Mahligai milik doktor perubatan ini bukan sahaja indah dengan susun atur dan dekorasi namun unik dengan sentuhan cita rasa peribadi.
Setiap ruang mempunyai ciri tersendiri hasil gabungan idea Dr. Nabilah Nor Said dan suami yang gemarkan suasana nyaman dan tenang dalam kediaman.
Mengetengahkan konsep moden organik, pasangan ini banyak bermain dengan rona tanah dan efek pencahayaan pada segenap ruang di kediaman jenis Semi-D kluster itu.
“Hiasan dalaman ini adalah sesuatu yang semula jadi dan personal. Pemilihan reka bentuk, susun atur sehingga ke perincian setiap perabot, dekorasi dan sudut berdasarkan cita rasa yang disepakati saya dan suami.
“Ia juga bersesuaian dengan keselesaan dan bajet kami. Saya cuma buat apa yang saya suka dan cantik pada pandangan mata saya,” katanya kepada Seri.
Setiap ruangan diberi nafas berbeza bergantung kepada fungsi ruangan itu sendiri.
Misalnya, ruang tamu lebih memfokuskan kepada elemen warna dan penataan cahaya.
Gabungan harmoni rona daripada palet tona tanah berjaya membangkitkan suasana nyaman dan selesa pada ruang utama itu.
“Namun, saya juga meletakkan satu warna khas yang menonjol seperti accent chair dan sarung kusyen berwarna hijau supaya ruangan tidak kelihatan terlalu suram dan mendatar.
“Saya juga mementingkan penataan cahaya yang pelbagai seperti down light, chandelier, lampu dinding dan floor lamp di mana setiap pencahayaan daripada lampu itu menyediakan ciri-ciri tertentu yang digunakan dalam situasi yang berbeza untuk menimbulkan mood yang bersesuaian.
“Lampu itu sendiri selain daripada memberi pencahayaan, juga berfungsi sebagai dekorasi,” jelasnya.
Penataan cahaya yang pelbagai membangkitkan rona latar yang lembut kerana 90 peratus penataan rona terdiri daripada rona putih, beige, coklat, kelabu dan sedikit hitam pada beberapa bahagian.
“Saya memilih warna-warna tona tanah kerana ia menimbulkan rasa tenang. Namun, saya tetap meletakkan satu atau dua barang dekorasi, perabot atau sentuhan seni dengan warna luar daripada palet ini sebagai pop of color untuk menimbulkan suasana lebih ‘hidup’ dan seronok.
“Warna tanah ini sebenarnya memberikan saya peluang untuk menjadi lebih kreatif dalam mewujudkan pelbagai mood berbeza dengan hanya menukar atau menambah sedikit warna lain,” kongsinya.
RUANG DAPUR SELESA
Dalam kebanyakan ruang, sudah tentulah bahagian dapur menjadi kegemaran wanita berusia 39 tahun ini.
Bahkan, ia menjadi ruang paling diutamakan sejak awal proses pengubahsuaian rumah dilakukan.
“Saya pastikan ruang dapur selesa untuk memasak dan berkumpul bersama keluarga setiap masa, bukan sahaja pada waktu makan.
“Oleh itu, saya sediakan breakfast nook di dalam dapur yang mempunyai pintu dan tingkap yang besar menghadap ke ruang taman, berfungsi sebagai tempat bersantai sekali gus ruang makan keluarga. Saya juga lebih gemar ruangan dapur yang tidak terlalu besar supaya senang mengemas,” katanya.
Ruangan itu juga mengetengahkan rona asas seperti hitam dan putih untuk tampil minimalis namun dalam masa yang sama menarik.
Kabinet hitam yang dipadankan dengan backsplash putih serta barangan dapur yang serba hitam memberikan kontra yang sederhana buat ruangan tersebut.-UTUSAN










