mana ‘cepat siap’ sering menjadi keutamaan, Nurrabiatul Adawiah mengambil masa untuk menyulam makna dalam setiap jahitan dan lipatan.

Paling menarik, inspirasi koleksi ini datang daripada dunia yang tenang dan berlapis iaitu budaya teh Cina.

Budaya teh Cina dan fesyen sedia dipakai (RTW) berkongsi nilai-nilai estetika, simbolik dan praktikal.

Teh bukan sekadar minuman. Ia adalah ritual yang mengangkat konsep keseimbangan, ketenangan dan penghormatan terhadap alam serta tradisi.

Nilai-nilai ini diserap masuk ke dalam rekaan dengan pemilihan warna-warna lembut seperti hijau teh, tanah liat dan putih porselin untuk mencipta aura yang menenangkan, seperti seteguk teh hangat pada waktu senja.

Daripada sudut rekaan pula, siluet yang dipilih mencerminkan pergerakan air teh, bentuk teko klasik dan aliran sutera pada pakaian para penyaji teh zaman dahulu.

Teknik smocking, draping serta penggunaan fabrik ringan seperti organza, linen dan satin meniru tekstur halus daun teh dan keanggunan seni penyajian teh.

Gaya ini juga menjurus kepada estetika minimalis yang selesa, bersahaja, tetapi cukup kuat dalam naratif visualnya.

Bagi dirimu yang petite, pilihlah kemasan smocking yang terletak pada bahagian atas badan seperti di dada atau bahu untuk memberikan ilusi dada yang lebih penuh dan menambah struktur.

Elakkan smocking yang terlalu padat di bahagian pinggang kerana ia boleh menenggelamkan badanmu.

Padankan dengan skirt potongan trapeze atau A-line untuk kesan memanjang.

Untuk dirimu yang bertubuh curvy, smocking adalah sahabat terbaikmu. Pilihlah rekaan yang mempunyai smocking di bahagian pinggang untuk menonjolkan lekuk tubuh anda.

Elakkan fabrik yang terlalu ringan jika tidak disertakan alas, agar bentuk badan tidak terlalu terdedah.

Koleksi ini adalah pertembungan dua dunia iaitu fesyen dan falsafah. Ia menjadikan pakaian satu bentuk penghormatan terhadap warisan, namun dalam bahasa moden yang segar dan dinamik.

Di tangan Nurrabiatul Adawiah, fesyen bukan hanya tentang apa yang kita pakai, tetapi juga apa yang kita percaya dan siapa kita sebagai warisan hidup.

Ini bukan sekadar koleksi pakaian. Ini adalah sebuah cerita. Seperti teh yang dihirup perlahan, rekaan ini mengajak kita untuk berhenti sejenak, menghargai seni dan mencipta makna dalam setiap hela nafas kehidupan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×