Bijaklah pilih baju raya

Bijaklah pilih baju raya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bijaklah pilih baju raya Sudah masuk minggu kedua puasa, maka pencarian baju raya pun bermula. Agak terloponglah juga melihat harga-harga baju raya yang ditawarkan ketika ini.

Tidak dinafikan rekaannya cantik-cantik dengan gaya terkini, namun harganya pula tidak mesra poket. Ada rekaan yang mencecah hingga RM900!

Namun, sudah tentulah rekaan itu disasarkan kepada golongan T20 yang tidak kisah berbelanja untuk bergaya. Tinjauan saya di aplikasi TikTok mendapati kebanyakan baju raya dijual pada harga RM100 hingga RM300 mengikut jenama dan rekaan.

Jenama besar sudah tentulah harganya lebih tinggi sedikit berbanding rekaan baju raya tidak berjenama. Pendapat peribadi saya, di zaman ekonomi yang serba mencabar ini, soal berjenama atau tidak bukan menjadi masalah. Paling penting adalah keselesaan.

Tidak kisah tidak berjenama sekalipun asalkan selesa untuk dipakai, maka tidak menjadi masalah. Tetapi, jika hendak membeli yang berjenama sekalipun okay sahaja asalkan mampu kerana tidak dinafikan kebanyakan rekaan baju berjenama menggunakan kain yang lebih berkualiti dan selesa.

Saya sendiri setiap kali raya pasti akan pulang ke kampung, jadi saya memerlukan pakaian yang menggunakan material selesa kerana cuaca di kampung agak panas. Kalau beli yang murah dan kemudian fabrik yang digunakan tidak selesa, membazir juga kerana sudah pasti tidak akan diulang pakai.

Sebut mengenai ulang pakai pula, carilah baju raya yang praktikal dan boleh dipakai semula selepas habis musim raya. Baju mahal-mahal tetapi pakai sekali sudah tentu membazir.

Tidak perlu membeli baju yang terlalu sarat kerana melalui pengalaman sendiri, selepas habis raya, baju itu hanya menjadi tukun di dalam almari. Hendak pakai untuk bekerja pun tidak sesuai.

Cari baju raya yang boleh dipakai dengan pelbagai gaya sama ada dengan kain ataupun seluar. Selepas raya, boleh pakai semula untuk bekerja ataupun bersantai.

Antara rekaan yang pada pendapat saya boleh disuai padan untuk gaya santai adalah rekaan baju kurung kedah, kutubaru ataupun kebaya pendek. Baju-baju ini boleh digayakan semula bersama seluar jeans ataupun palazo untuk gaya santai dan kasual. Jadi, kalau beli mahal pun tidak mengapa kerana boleh dipakai berulang kali.

Bagi yang menyukai gaya elegan pasti tidak suka dengan idea ini kerana baju kurung kedah mahupun kutubaru polos sangat ringkas untuk digayakan pada pagi raya.

Namun sebenarnya, dengan menambah beberapa aksesori boleh membuatkan gaya ringkas nampak lebih menarik. Misalnya, kurung kedah polos yang digabungkan dengan selendang pada bahagian bahu mampu memberikan gaya klasik minimalis. Pilih selendang yang mempunyai perincian manik atau rhinestone.

Tambah aksesori seperti rantai dan kerongsang pada bahagian bahu untuk lebih elegan. Sebab itulah ada beza antara memakai dan menggayakan. Selamat memilih baju raya semua!

 

-Intan Suhana Che Omar adalah wartawan Utusan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×