NAMANYA pernah tular suatu ketika dahulu kerana rela meninggalkan kerjaya profesional sebagai pereka grafik di ibu kota demi bergelar petani di kampung halaman.
Selepas enam tahun berbudi kepada tanah, Nuraishah Shamsuddin mampu tersenyum bahagia dengan pilihan hidupnya itu.
Wanita ini turut diiktiraf sebagai Ikon Briged Muda Petani Moden Perak.
Ketika anak muda lain sedang berfikir mengenai peluang kerjaya di bandar, lain pula bagi anak kelahiran Teluk Intan, Perak ini.
Usai menamatkan pengajian Ijazah Sarjana dalam bidang seni di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Nuraishah mengambil keputusan berani untuk pulang ke kampung halaman dan tinggalkan kerjaya sedia ada sebagai pereka grafik.
Beliau memilih untuk memulakan kehidupan sebagai petani dengan mengusahakan sebidang tanah milik arwah bapanya pada 2019.
Ketika itu pula, pandemik Covid-19 sedang rancak melanda negara dan hanya aktiviti pertanian yang dibenarkan, maka Nuraishah mengambil peluang tersebut untuk belajar selok-belok mengenai pertanian melalui pembacaan di internet dan Youtube.
Setelah itu, beliau mulakan kerja-kerja pembersihan tanah, membuat pagar dan batas sedikit demi sedikit menggunakan kudrat wanitanya untuk menanam buah-buahan dan sayur-sayuran.
Bermula dengan hanya 20 pokok, kini kebun yang diberi nama Kebunurai Organik itu menampung hampir 200 pokok sayur-sayuran organik, herba dan juga buah-buahan tempatan.
“Selalunya orang nampak kerja hanya ada di bandar. Memang benar, lebih banyak peluang pekerjaan di sana tetapi kos sara hidup juga lebih tinggi.
“Pada pendapat saya, di kampung juga ada kerja. Cuma kita yang kena hasilkan dan wujudkan peluang kerja tersebut. Buat perkara yang kita minat.
“Bukan sahaja dapat wujudkan peluang kerja untuk kita tetapi juga untuk masyarakat setempat,” katanya yang kini mempunyai tenaga pekerja yang terdiri daripada pelajar latihan industri untuk membantu urusan di kebun.
USAHAWAN PERTANIAN

Sudah tentu, keputusan itu pada awalnya mendapat tentangan hebat daripada ibu, Rohaniah Nin yang risau memikirkan masa hadapan anak bongsunya itu.
Apatah lagi, kerja-kerja pertanian bukanlah sinonim dengan seorang wanita memandangkan ia memerlukan kudrat dan berhujan panas.
Namun, alah bisa tegal biasa. Sekali membuat keputusan, beliau tidak menoleh lagi ke belakang.
Kerja keras dan kesungguhannya berjaya melembutkan hati si ibu untuk reda dan ikhlas dengan kerjaya yang menjadi pilihan hatinya.
Bukan sahaja beliau mampu membekalkan sumber makanan kepada keluarga, malah sayuran organik itu juga dijual serta sebahagian lagi diolah menjadi produk penjagaan diri.
Sekali gus, beliau memgembangkan lagi empayarnya dengan memasarkan produk penjagaan diri berasaskan bahan-bahan organik yang terdapat di kebun.
Antaranya, skrub badan herba daun, sabun temulawak, sabun kunyit dan minyak empat herba.
Katanya, idea perniagaan itu timbul selepas melihat trend peningkatan permintaan produk penjagaan diri berasaskan bahan organik dalam pasaran.
“Permintaan terhadap produk berasaskan organik terlalu tinggi ketika ini kerana masyarakat mula ‘kembali’ kepada bahan-bahan semula jadi.
“Ada suatu ketika, ramai yang beralih kepada bahan-bahan sintetik tetapi disebabkan macam-macam penyakit yang berpunca daripada bahan itu, maka produk organik semakin menjadi pilihan kini,” katanya yang menjalankan perniagaan terbabit dengan kerjasama sebuah jenama penghasilan produk handmade di Selangor.
Lebih membanggakan, produk kelahirannya itu bukan sahaja mendapat permintaan tempatan, malah sudah menembusi negara jiran seperti Singapura dan Brunei.
Mengulas mengenai hasilan pertanian organik, katanya, beliau mengetengahkan pertanian permakultur.
Permakultur adalah amalan pertanian yang lestari untuk menghasilkan tanaman dan menguruskan kebun dengan cekap serta tidak menggunakan racun kimia.
Selain kebun, wanita berusia 32 tahun ini juga mempunyai haiwan ternakan seperti ayam dan itik.
“Jadi, tinja daripada haiwan ternakan ini saya gunakan semula sebagai baja tanaman. Bahan pengawal serangga perosak juga dihasilkan sendiri dan bebas bahan kimia,” kongsinya.
Katanya, semua ternakan harus organik dan mampan daripada segi pemakanan, pengurusan reban dan perubatan kecuali jika perlu untuk pengambilan bahan kimia ataupun sintetik seperti antibiotik dan vaksin untuk membendung penularan wabak atau penyakit.
Ternakan harus hidup dalam kawasan sejahtera di mana terdapat ruang untuk berlari, meragut, regangan, perapian, pembersihan, bertelur dan tempat yang bersih serta kering untuk berteduh daripada hujan dan panas.
BAHAGIA DENGAN CARA SENDIRI

Daripada nada suaranya, jelas wanita ini sedang mendakap bahagia.
Pilihan berani dalam hidupnya menjadi permulaan satu kehidupan yang pernah menjadi impian suatu ketika dahulu.
Diulit udara segar desa, hidup sederhana dan dapat menatap ibu tercinta sepanjang masa adalah anugerah yang tidak ternilai baginya.
Malah, beliau juga bertemu jodoh dengan pasangan yang sanggup tinggal bersama-sama ibunya dan menyokong kerjayanya sebagai seorang petani.
“Definisi berjaya adalah hidup senang dan tenang. Maksudnya, tidak perlu terlalu stres memikirkan soal kerja.
“Bagi saya, pendapatan tidak tetap tidak mengapa janji kehidupan itu senang daripada segala segi. Macam saya ada kebun saya tahu ia ‘selamat’.
“Saya hendak makan, boleh pergi reban ambil ayam sembelih atau ambil telur untuk masak. Masuk kebun ada pula sayur untuk dibuat hidangan sampingan. Kehidupan sederhana ini senang dalam keadaan yang tenang,” katanya.
Malah, pendapatannya juga bertambah baik berbanding ketika bekerja sebagai pereka grafik bebas suatu ketika dahulu.
“Lagi pula, kos sara hidup lebih rendah di kampung. Makanan pun banyak daripada kebun dan ternakan saya sahaja.
“Itu jugalah sebabnya saya mulakan pertanian kerana mahu sediakan sumber makanan kepada keluarga. Ada lebihan kadangkala diberikan kepada jiran,” katanya yang gemar berkongsikan juadah masakan kampung di Instagram miliknya.
Sebelum mengakhiri perbualan, wanita ini sempat menitipkan nasihat kepada sesiapa sahaja yang mahu menceburi bidang pertanian.
Segalanya bermula dengan minat. Minat yang akan menjadi pembakar semangat untuk terus cekal berbudi kepada tanah.
“Kemudian, barulah fokus kepada perniagaan tidak kiralah sama ada menjual hasil tanaman atau produk berasaskan pertanian.
“Paling penting, turun padang dan lakukan semuanya sendiri daripada awal kerana kita akan lebih menghargai apa yang kita dapat selepas ini.
“Apabila bermula daripada bawah, kita tahu asas-asas penting yang perlu ada dan ia menjadikan kita lebih bersyukur,” nasihatnya yang kini mahu lebih memberi tumpuan kepada bidang penternakan pula.
Selagi terdaya, beliau mahu mengembangkan potensi diri dengan meneroka pelbagai peluang dalam bidang penternakan, pertanian dan perniagaan.-UTUSAN










