Setiap kali Ramadan tiba, ramai yang berasa sayu .
Bulan penuh keberkatan ini, sering mengingatkan kita kepada insan-insan tersayang yang telah tiada.
Demikian jugalah dengan Atirah (bukan nama sebenar), setiap kali Ramadan tiba sering mengembalikan kenangan bersama ibu saudaranya, Mak Teh.
Pada 6 Ramadan, kira-kira dua tahun lalu, dia kehilangan satu-satunya ibu saudara yang paling rapat dengannya.
Dia tidak dapat membayangkan Ramadan tanpa suara, tanpa nasihat dan tanpa juadah istimewa disediakan ibu saudaranya itu.
Bercerita lanjut kata Atirah dia sudah berkahwin hampir dua tahun, namun masih belum dikurniakan cahaya mata.
Dalam fasa ini banyak perkara baharu yang dipelajari, dan antara insan yang banyak memberi nasihat serta dorongan kepadanya ialah Mak Teh.
Kata Atirah, dalam hidupnya dua insan yang banyak memberi pengajaran tanpa mereka sedar ialah Mak Teh dan Pak Teh, ibu dan bapa saudaranya yang telah berkahwin selama 20 tahun, namun tidak dikurniakan anak.
Walaupun hidup mereka berbeza dengan pasangan lain, kasih sayang dan kebahagiaan mereka sentiasa mekar.
“Sejak kecil Mak Teh memang rapat dengan kami anak- anak saudaranya, termasuk saya. Walaupun Mak Teh telah berumahtangga, kasih sayangnya tidak pernah berubah,” ujarnya pada pertemuan bersama saya baru- baru ini.
Menurut Atirah, Mak Teh selalu menasihati diri bahawa tidak semua orang diuji dengan cara sama.
“Mak Teh selalu berpesan, sama juga apa yang berlaku kepadanya dan diri saya. Setiap orang diuji dengan ujian masing-masing. Ada yang diuji dengan kemiskinan, anak-anak ramai dan ada pula diuji dengan ketiadaan zuriat,” kata Atirah .
Menurut Atirah, kata-kata ibu saudaranya itu sangat memberi kesan kepada dirinya.
Kata Atirah, sejak kecil sehingga dia dewasa dan akhirnya berumahtangga, dia melihat bagaimana Mak Teh dan suaminya menjalani kehidupan dengan cara mereka sendiri.
Kata Atirah, Mak Teh dan suami menumpang kasih dengan anak-anak saudara termasuk Atirah.
Sejak kecil, Atirah paling rapat dengan Mak Teh. Dia bukan sekadar ibu saudara, tetapi seperti ibu sendiri.
Kata Atirah semasa ibu saudara memberitahu ibu dia akan berkahwin, terasa dunia berubah.
“Saya sepatutnya gembira, tetapi sukar menerima kenyataan orang yang saya sayang akan berkahwin. Saya bimbang Mak Teh berubah hati selepas berkahwin,” ujar Atirah.
Bercerita lanjut kata Atirah, ibu saudaranya itu berkahwin semasa dia berusia 8 tahun.
Selepas berkahwin Mak Teh mengikuti suaminya ke bandar, manakala dia sendiri dua tahun selepas itu menyambung pelajaran di sekolah berasrama penuh yang terletak di daerah sama.
Sejak itu , Mak Teh menjadi orang yang paling kerap mengunjunginya.
“Saya mula sedar walaupun Mak Teh telah berumahtangga, kasih sayangnya tidak pernah berubah,” ujarnya lagi.
Menurut Atirah, ketika dia sendiri berkahwin dan masih belum memiliki anak, Mak Teh tidak putus memberi nasihat.
Kata Mak Teh, di awal perkahwinan, bukan mereka tidak berasa sedih kerana belum dikurniakan anak.
Pelbagai cara dan usaha dilakukan daripada perubatan moden hinggalah tradisional, tetapi Allah belum mengizinkan mereka memiliki anak.
Setelah berusaha, akhirnya Mak Teh dan Pak Teh menerima takdir dengan hati terbuka, bahawa rezeki mereka bukan dalam bentuk anak, tetapi kasih sayang sesama sendiri.
Walaupun tanpa anak, kehidupan mereka tetap bahagia.
Mereka tidak pernah merasakan hidup mereka kosong, kerana mereka mencurahkan kasih sayang kepada anak-anak saudara mereka, termasuk Atirah.
Mereka mengisi hari-hari tua dengan pelbagai aktiviti termasuk kerja-kerja kesukarelawan dan melancong ke luar negara.
Kini kata Atirah, setelah bergelar isteri, dia mula memahami betapa pentingnya kesabaran, redha dan menghargai pasangan.
Menyambung cerita kata Atirah, kemuncak kepada kesetiaan pasangan ini ialah apabila Mak Teh jatuh sakit pada awal tahun 2020.
Mak Teh disahkan menghidap kanser payudara tahap empat.
Kesihatan Mak Teh semakin merosot sejak dua tahun kebelakangan, namun Pak Teh tetap setia menjaga, berulang alik ke hospital tanpa mengeluh.
Sehinggalah pada 6 Ramadan dua tahun lalu, Mak Teh pergi buat selama-lamanya.
Walaupun hidup tanpa anak-anak, cinta mereka kekal selamanya.
Kisah mereka ini membuktikan, bahawa kebahagiaan bukan hanya bergantung kepada kehadiran zuriat, tetapi pada kasih sayang yang ikhlas.
Sesungguhnya, hidup ini bukan tentang berapa ramai orang di sekeliling kita, tetapi tentang siapa yang benar-benar setia di sisi kita hingga ke akhir hayat.
“Mak Teh dan Pak Teh mengajar saya bahawa ujian dalam rumah tangga bukan alasan untuk bersedih selamanya. Sebaliknya, kita boleh memilih untuk bahagia dengan cara bersyukur dan menjadikan kehidupan lebih bermakna dengan saling mencintai,” ujarnya.
Dalam Islam sendiri, setiap ujian yang diberikan Allah pasti ada hikmah di sebaliknya.
Mungkin tidak dikurniakan rezeki anak, tetapi diberikan rezeki dalam bentuk yang lain. Ini termasuk kesihatan yang baik, kehidupan yang stabil dan hubungan suami isteri semakin erat.
Kata Atirah, rumah tangga yang bahagia bukan diukur dengan jumlah anak, tetapi sejauh mana suami isteri saling melengkapi dan menyayangi.
Kebahagiaan bukan tentang apa yang kita tiada, tetapi bagaimana kita menghargai apa yang kita ada.
Walaupun ibu saudaranya itu sudah tiada di dunia, kasih sayangnya tetap hidup, mengiringi setiap langkahnya. Dalam al-Quran banyak mengajar kita tentang sabar, tetap tabah menghadapi ujian .
“Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar,”-(al-Baqarah ayat 155).-UTUSAN