Percutian ke Kedah bagaikan tidak lengkap sekiranya tidak singgah ke tempat-tempat menarik di Kuala Muda.
Kuala Muda merupakan daerah kedua terbesar daripada segi pentadbiran selepas Kota Setar.
Nama daerah ini diambil bersempena nama sebatang sungai iaitu Sungai Muda yang terletak di daerah ini.
Bandar Sungai Petani merupakan pusat pentadbiran bagi daerah yang meliputi kawasan seluas 922.6 kilometer (km) persegi bersamaan 92,268.4 hektar ini.
Ia menawarkan pelbagai lokasi menarik yang boleh dilawati merangkumi kawasan alam semula jadi, bersejarah serta tempat-tempat makan yang menarik buat pencinta makanan di luar sana.
1. Kota Kuala Muda

Lokasi pertama yang wajib dikunjungi ialah Kota Kuala Muda. Ia merupakan kawasan perkampungan yang terletak kira-kira 33 km dari susur keluar Plaza Tol Sungai Petani Selatan.
Antara kawasan menarik yang boleh dilawati di sini ialah Pantai Merdeka, Dataran Tsunami, Pulau Sayak, Pasar Bisik Ikan serta beberapa lagi kawasan pesisiran pantai yang boleh dijadikan sebagai ‘port’ memancing atau berkelah.
Pelbagai aktiviti menarik boleh dilakukan di sini seperti aktiviti bermalam di chalet, jelajah pulau, berkelah di tepi pantai, memancing, mandi laut dan mengutip siput .
Selain itu, pengunjung juga berpeluang menikmati menu mi udang yang popular di Pulau Sayak dan menikmati makanan laut celup tepung di Dataran Tsunami.
Pengunjung yang ingin menjimatkan masa perjalanan boleh menggunakan perkhidmatan bot penambang dari Pantai Merdeka ke Arked Niaga Tanjung Dawai untuk membeli-belah hasil laut.
2. Gunung Jerai

Jerai.
Lokasi kedua yang perlu dilawati ialah Gunung Jerai yang terletak di sempadan Kuala Muda dan Yan.
Pelbagai tarikan baharu terdapat di sini sekali gus menjadikannya sebagai lokasi pilihan pelancong yang ingin healing sambil menghirup udara segar dan menikmati panorama indah alam semula jadi.
Pengunjung juga boleh memilih untuk bermalam di Jerai Hill Resort. Selain itu, terdapat pelbagai tarikan baharu seperti Jerai Sky View, ladang strawberi dan taman Dinasour.
3. Dataran Jam Besar Sungai Petani
Bagi yang suka membeli-belah, kafe hunting dan berfoto outfit of the day (OOTD), anda wajib luangkan masa bersiar-siar di sekitar dataran jam besar yang terletak di Jalan Ibrahim, Sungai Petani.
Keindahan landskap dan seni bina bangunan-bangunan kedai lama yang masih utuh di sekitar dataran ini amat sesuai untuk mereka yang mahu bergambar gaya estetik.
Kawasan ini juga meriah pada waktu malam dan cuti hujung minggu. Jika anda rajin meneroka, boleh berjalan lagi di sekitar kawasan Sungai Petani selain singgah membeli-belah di Uptown Sungai Petani yang beroperasi setiap malam Sabtu dan Ahad.
Tarikan lain adalah Lorong Tepi Biggy yang terletak antara dua bangunan kedai yang dahulunya terbiar.
Kini, lorong tersebut kembali meriah selepas dihiasi dengan lampu-lampu serta lukisan-lukisan dinding yang menarik sesuai untuk pengunjung yang suka OOTD.
4. Masjid DarulMurtadha, Murtadha Dakwah Centre (Madad)

Masjid Darul Murtadha, Murtadha Dakwah Centre (Madad) atau lebih dikenali Masjid Madad kini menjadi tular gara-gara fungsinya yang pelbagai. Bukan sekadar tempat beribadat, malah turut menyediakan pelbagai tarikan riadah menarik.
Antaranya, menunggang kuda, memanah, melawat rumah kucing dan yang terbaharu taman permainan tertutup untuk kanak-kanak.
Masjid milik Yayasan Murtadha Berhad ini turut memiliki hotel kapsul untuk musafir menginap secara percuma, diikuti perpustakaan.
5. Kompleks Pelancongan Jeti Semeling
Terletak di Sungai Layar, Sungai Petani, kompleks ini sangat menarik dan mempunyai landskap yang cantik.
Di sini, pengunjung berpeluang melihat ‘gok arang’ yang digunakan untuk membakar kayu bakau menjadi arang.
Pengunjung boleh menaiki bot, Sungai Merbok River Cruise untuk menyusuri Sungai Merbok dan singgah ke Tanjung Dawai.
Di sini juga terdapat galeri-galeri berkaitan dengan kayu bakau dan haiwan yang dibina di atas air.
Selepas penat berjalan sudah pasti anda mahu mencari tempat-tempat makan yang sedap untuk mengisi perut. Penulis kongsikan lima lokasi tempat makan pilihan di Kuala Muda.
6. Kedai Makan Pokok Ceri
Kedai Makan Pokok Ceri terletak di Taman Desa Indah, Sungai Petani. Restoran ini menyediakan menu ala kampung untuk sarapan pagi dan makan tengah hari. Terdapat kira-kira 50 pilihan lauk-pauk kampung yang disajikan setiap hari termasuk ikan tilapia, keli dan ayam bakar.
7. Pallet Cafe
Tempat makan kedua yang ingin penulis cadangkan ialah Pallet Cafe yang terletak di tingkat satu bangunan kedai di Lagenda Height, Sungai Petani. Kafe berkonsepkan hiasan kayu palet menyajikan lebih 20 menu barat seperti lamb chop, chicken chop, fish & chip di samping pencuci mulut iaitu puding roti.
8. Warung Rumpun Mambu
Kedai ini terletak di tepi jalan berdekatan pesisiran pantai Tanjung Dawai. Pengunjung boleh menikmati keenakan mi udang segar dan mi kuah tulang istimewa. Masakan panas dan ais kacang juga turut disediakan. Warung ini sentiasa sesak dengan pelanggan, namun jangan bimbang kerana servis mereka laju.
9. Roti Canai Legend Taman Sejati
Untuk penggemar roti canai, boleh cuba sarapan pagi di kedai Roti Canai Legend di medan selera Taman Sejati, Sungai Petani. Tekstur roti canai yang garing dan lembut serta pelbagai pilihan kuah seperti kari daging, kari kambing, rendang ayam dan kuah sardin membuatkan kedai ini popular dalam kalangan pelanggan. Antara menu istimewa yang laris adalah roti canai sarang burung, roti telur dan banyak lagi.
10. Nasi Kandar Hussain
Bagi penggemar kedai mamak, penulis cadangkan restoran Nasi Kandar Hussain di Taman Pekan Baru, Sungai Petani. Selain nasi kandar, menu istimewa lain yang terdapat di sini ialah nasi dalca ayam bawang, roti nan keju tanduri dan tosai.
Selain senarai di atas, banyak lagi tempat-tempat makan lain yang menawarkan juadah tradisi tempatan yang lazat untuk dikunjungi jika berkunjung ke daerah ini.-UTUSAN










